Bermula bulan Oktober ini, anda yang ingin mengerjakan haji dan umrah untuk kali kedua, akan dikenakan yuran 2,000 riyal atau sekitar S$700.
Ini merupakan peraturan baru berhubung semakan ke atas yuran visa haji dan umrah.
Ini bermakna, kos mengerjakan haji dijangka menjadi jauh lebih tinggi bagi masyarakat muslim, berbanding sekarang.
Langkah itu juga dijangka akan menjejas agensi-agensi pelancongan muslim tempatan, di mana umrah menjadi tukikan perniagaan mereka.
Peraturan baru itu diumumkan oleh Majlis Menteri-Menteri Arab Saudi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Putera Mahkota Muhammad Bin Naif.
LANGKAH BERTUJUAN TINGKATKAN HASIL BUKAN MINYAK
Menurut Arab News, kabinet negara itu membuat keputusan tersebut berdasarkan saranan Kementerian Kewangan serta Kementerian Ekonomi dan Perancangan bagi meningkatkan hasil bukan minyak di negara itu.
Ia akan berkuatkuasa mulai 2 Oktober ini.
Para jemaah umrah dan haji kali pertama bagaimanapun tidak akan dikenakan yuran visa berkenaan.
Oleh kerana kebanyakan orang melaksanakan ibadah haji sekali seumur hidup, semakan ini dijangka akan lebih menjejas para jemaah umrah.
Para jemaah haji menjalankan ibadah Sa’i di Makkah. (Gambar hiasan: AFP/MOHAMMED AL-SHAIKH
HINGGA 50% MERUPAKAN JEMAAH UMRAH BERULANG
Dua GSA yang kami hubungi berkata jemaah berulang membentuk 20 hingga 50 peratus daripada keseluruhan jemaah mereka yang melaksanakan umrah setiap tahun.
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid berkata: “Bagi Haji saya rasa, rata-rata yang hendak pergi, 90 peratus belum pergi Haji. Kalau yang dah pergi Haji pun atas sebab-sebab tertentu dibolehkan oleh MUIS untuk mengerjakan Haji sekali lagi. Haji tidak berapa terjejas sangat. Umrah saya rasa mugkin terjejas.
“Tetapi bagi Umrah, bilangan yang pergi buat kali kedua, ketiga dan seterusnya saya rasa mungkin ada jejas juga – berapa banyak kita tidak pasti tetapi saya rasa kalau kita buat anggaran mungkin menjejas juga niat orang yang melaksanakannya.”
HIKMAH DI SEBALIK PERATURAN BARU?
Sebahagian GSA berkata, langkah terbaru ini memberi keyakinan kepada jemaah untuk melaksanakan ibadah mereka.
“Ini menyenangkan. Maknanya jemaah itu kalau dia sudah pergi sekali, dia hendak pergi dua kali, dia yakin bahawa ia sudah dipastikan, mendapat kelulusan kerajaan Arab Saudi. Dia bayar 2,000 riyal dan bayar dengan yakin.
“Bagi saya, saya syorkan para jemaah umrah sekarang ini kerana ada peraturan umrah kedua, mereka perlu bayar, lakukanlah umrah yang pertama itu dengan baik, dengan sempurna, dengan teliti”, ujar Pengarah Urusan Shahidah Travel & Tours, Ayoob Angullia.
Jemaah haji berdoa di depan Kaabah. (Gambar: AP/Mosa’ab Elshamy)
VISA S$700 AGAK TINGGI
Bagaimanapun Encik Haffidz berpendapat, yuran visa S$700 yang dikenakan agak tinggi, yang akan menyebabkan kos pakej meningkat 20 peratus bagi jemaah.
Harga pakej umrah sekarang ini adalah sekitar S$4,000.
“Saya rasa ini akan menjejas dari segi kos untuk jemaah yang ingin lakukan umrah kerana ramai jemaah pergi umrah buat kali kedua dan seterusmya, mungkin menjangkau 50 peratus setiap tahun.
“Kalau kita tambah lagi ahli keluarga ikut sama, selalunya umrah ini jarang pergi seorang, pergi dengan suami, isteri, anak-anak dan sebagainya. Mungkin saya rasa 20-30 peratus tidak akan mengerjakan umrah lagi,” ujar Encik Haffidz lagi.
Yuran visa baru itu juga dijangka akan meningkatkan kos operasi GSA yang menghantar para pegawainya untuk mengiringi para jemaah sepanjang tahun.
BEBAN KOS BAGI PEGAWAI HAJI/UMRAH
“Yang timbul masalah adalah GSA kerana mereka perlukan pegawai untuk pergi umrah berapa kali dalam setahun kerana mereka bertugas untuk mengetuai rombongan.
“Ini faktor kos bagi agensi. Mereka ada pilihan, samada bayar 2,000 riyal Saudi untuk pegawai pergi setiap kali atau mereka membayar 3,000 riyal untuk 6 bulan visa kemasukan berbilang kali,” tambah Encik Ayoob.
Yuran visa bagi umrah dan haji itu adalah sebahagian daripada beberapa semakan ke atas struktur yuran visa bagi para jemaah, ekspatriat dan pelancong yang memasuki Arab Saudi.
Semakan lain ke atas warga asing termasuk yuran kemasukan berbilang kali sebanyak 3,000 riyal bagi tempoh 6 bulan, 5,000 riyal bagi tempoh setahun dan 8,000 riyal untuk 2 tahun.
Source: http://berita.mediacorp.sg