Rebut Peluang Niaga Bak Bermain Bolasepak

SEBAGAI pemain bola sepak, memang sudah menjadi kebiasaan Encik Zulfadhli Zainal Abidin mengambil apa jua peluang di hadapannya untuk membuat umpanan menarik kepada rakan sepasukan ataupun melakukan jaringan.

Seperti bola sepak, pemain bek kiri dan kapten pasukan Warriors FC berusia 28 tahun itu turut berusaha memanfaatkan peluang sebegini dalam dunia perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Pemilik Kafe Zulos Shakes And More di Blok 612 Clementi West Street 1 itu sanggup menggadaikan banyak masa dan tenaga semata-mata mahu melihat kafe yang diimpikan selama ini menjadi nyata.

“Memang tidak mudah memulakan satu perniagaan baru.

“Tapi sama juga seperti bola sepak, saya juga akan berusaha cuba menembusi pasaran F&B.

“Menguruskan perniagaan makanan merupakan impian saya sejak sekian lama.

“Ia bukan satu taruhan. Sebaliknya saya perlu mengambil risiko bagi memulakan perniagaan ini. Apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu sekarang ini,” katanya.

Menurut Encik Zulfadhli, semasa memulakan perniagaan tersebut, beliau terpaksa mengimbangi antara latihan bola sepak dengan persiapan membuka kafenya itu.

Biarpun terpaksa berhempas pulas mengimbangi masanya yang cukup padat, Encik Zulfadhli berkata kafe tersebut bagaikan satu persiapan kepadanya menghadapi kerjaya selepas bola sepak yang dianggapnya mempunyai jangka hayat yang singkat.

“Usia saya sudah 28 tahun. Dianggarkan rata-rata usia pemain bola sepak hanya dapat bertahan sehingga sekitar 35 tahun atau lebih sedikit. Sebab itulah saya perlu buat persiapan mulai sekarang,” tambahnya.

Kafe Zulos Shakes And More yang dibukanya lewat tahun lalu itu menjual beberapa sajian Barat termasuk manisan churos, wafel dan minuman shake.

Berharga antara $6.50 dengan $15, menu yang ditawarkan di kafe tersebut disediakan sendiri oleh isterinya, Cik Nur Sherillin Mohamed Jabbar, 26 tahun.

Pasangan itu yang berkahwin Januari lalu sebelum ini pernah mengendalikan bazar Ramadan di kawasan Geylang Serai tahun lalu.

“Selepas mendapat sambutan menggalakkan, kami ambil keputusan melanjutkan perniagaan ini dengan membuka kafe kami sendiri.

“Meskipun sambutannya kini menggalakkan, kami rasakan lokasinya perlu diubah.

“Kami sekarang ini sedang berbincang memindahkan kafe ini ke kawasan tengah Singapura,” kata Cik Nur Sherillin, bekas pramugari dan guru sekolah rendah.

Mereka juga bercadang menyewa sebuah gerai di bazar Ramadan tahun ini.

Difahamkan pasangan itu melabur sekitar $20,000 bagi memulakan kafe tersebut yang kini mampu memuatkan seramai 26 pelanggan pada satu-satu masa.

Kafe tersebut yang dibuka setiap hari dari 3 petang hingga 10 malam turut menawarkan khidmat menyediakan wafel dan churos yang dimasak secara langsung di majlis tertentu seperti majlis korporat dan majlis walimah.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *