Siapa yang akan menyangka suami yang sah dinikahi rupa-rupanya seorang wanita.
Namun itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan seorang wanita dari Boyolali, Jawa Tengah, lapor laman Jakarta Post.
Wanita yang dikenali sebagai Heniyati, 25 tahun, hanya mengetahui identiti sebenar suaminya, Efendi Saputra, 40 tahun, setelah tiga bulan meniti kehidupan sebagai pasangan suami isteri.
“Dia (Efendi) memalsukan semua dokumen untuk perkahwinan itu. Dia merubah nama dan jantina daripada wanita kepada lelaki. Keluarga saya dan saya sudah ditipu. Kami berasa malu,” kata ahli keluarga terdekat Heniyati seperti dilaporkan Jakarta Post.
Pasangan itu bertemu pada hujung tahun 2015 dan sepanjang pertemuan itu Efendi, atau nama sebenarnya Suwarti, mendakwa bahawa dirinya merupakan seorang anggota polis.
Heniyati mempercayainya kerana paras rupa Efendi persis perwatakan seorang anggota polis.
Setelah bercinta selama enam bulan kedua-duanya memutuskan untuk melangsungkan pernikahan.
Namun, setelah berkahwin, Heniyati mula mencurigai suaminya memandangkan dia enggan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan menjalinkan hubungan intim.
Lantas, Heniyati cuba mencari maklumat mengenai suaminya, sehingga beliau membongkar dompet Efendi dan mendapati kad pengenalannya tertera nama seorang wanita bernama Suwarti.
Heniyati bersama keluarganya kemudian membuat aduan polis, menurut.
Menurut Jakarta Post lagi, Ketua Polis Boyolali, Agung Suyono mengesahkan aduan yang dibuat dan Efendi sudahpun ditahan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati Suwarti memalsukan semua dokumen peribadinya untuk urusan lesen perkahwinannya,” kata Encik Agung.
“Kami masih menyoal beliau untuk mengetahui tujuan perbuatannya itu,” tambah beliau sambil menambah bahawa Suwarti akan didakwa atas kesalahan penipuan dan pemalsuan dokumen.
Source: Berita MediaCorp