Madrasah Wak Tanjong Perlu Kumpul S$12 Juta Jika Mahu Perbaharui Tempoh Pajakan

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dikatakan perlu mengumpul lebih S$12 juta dalam kurang dua tahun jika ia mahu memperbaharui tempoh pajakan premisnya di Sims Avenue.

Anggaran jumlah itu dianggarkan berdasarkan pemerhati pasaran hartanah.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan semalam (5 Sep) menawarkan pakej bantuan menyeluruh kepada Madrasah Wak Tanjong bagi membiayai pajakan jangka panjang itu.

Seluas 43,000 kaki persegi, Madrasah Wak Tanjong yang terletak di Sims Avenue dekat Geylang Serai berada di tengah-tengah hartanah komersil dan kediaman.

KOS PAJAKAN JANGKA PANJANG BOLEH CECAH HINGGA S$18 JUTA

Berdasarkan itu, pemerhati pasaran hartanah, Commercial Guru dan SRX Property, menganggarkan kos pajakan jangka panjang bagi Madrasah Wak Tanjong boleh mencecah lebih S$12 juta hingga S$18 juta.

Pengamat hartanah, Sazali Sarwan, berkata: “Ia dibina atas tanah institut pendidikan, jadi selalunya kosnya tidak dapat disamakan dengan kos biaya untuk komersil di mana komersil dianggarkan S$4 hingga S$4.50 bagi setiap kaki persegi.”

Dengan tempoh pajakan Madrasah Wak Tanjong berakhir pada Jun 2018, ia perlu mempertimbangkan sama ada ia mampu mengumpul dana sebanyak itu dalam tempoh kurang dua tahun.

Encik Sazali berkata: “Dari pandangan komersil, kalau mereka tidak dapat mengumpul dana sebanyak itu, mereka harus membuat keputusan untuk beralih tempat, pindah, ataupun tidak dapat diteruskan.

“Selalunya bagi pihak URA (Penguasa Pembangunan Semula Bandar), mereka akan memberikan peluang kepada penyewa sedia ada atau institut yang ada ini untuk memberikan tender tertutup. Andai kata ia tidak memenuhi syarat-syarat yang ditentukan, selalunya pihak URA akan memberikan peluang kepada yang lain secara tender terbuka dan tertutup.”

Untuk meringankan beban Madrasah Wak Tanjong dalam usahanya mengumpul dana, MUIS sudah bertemu dengan pihak pengurusan Wak Tanjong minggu lalu bagi menawarkan pakej bantuan menyeluruh.

MUIS TAWARKAN BIAYAI KOS PAJAKAN

Dengan ini, MUIS akan membiayai kos pajakan jangka panjang serta mengukuhkan lagi madrasah tersebut, sekaligus membolehkannya memberi tumpuan kepada usaha meneruskan warisannya dan melahirkan barisan ulama yang dapat menyumbang kepada kebaikan masyarakat Islam/Singapura.

Inisiatif itu, menurut MUIS, adalah sebahagian daripada usahanya untuk mengukuhkan lagi seluruh sektor madrasah.

Ketika dihubungi semalam, Mudir Madrasah Wak Tanjong, Ustaz Abdul Halim Mohd Noor berkata pihaknya masih lagi meneliti tawaran MUIS dan perinciannya akan dibincangkan lagi.

Pada masa sekarang, para asatizah dan pelajar Madrasah Wak Tanjong menerima sokongan dari MUIS melalui Skim Bantuan Kewangan Madrasah (PROMAS), pemansuhan bayaran peperiksaan nasional bagi semua mata pelajaran serta biasiswa dan dermasiswa.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *