Peminat Singapura Taja Sepenuhnya Persandingan Ke-3 Amar Baharin Dan Amyra Rosli

Pasangan pelakon popular yang bak pinang dibelah dua, Amar Baharin dan Amyra Rosli, akan diraikan dalam satu majlis persandingan di Singapura.

Majlis itu yang akan berlangsung pada 3 Disember nanti, merupakan yang ketiga bagi pasangan tersebut dan ia ditaja sepenuhnya oleh para peminat mereka di Singapura.

Menurut Amyra Rosli, 25 tahun, beliau terkejut apabila diberitahu majlis yang ketiga itu akan diuruskan sepenuhnya oleh kelab peminat mereka di Singapura, lapor laman Astro Gempak.

“Kami tidak sangka juga apabila diberitahu peminat di Singapura yang mereka bakal adakan sebuah majlis persandingan untuk kami di sana.

“Mereka uruskan semua tajaan dan hal perkahwinan kami sepenuhnya dan hanya meminta kami datang untuk menghadirinya sahaja,” kata Amyra seperti yang ditukil laman Astro Gempak.

“Apa yang kami diberitahu mereka mendapat tajaan sepenuhnya untuk kami dari baju pengantin hinggalah ke seluruh majlis dan katering.

“Peminat kami sangat menyokong dan kami amat menghargai segala usaha mereka lakukan ini. Kami anggap ini rezeki,” katanya.

Menurut laporan Astro Gempak lagi, majlis persandingan itu dianjurkan oleh dua kelab peminat di Singapura iaitu Amyra Rosli Supporter dan Amar Baharin Official Page (ABOP).

Amar dan Amyra sudahpun dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan dalam satu majlis gah di Hotel Primiera Kuala Lumpur pada 11 November lalu.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *