Kepelbagaian, Ekonomi Moden Antara Cabaran Utama Melayu/Islam

Kepelbagaian dalam kehidupan sosioagama dan keadaan ekonomi yang sering berubah-ubah merupakan dua cabaran utama yang perlu diharungi masyarakat Melayu/Islam di sini pada masa hadapan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu di perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) di Parlimen, hari ini (14 Apr).

Dalam pada itu, Dr Yaacob berkata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan buat pertama kalinya menganjurkan persidangan “Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari”, untuk antara lain, membincangkan proses pengeluaran fatwa yang mengambil kira konteks Singapura.

Menurut Dr Yaacob, meskipun cabaran-cabaran tersebut amat rumit, beliau yakin masyarakat boleh mengatasinya hasil kegigihan dan kerjasama erat dengan Pemerintah.

MELAYU/ISLAM MENYUMBANG KEPADA KEHARMONIAN MASYARAKAT

Menyentuh tentang cabaran pertama, Dr Yaacob berkata masyarakat Melayu/Islam di sini berjaya membuat sumbangan genting kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat majmuk Singapura, di samping yakin mengamalkan kehidupan beragama.

“Pada dasarnya, kehidupan kita banyak berpandukan nilai-nilai seperti kesederhanaan, sikap inklusif dan menghormati perbezaan. Inilah yang dipaparkan oleh golongan perintis terdahulu seperti Presiden Yusof Ishak, Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamed, Pak Ridzwan Dzafir serta Ustaz Ibrahim Kassim,” ujar Dr Yaacob.

Namun, beliau akur, dengan cabaran yang lebih rumit hari ini, “semakin sukar untuk kita mengimbangi kepentingan dan pandangan yang berbeza-beza.”

Walaubagaimanapun, Dr Yaacob berkata setiap golongan – termasuk ibu bapa, guru, karyawan, pemimpin masyarakat dan agama – perlu memainkan peranan untuk menolak unsur-unsur yang boleh menjejas perpaduan masyarakat.

MUIS PERTINGKAT USAHA KUKUHKAN KEPIMPINAN AGAMA PROGRESIF

Oleh itu, MUIS akan mempertingkatkan usaha untuk mengukuhkan kepimpinan agama yang progresif, dengan antara lain, menganjurkan persidangan “Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari”.

Kata Dr Yaacob, sejak 1968, lebih 500 fatwa dikeluarkan untuk membimbing masyarakat Melayu/Islam Singapura, dan persidangan tersebut bertujuan mengongsi pengalaman MUIS dalam hal berkenaan.

“Persidangan ini dapat menjadi satu wadah perbincangan dan penyebaran pemikiran progresif lebih-lebih lagi buat masyarakat minoriti Islam yang hidup dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama,” kata Dr Yaacob.

PERUBAHAN EKONOMI EKORAN LEDAKAN TEKNOLOGI

Menyentuh tentang cabaran yang kedua pula, Dr Yaacob berkata antara cabaran yang dibawa bersama ekonomi baru ialah perubahan-perubahan ekoran ledakan teknologi, yang memaksa industri-industri di sini menyusun semula dan berubah.

“Ini bermakna peningkatan kemahiran yang berterusan menjadi genting, dan ICT pula menjadi pemangkin kemajuan.

“Anak-anak muda kita mesti sedar tentang hakikat ini. Mereka mesti bersedia untuk memasuki alam pekerjaan yang semakin menitikberatkan kepakaran serta pengalaman, lebih daripada segulung ijazah,” kata Dr Yaacob.

Oleh itu, katanya, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) serta badan-badan Melayu/Islam lain perlu mendorong usaha agar lebih ramai pekerja dan syarikat Melayu/Islam dapat membawa nilai tambah dalam bidang masing-masing.

Yayasan MENDAKI pula akan saling mendekatkan masyarakat Melayu/Islam kepada gerakan SkillsFuture. Ia akan melancarkan beberapa inisiatif baru termasuk “Future Ready Mentoring” untuk membimbing para pelajar menengah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik dalam pemilihan kerjaya.

Program CM-Tech@Heartlands yang bakal dilancarkan pula akan dibawa ke kawasan kejiranan untuk merangsang minat anak-anak Melayu/Islam dalam bidang teknologi.

MELAYU/ISLAM CAPAI BANYAK KEMAJUAN

Bercakap tentang usaha untuk memperkukuh sokongan terhadap aspek pendidikan, keperluan sosio-agama, pembangunan keluarga serta bantuan bagi golongan kurang bernasib baik di kalangan masyarakat Melayu/Islam seperti yang ditanya beberapa Anggota Parlimen, Dr Yaacob berkata “kita sudah mencapai banyak kemajuan dalam hal ini, dan lebih banyak boleh dicapai pada masa hadapan.”

Dr Yaacob juga berkata kita boleh bersyukur bahawa selain membina, kita mampu mempertingkatkan institusi-institusi kita demi memenuhi keperluan keagamaan masyarakat kita.

TAPAK MASJID BARU DI TAMPINES NORTH 

Atas dasar itu, kadar sumbangan Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) sudah diubah seperti yang diumumkan bulan lalu.

Dr Yaacob juga mengumumkan bahawa sebuah kawasan sudahpun dikenal pasti sebagai tapak pembinaan masjid di Tampines North.

24,700 RUANG SOLAT TAMBAHAN

Menjelang tahun hadapan pula, dua masjid baru – Masjid Maarof dan Masjid Yusof Ishak – akan siap dibina. Kerja-kerja pembangunan semula Masjid Darul Ghufran pula bakal dijalankan tahun ini.

Selain itu, ruang solat di Masjid Al-Istighfar juga bakal bertambah. Secara keseluruhan, Program Peningkatan Masjid yang bermula sejak 2009, sudah berjaya menghasilkan 24,700 ruang solat tambahan, dan banyak lagi yang bakal diusahakan di bawah program itu, kata Dr Yaacob.

Memberi perkembangan tentang sektor madrasah pula, Dr Yaacob berkata Madrasah Arabiah akan berpindah ke lokasi baru dengan tempoh pajakan 30 tahun.

Malah, MUIS turut giat menyokong usaha menerapkan penggunaan teknologi dan infokomunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran di Madrasah Irsyad Zuhri dan Madrasah Aljunied.

PUNGUTAN ZAKAT KIAN BERTAMBAH

Dr Yaacob juga berkata pungutan zakat di kalangan masyarakat Melayu/Islam bertambah saban tahun, iaitu dari $22.7 juta pada 2010, kepada sekitar $35.3 juta (sebelum diaudit) tahun lalu. Setiap tahun, MUIS juga mengagihkan zakat kepada sekitar 5,300 fakir miskin.

Yayasan MENDAKI juga giat mempertingkat usaha untuk menyalurkan mereka yang memerlukan kepada pusat-pusat khidmat sosial di peringkat nasional. Sepanjang enam tahun lalu, lebih 14,000 individu sudah dibantu.

MENDAKI AKAN BANTU KELUARGA MANFAATKAN KIDSTART

MENDAKI akan turut bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) agar keluarga Melayu/Islam yang memerlukan dapat mengambil manfaat daripada inisiatif KidSTART.

Inisiatif tersebut menyediakan sokongan dalam pelbagai aspek, termasuk kesihatan, pembelajaran dan pembangunan anak-anak berusia bawah 6 tahun.

“Kita menaruh harapan kepada anak-anak muda kita untuk meneruskan perjuangan ini serta melangkah dengan cekal, berjalan dengan tawakkal dan bertindak dengan akal.

“Yang nyata, masa depan yang cerah memerlukan usaha jitu daripada setiap anggota masyarakat. Marilah kita berganding bahu dan semarakkan lagi semangat kerjasama antara masyarakat Melayu/Islam dan Pemerintah demi mencipta masa depan yang lebih cerah untuk kita bersama,” ujar Dr Yaacob.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *