Kanak-Kanak Syria Luah Perasaan Takut Di Twitter

SYRIA: Saban hari kita dikhabarkan tentang keadaan menyedihkan di kota Aleppo, Syria, di mana ratusan nyawa yang tidak bersalah terkorban akibat peperangan di sana.

Lebih menyayat hati, apabila antara nyawa yang terbang melayang di tangan mereka yang tidak bertanggungjawab, adalah kanak-kanak yang tidak berdosa.

Bagaimana pula perasaan kanak-kanak ini yang setiap hari mendengar bedilan demi bedilan bom dan melihat anggota keluarga serta rakan-rakan mereka mati satu persatu dan hanya menunggu masa, yang entah bila, untuk diri mereka sendiri menjadi mangsa.

PUNYAI LEBIH 35,000 PENGIKUT

Bagi Bana Alabed, tujuh tahun, apa yang dilaluinya dikongsi bersama lebih 35,000 pengikut di laman Twitter beliau.

Baru-baru ini, Bana memuat naik gambar dirinya yang sedang duduk sambil memegang sebuah buku dan boleh dilihat juga anak patung milik beliau berada di sisinya.

Bersama gambar itu Bana menulis: “Selamat Petang dari Aleppo. Saya sedang membaca untuk melupakan tentang perang.”

Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria, terbahagi dua semasa negara itu berada dalam konflik yang berlarutan.

Kehidupan seharian para penduduknya, yang terperangkap antara puak pemberontak dengan pasukan-pasukan pemerintah, menjadi satu kesukaran yang terpaksa diharungi, lapor BBC.

MINTA DIDOAKAN SUPAYA SELAMAT, DAPAT TERUS HIDUP

Catatan Twitter Bana, dalam bahasa Inggeris dibantu oleh ibu beliau yang merupakan seorang guru, menarik perhatian terhadap kesusahan yang dilalui mereka di Aleppo, kawasan yang dikawal puak pemberontak.

Salah satu catatan Bana, iaitu sebuah rakaman video, yang menunjukkan beliau bersama dua orang adik-beradik lelakinya, Mohamed, lima tahun dan Noor yang berusia tiga tahun – dengan mesej “Sedang melukis bersama adik-adik sebelum kapal terbang datang. Kami memerlukan keamanan untuk melukis.”

Menerusi catatan-catatan, gambar dan video yang dimuat naik ke laman Twitter @AlabedBana, warga siber dapat serba-sedikit merasai pengalaman Bana dan keluarganya.

Malah, ada juga video-video di mana para pengikut boleh mendengar bunyi letupan bom dan Bana atau ibu beliau Cik Fatemah meminta agar didoakan supaya mereka dapat terus hidup dan terselamat.

Salah satu rakaman video itu menunjukkan Bana berdiri di tepi tingkap sambil menutup telinga dan letupan bom boleh didengar, dengan catatan yang berbunyi: “Saya amat takut saya akan mati malam ini (…) Bom akan membunuh saya – Bana”.

 

“MENGAPA TIADA ORANG BANTU KITA?”

Menerusi wawancara bersama BBC, Cik Fatemah berkata, anak perempuan beliau benar-benar mahukan “seluruh dunia mendengar suara kami”.

“Bana bertanya, ‘Ibu, mengapa tiada orang membantu kita?” kata Cik Fatemah.

Meskipun sebahagian catatan yang dimuat naik di laman Twitter beliau begitu membimbangkan, Bana seperti sudah lali dengan keadaan itu.

“Beliau sudah lihat semuanya di sini,” kata Cik Fatemah.

“Beliau melihat sendiri kawannya terbunuh dan rumah kami dibom. Malah beliau melihat sendiri sekolah beliau hancur akibat bom. Semuanya menjejas beliau,” tambah ibu Bana menerusi panggilan video, yang terputus-putus, bersama BBC.

 

BEKALAN MAKANAN BERKURANGAN, UBAT HABIS

Menurut Cik Fatemah, Bana bercita-cita menjadi seorang guru bahasa Inggeris seperti beliau setelah dewasa kelak.

Namun, beliau sudah tidak ke sekolah sejak tahun lalu meskipun beliau ingin meneruskan persekolahannya.

Selain itu, Cik Fatemah memberitahu BBC, bahawa keluarga mereka masih dapat memanfaatkan tenaga elektrik menerusi tenaga solar namun khidmat internet dan telefon yang teruk menjadikannya sukar untuk menghubungi mereka.

Menurut Cik Fatemah, bekalan makanan dan perubatan juga semakin lama semakin berkurangan.

Baru-baru ini, menurut beliau, anak bongsunya jatuh sakit dan dikejarkan ke hospital.

Malangnya, mereka diberitahu bahawa bekalan ubat sudah habis.

Sedang akaun Twitter itu mula meraih jumlah pengikut yang ramai, Cik Fatemah memberitahu BBC bahawa terdapat sesetengah pihak yang menuduh beliau mengendalikan akaun “palsu” atau mempergunakan anak beliau bagi tujuan propaganda.

Malah, penguasaan bahasa Inggeris Bana turut menjadi persoalan warga siber.

 

DITUDUH GUNA ANAK BAGI TUJUAN PROPAGANDA

Cik Fatemah berkongsi bahawa bapa Bana merupakan seorang peguam yang bekerja di sebuah pusat guaman yang terletak di kawasan bandar.

Cik Fatemah sendiri mempelajari bahasa Inggeris di sebuah institut bahasa selama tiga tahun serta merupakan penuntut jurusan undang-undang di sebuah universiti.

Beliau sendiri mengajarkan bahasa Inggeris kepada Bana sejak kanak-kanak itu berusia empat tahun.

Maka, apabila dituduh berbohong beliau menyifatkannya sebagai mengecewakan.

Semasa wawancara bersama BBC, Cik Fatemah bertanya sama ada wartawan dapat mendengar bunyi ngauman pesawat dari ruang udara mereka, sambil menambah bahawa ia akan berlarutan selama berjam-jam.

“Mereka akan jatuhkan bom tanpa sebarang perasaan belas.

“Kami bukan pengganas. Kami bukan ISIS,” tegas beliau. “Kami semua di sini tidak bersalah.”

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *