Mufti Ajak Umat Islam Sebar Rahmah Sesama Insan Dalam Tazkirah Awal Muharram

Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram mengajak umat Islam tempatan supaya meneruskan gagasan hijrah Nabi Muhammad dengan menjadi sebuah masyarakat yang menyebarkan rahmah sesama insan.

Beliau berkata demikian di majlis Sambutan Awal Muharram 1438 Hijrah, di Masjid Al-Istighfar, malam tadi (1 Okt).

Sejajar dengan tema sambutannya, Masyarakat Berjiwa Rahmah, Dr Fatris berkata peristiwa hijrah itu mengingatkan kita tentang keperluan anjakan paradigma dalam kehidupan insan, penyesuaian kepada perubahan serta mengorak langkah ke arah pembangunan dan kemajuan.

Turut hadir di acara tersebut ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli serta beberapa pemimpin Melayu/Islam yang lain.

PERLU KUKUHKAN KEHIDUPAN DALAM MASYARAKAT MAJMUK

Dalam tazkirahnya yang disampaikan selepas solat Maghrib, Mufti menekankan bahawa orang-orang Islam yang baik adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

Beliau berkata sifat rahmah dapat disebarkan dengan mengukuhkan kehidupan dalam masyarakat majmuk di negara ini dengan sikap saling membantu sesama insan.

Ini termasuk prihatin terhadap anggota masyarakat lain dan peka akan keperluan kehidupan beragama di sini.

ETOS HIJRAH AJAK AMALKAN ISLAM DALAM KONTEKS SOSIO-BUDAYA

Dr Fatris menambah bahawa etos penghijrahan mengajak kita supaya terus mengamalkan ajaran Islam dengan mengambil kira konteks sosio-budaya sesuatu tempat.

Ini bermakna kita perlu mengambil kira keperluan serta realiti kehidupan – sesuatu yang sudah lama diamalkan para ulama bagi mencari huraian kepada kehidupan masyarakat.

Ia juga sekaligus menyumbang kepada kefahaman Islam dengan lensa yang terbuka dan inklusif, sejajar dengan hakikat bahawa agama Islam itu tidak terhad kepada sesuatu zaman ataupun sepadan geografi.

Malah, sejarah Islam sendiri menunjukkan sememangnya agama itu boleh bertapak dengan jayanya dalam masyarakat majmuk di mana umatnya merupakan golongan minoriti.

Dr Fatris juga menekankan peri penting melihat pada konsep Siyasah Al-Syariah daripada teks-teks klasikal menerusi kaca mata hari ini.

Menurutnya, memahami maksud dan konteks itu penting, bukan sahaja bagi memahami teks agama tetapi juga untuk mengenalpasti maksud dan tujuan sebenar di sebalik pendapat ulama tentang sesuatu perkara.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *