Noor Deros: Apakah Islam Itu Setakat Nila-Nilai Yang Baik?

Nabi datang bawa lebih dari nilai (values) dan akhlaq, Nabi datang bawa nilai terbaik antara yang baik dan yang baik antara yang nampak macam baik, Nabi datang bawa penyempurna akhlaq (لأتمم مكارم الأخلاق) bukan hanya akhlaq, Nabi datang bawa Syariah sebagai satu-satunya bentuk (form) yang mampu membawa, memelihara dan menyebarkan isi (substance) yang diajarkan wahyu dengan sempurna, ia bukan setakat undang-undang yanghanya tunduk pada konteks, sebaliknya ia (الثوابت) adalah undang-undang merentas zaman dan budaya yang mampu dan yang sepatutnya memelihara dan membaiki konteks.

Contoh : keadilan kewangan hanya boleh berlaku bila hukum-hakam riba dijaga betul-betul, bercakap tentang keadilan kewangan sambil mengamalkan riba dan tidak menganggapnya sebagai masalah hanyalah satu usaha yang tidak jujur dan tidak akan berjaya, bahkan menambah kepada masalah yang sedia ada.

Seorang muslim tidak sepatutnya mengecilkan Islam hanya pada takatan nilai dan menganggap bahawa dia boleh mencipta bentuk (form) baru (atau meminjamnya dari sistem bukan Islam) yang akan mampu menampung dan menyalurkan nilai-nilai yang dibawa wahyu dengan kualiti yang sama atau lebih baik. Dia lebih salah apabila terlalu terbuka belajar dari “sesiapa” sahaja dan mengambil bentuk dari sesiapa saja walaupun perkara yang dipelajari itu termasuk bab pegangan dan kepercayaan hidup. Hikmah yang dimaksudkan dalam hadith الحكمة ضالة المؤمن harus difahami betul-betul, merasakan dan menganggap sesuatu itu berhikmah tidak menjadikannya benar-benar berhikmah. Hikmah itu mesti Haq, jika tidak Haq, tiadalah hikmah itu.

Manusia berakal sihat sudah sedia maklum akan nilai-nilai dan akhlaq asas, manusia tidak beragama juga tahu, tapi dia tidak akan mampu menghasilkan satu sistem menyeluruh yang dapat memelihara, menyebarkan dan mengukuhkan nilai-nilai dan akhlaq yang terbaik itu.

Atas sebab ini diutuskan para Nabi, mereka bawa isi bersama dengan bentuk yang akan memelihara isi itu. Jika kita mengatakan bahawa agama ini hanyalah nilai-nilai semata-mata maka kita telah secara langsung memberikan lesen pada manusia untuk tidak mengambil “agama” dari para nabi; cukuplah menggunakan akal sendiri, kerana akak fitri kita semua sedia maklum bahawa rahmah itu baik, membantu satu sama lain itu baik, kebersihan itu baik, merendah diri itu baik etc.

Memperlekehkan bentuk agama dan membenturkannya dengan nilai agama adalah langkah awal sebelum pengenyahan bentuk agama secara total. Bila ini berlaku maka agama setakat menjadi salah satu daripada falsafah-falsafah hidup yang terapung-apung dan terbuka kepada kefahaman dan kesalahfahaman sesiapa sahaja.

Nilai tanpa bentuk samalah seperti roh tanpa jasad, ia tidak boleh berfungsi didalam dimensi yang berbentuk ini (dunia).

Bentuk yang rosak akan memberi kesan pada nilai, samalah seperti badan yang diisi dengan makanan haram akan mencederakan rohani kita.

 

Source: Noor Deros

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *