Menteri Pengangkutan Malaysia: Penguatkuasaan Sistem VEP Tetap Akan Diteruskan

Kerajaan Malaysia tidak mempunyai rancangan untuk membatalkan pelaksanaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) dan menyatakan bahawa ia akan disambung semula sebaik sahaja sistem tersebut bersedia untuk dikuatkuasakan.

Menolak laporan awal, Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai sebaliknya menekankan bahawa penguatkuasaan sistem VEP tidak tergendala, lapor The Rakyat Post.

“Jangan dengar khabar angin. Kerajaan akan tetap menguatkuasakan (VEP). Bukan hanya di Singapura bahkan juga (di sempadan-sempadan kita) di Thailand, Kalimantan dan Brunei. Kami tidak membeza-bezakan, semua sempadan akan dikenakan VEP,” tegas beliau.

“Kami akan bermula dengan Singapura (kenderaan berdaftar) terlebih dahulu dan kemudian ke sempadan-sempadan lain,” tambah beliau seperti yang ditukil The Rakyat Post.

Encik Liow berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai sama ada VEP akan dibatalkan memandangkan proses penguatkuasaannya berdepan dengan “gangguan-gangguan” dan terlepas tarikh yang sepatutnya VEP dikuatkuasakan.

“Ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan memandangkan kami mahu memastikan tiada gangguan setelah kami mulakannya. Jika sekarang dalam tempoh percubaan ia hanya berjalan selama 12 jam, kami mahu sistem tersebut berjalan selama 24 jam sekurang-kurangnya dalam masa sebulan dua,” jelas beliau.

Sistem VEP, yang disarankan pada 2006, sepatutnya mula mengenakan bayaran RM20 (S$7) bagi kenderaan asing yang memasuki Johor pada 16 Julai – namun ditangguhkan buat kali keempat berturut-turut, menurut The Rakyat Post.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *