Menggunakan teknik baru dan terkini dalam menyampaikan dakwah.
Demikian pendekatan Masjid Mujahidin menerusi projek terbarunya, #GreenUmmah.
Penerbitan sebuah video cara berwuduk yang mesra alam akan dilancarkannya sempena Ramadan nanti.
Laporan tentang paras air di kolam simpanan Linggiu yang semakin susut, mencetuskan ilham Jabatan Dakwah Masjid Mujahidin untuk mencernakan projek #GreenUmmah.
Matlamatnya untuk meningkatkan kesedaran bukan sahaja jemaah masjid tetapi umat Islam secara umumnya supaya melindungi alam sekitar.
“Dapat membuat masjid memainkan peranan yang lebih, bukan sahaja sebagai tempat mencari ketenangan, meningkatkan kerohanian dan sebagai pusat pengajian Islam, malah ia juga satu pusat pembangunan sosial, pendidikan dan juga tempat untuk menyokong dan berkongsi nilai positif, seperti kesedaran dalam penjagaan alam sekitar,” Pengurus Khidmat dan Hubungan Korporat Masjid Mujahidin, Rohainizah Adnan memberitahu BERITAMediacorp.
SUTRADARA FILEM SUMBANG KREATIVITI SECARA SUKARELA
Sutradara yang pernah memenangi beberapa anugerah, Sanif Olek secara sukarela menyumbang kepakaran dan kreativiti dalam menghasilkan video pendek untuk menggalak penjimatan air sewaktu berwuduk.
“Saya rasa apa yang buat video ini menarik adalah pertama mesejnya dan yang kedua sekali adalah cara penggambarannya yang berbeza daripada apa yang kita lihat sebelum ini,” kata Encik Sanif.
Menurut kajian Masjid Mujahidin, jika seorang Muslim mengubah kebiasaan dan membuka air paip dengan tidak begitu deras, beliau dapat menjimatkan sekurang-kurangnya 10 liter air setiap kali berwuduk.
Ini bermakna, 50 liter air dapat dijimatkan dalam sehari, bagi solat lima waktu.
“Mengambil kira kita mempunyai sekitar 5,000 hingga 7,000 jemaah dalam seminggu, ini bermakna jika kita dapat kerjasama semua pihak, ia dapat membantu kami menjimatkan sekitar 250,000 liter air, hanya dalam jangka masa seminggu sahaja,” ujar Cik Rohainizah.
MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA
Usaha mengurangkan pembuangan sampah juga menjadi sebahagian usaha kempen #GreenUmmah.
Pada tahun 2014, seorang penduduk sahaja membuang purata 1,370 kilogram sampah, dengan kertas dan plastik dicatat sebagai lima sampah yang terbanyak dibuang.
Lantaran itu, Masjid Mujahidin menggalak usaha kitar semula dengan menyediakan tong tersebut di kawasan masjid.
“Melentur buluh, biar dari rebungnya”, maka itu, usaha mesra alam di masjid ini melibatkan juga murid-murid prasekolahnya serta golongan belia.
“Menggunakan lelaman sosial seperti Facebook, Instagram dan juga Twitter. Di sini, para belia dapat informasi yang terkini tentang projek ini dan juga boleh menggunakan #GreenUmmah sekiranya mereka ada idea yang baik seperti bagaimana cara untuk menjimat air atau elektrik,” kata Eksekutif Pendidikan Madrasah dan Belia Masjid Mujahidin Hafiz Jabbar kepada BERITAMediacorp.
Walaupun akan dilancarkan sempena Ramadan, Masjid Mujahidin sudah mula membangkitkan kesedaran seawal mungkin tentang Projek #GreenUmmah.
Source: Berita Mediacorp