Fidd Osman – Your Female Barber

Beliau seorang wanita. Usianya baru 24 tahun. Beliau berkelulusan Diploma Rekaan Grafik. Namun beliau sebenarnya seorang Tukang Gunting, atau cakap Inggerisnya, beliau seorang ‘barber’.

Diperkenalkan – nama beliau ialah Siti Rafidah Osman.

Namun Siti Rafidah atau lebih mesra dipanggil Fidd Osman, bukan sebarang ‘barber’. Beliau juga seorang tauke kedai gunting untuk lelaki!

BERITAMediacorp difahamkan, Fidd mungkin satu-satunya pemilik wanita dalam perniagaan kedai gunting yang secara amnya dikuasai kaum lelaki. (Bukan jenis kedai dandan rambut).

Kini sudah sekitar dua tahun setengah Fidd menjadi tukang gunting. Kedai guntingnya bernama Limpeh Barber Shop yang terletak di Bedok, dan beliau mempunyai tiga orang pekerja.

ISU ‘BARBER’ PEREMPUAN SENTUH PELANGGAN LELAKI

Semasa BERITAMediacorp mengunjungi kedai Fidd di Bedok North Street 3 itu, beliau sedang menggunting rambut seorang pelanggan lelaki dengan memakai sarung tangan.

“Saya tahu isu sentuhan lelaki perempuan akan dipersoalkan tetapi saya berbincang dengan ibu dan juga melakukan kajian saya sendiri supaya langkah saya ambil tidak ada yang salah,” jelas beliau, yang pernah bekerja sebagai pereka grafik selepas tamat pendidikan di Akademi Kesenian Halus Nanyang (NAFA).

Fidd juga menambah dengan memakai sarung tangan juga sebenarnya adalah sebahagian daripada tanggungjawab beliau sebagai seorang tukang gunting rambut untuk menjaga kebersihan.

CARA UNIK CUKUR JANGGUT, JAMBANG LELAKI

Apabila ada permintaan untuk mencukur misai dan janggut atau jambang pelanggan lelaki, beliau akan meletakkan sehelai tuala basah menutupi mata pelanggannya.

Menurut Fidd yang juga bertindak sebagai Ketua Tukang Gunting kedainya, selain menenangkan pelanggan, kaedah itu juga membuat mereka tidak berasa kekok dek harus melihat beliau.

Tauke muda ini sebenarnya mendapat idea itu semasa berkunjung ke sebuah kedai gunting di Pulau Pinang yang melakukan perkara yang sama.

Perkara-perkara itulah yang Fidd percaya membuatkan para pelanggan beliau datang semula berulang kali ke kedainya, dan kemudian mengusulkan pula kepada orang lain.

BAGAIMANA LIMPEH BARBER SHOP BERMULA

Perjalanan Fidd Osman menjadi tukang gunting sebenarnya bermula dengan cara yang ramai tidak akan bayangkan. Bukan di kedai.

Fidd juga memberitahu BERITAMediacorp pada awalnya beliau mula menggunting rambut di luar rumahnya sendiri.

Kemudian, beliau diberi ruang dan peluang ‘meletakkan sebuah kerusi’ di sebuah kedai yang dimiliki makcik kepada seorang rakannya. Ini agar Fidd ada tempat yang lebih elok untuk menjalankan tugasnya selaku tukang gunting.

Ibarat bulan jatuh ke riba, beberapa bulan kemudian makcik berkenaan enggan meneruskan sewa, dan pemilik ruang komersil itu segera menawarkan untuk menyewakan keseluruhan ruang kedai itu kepada Fidd.

Maka, dari situlah terlahirnya Limpeh Barber Shop yang mempunyai empat kerusi.

End the night looking with a Hensem video ! Good night folks, Stay Hensem ! Barber Fidd still have slots tomorrow at…

Posted by Limpeh Barbershop on Thursday, 20 October 2016

 

APA KATA PELANGGAN LIMPEH?

Seorang pelanggan muda yang kami temui semasa di sana, Jamien, yang berusia 19 tahun berkata: “Saya suka ke sini kerana khidmatnya boleh tahan dan secara individu, mengikut keperluan saya.”

Fidd juga mempunyai strategi pelanggan yang nampaknya bersifat memikirkan jangka panjang.

“Saya percaya dan inginkan para pelanggan berasa selesa semasa mereka ke kedai saya. Itulah sebabnya saya cuba menang hati pelanggan saya sebelum membuat duit menjadi tujuan utama. Saya menghargai perhubungan saya dengan para pelanggan saya,” kata beliau.

Fidd juga berkongsi kedai beliau yang terletak di kawasan kejiranan membuatkan beliau lebih santai mengeratkan hubungan dengan para pelanggannya.

“Ramai pelajar datang sini dan mereka tidak segan untuk berkongsi cerita-cerita menarik. Ada cerita gembira, ada cerita yang sedih dan saya turut memberikan nasihat saya kepada mereka,” katanya.

IBU “TERKEJUT” ANAK PEREMPUAN JADI ‘BARBER’

Dengan jujur Fidd berkata, pada mulanya beliau terpaksa membohongi ibu bapanya tentang minat beliau dalam dunia ‘gunting rambut lelaki’ ini kerana takut ia menjadi penghalang buat beliau.

Namun, beliau terpaksa berterus terang selepas permintaan mula bertambah.

“Ibu saya terkejut. Tetapi beliau selepas itu yang banyak membantu dan menasihatkan saya. Ayah pula lebih kepada mencabar supaya untuk jangan jadikannya satu angan-angan saja.

“Mungkin dari situlah saya tidak pernah putus asa dan menganggap semua yang diberi adalah satu cabran untuk saya terus membuat dengan lebih baik,” kata Fidd dengan ceria.

Namun bagaimana sebenarnya Fidd jatuh cinta kepada pekerjaan ‘barber’ ini?

‘HENSEM LIKE YOUR LIMPEH’

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Instagram @limpehbarbershop)

Ini semua gara-gara projek tahun akhir yang dipilihnya semasa menuntut di NAFA, iaitu mengenai ‘tukang gunting’ dan produk-produk rambut lelaki.

Dipendekkan cerita, beliau menjadi seorang perantis (apprentice) tukang gunting selama enam bulan.

Selepas enam bulan berlalu, jari jemari Fidd nampaknya tidak dapat berpisah dengan gunting dan rambut lelaki.

Maka terlahirlah Limpeh Barber Shop.

Bagi anda yang musykil, apa makna ‘Limpeh’, ia sebenarnya perkataan Hokkien yang bermakna ‘Bapa anda’.

Daripada nama itu, timbullah taktik Fidd menggunakan ‘Hensem Like Your Limpeh’ sebagai slogan bagi memasarkan kedainya di kalangan para pelanggan.

Yang pasti, Siti Rafidah Osman sudah memecahkan satu siling kaca dalam gelanggang ‘kedai gunting’!

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *