Kumpulan terbesar jemaah haji Singapura seramai 467 orang berangkat ke Arab Saudi, petang tadi (5 Sep).
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim bertemu dengan mereka di kedua-dua terminal 2 dan 3 Lapangan Terbang Changi untuk mengucapkan selamat berangkat.
Dr Yaacob juga berkata beliau optimis dengan meningkatnya jumlah penduduk Islam di Singapura, kuota haji 680 orang sekarang akan ditambah pada masa akan datang. Ini sungguhpun rayuan untuk menambah kuota haji bagi jemaah Singapura tahun ini tidak dipenuhi.
“Kita juga buat rayuan untuk menambahkan lagi kuota yang kita telah diberikan untuk mendapatkan 1,000 setahun.
“Dengan itu kita akan mempercepatkan lagi peluang bagi jemaah kita untuk memenuhi keperluan haji oleh kerana kita tahu bahawa ada banyak keinginan di kalangan masyarakat kita,” ujarnya.
BERI JAMINAN MUIS SIAP SIAGA SEDIAKAN PASUKAN PERUBATAN
Dalam pada itu, Dr Yaacob juga memberi jaminan bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bersiap siaga menyediakan pasukan perubatan untuk para jemaah terutamanya di tengah-tengah penularan jangkitan Zika.
MUIS menghantar 21 anggota delegasi untuk memelihara kesihatan, kebajikan dan keselamatan para jemaah haji Singapura.
“Lebih penting ialah tanggungjawab setiap jemaah untuk menjaga diri mereka dengan baik, mengambil langkah-langkah berjaga yang tertentu.
“Tapi kalau ia (sebarang insiden tidak diingini) berlaku, kita ada pasukan perubatan di Arab Saudi untuk menolong jemaah kita untuk mengatasi cabaran-cabaran kesihatan mereka,” kata Dr Yaacob.
Antara jemaah haji yang berangkat ke tanah suci hari ini ialah Cik Siti ‘Alawiyah Johari, 26 tahun berserta ibu dan ayahnya. Tahun ini merupakan kali pertama mereka menunaikan haji. Segala persiapan dari segi mental dan fizikal sudah dilakukan sebaiknya.
“Dalam segi persiapan, kita tahu informasi dari segi apa yang kita perlu buat di sana dan juga dari segi mengambil langkah-langkah berjaga tambahan,” ujarnya.
141 JEMAAH NAIK SCOOT
Daripada 467 jemaah hari ini, 141 daripadanya berangkat menaiki penerbangan Scoot – tahun pertama ia menyediakan penerbangan ke Jeddah.
(Gambar-gambar: MUIS)
Lebih menarik lagi bagi seorang lagi jemaah haji, Cik Sharifah Salmah Alhabshi, 60 tahun, ini merupakan pengalaman pertamanya menaiki Scoot memandangkan kali pertama beliau ke Makkah adalah dengan menaiki kapal laut.
“Itu dalam akhir tahun 1974, 1975 saya masih budak lagi, saya pergi naik kapal dengan ibu, bapa dengan kakak saya. Jadi kita pergi haji dengan kapal Eastern Malaysia Raya, ia memakan masa 16 hari sampai ke Jeddah,” ujarnya.
Kumpulan terakhir jemaah haji Singapura dijadual berangkat, lusa.
Source: http://berita.mediacorp.sg