Suami Isteri Berbasikal Ke Makkah Sudah Lepasi 11 Negara, Tinggal 1 Negara Untuk Sampai Destinasi

Sepasang suami isteri Melayu yang sedang dalam perjalanan menunaikan ibadah umrah dengan sekadar mengayuh basikal sahaja, bakal mencapai hajat mereka tidak lama lagi setelah mengembara sembilan bulan lamanya.

Ya, pasangan rakyat Malaysia itu – Encik Ahmad Mohd Isa, 27 tahun dan isterinya Noradilah Mohd Sapie, 28 tahun memilih untuk mengayuh kenderaan dua roda itu sahaja ke tanah suci.

Sebelum ini, pasangan itu dilaporkan nekad mencabar keupayaan mereka melakukan ekspedisi berbasikal ‘Kembara Memburu Hikmah’ (KMH), dengan mengayuh basikal dari Malaysia ke Makkah sejauh 17,000 kilometer.

Setelah bertolak dari Malaysia, mereka perlu melalui 13 buah negara lain dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan – iaitu Thailand, Myanmar, India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Iran, UAE, sebelum menjejakkan kaki ke Arab Saudi selaku negara ke-13.

Encik Ahmad Mohd Isa dan isterinya Noradilah Mohd Sapie ketika di Khazakhstan.

TINGGAL 1 NEGARA UNTUK SAMPAI MAKKAH

Dalam wawancara menerusi kiriman emel dengan BERITAMediacorp, pasangan itu memberitahu bahawa mereka kini sudah berada di Afghanistan, negara ke-11 daripada 12 negara yang perlu dilalui. Ini bermakna tinggal lagi 1 negara perlu direntasi sebelum tiba di Arab Saudi.

“Alhamdulillah, selama 27 hari kami di Uzbekistan iaitu dari 11 Disember 2016 hingga 6 Januari 2017, sekarang kami sudahpun berada di Afghanistan. Insya Allah, mengikut perancangan kami, perjalanan seterusnya (mengikut urutan) adalah Iran, Amiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi,” kata mereka.

Menurut Encik Ahmad dan Cik Noradilah, antara cabaran besar yang mereka lalui sepanjang pengembaraan itu adalah masalah komunikasi dengan masyarakat di sesebuah negara.

“Bahasa yang mereka tuturkan seperti Urdu, Uighur, Parsi dan Bahasa tempatan lain tidak dapat diterjemahkan menggunakan mana-mana aplikasi di internet.

“Mereka pula kebanyakannya tidak memahami bahasa Inggeris atau Arab. Maka ini menyulitkan komunikasi antara kami untuk saling bertukar-tukar pandangan,” pasangan itu memberitahu BERITAMediacorp.

Encik Ahmad Mohd Isa dan isterinya Noradilah Mohd Sapie ketika di Kyrgystan.

PERTAMA KALI BERBASIKAL PADA MUSIM SALJI

Sungguhpun begitu, pengalaman yang diraih ada juga yang memberi kesan mendalam kepada pasangan yang memang ‘kaki basikal’ dan membesar dengan berbasikal daripada zaman sekolah hingga ke universiti.

Di laman Facebook KMH, pasangan itu berkongsi “pengalaman hebat” ketika berbasikal pada musim salji di Kazakhstan – menerusi video yang dimuat naik – kerana itulah kali pertama mereka bergelumang dengan salji!

Ternyata bukan mudah kerana mereka beberapa kali tergelincir. Namun menurut pasangan berkenaan ia “membuatkan hati mereka semakin kental untuk meneruskan perjalanan”.

“MAKANAN TIDAK PUTUS-PUTUS”

Selain itu layanan baik yang diterima cukup membuatkan mereka tersentuh.

“Pelbagai bentuk layanan dan bantuan yang di luar jangkaan kami terima daripada insan-insan berhati mulia sepanjang perjalanan ini dan semuanya membuat kami tersentuh.

“Sejak memasuki negara-negara ‘STAN’ (Pakistan, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Afghanistan, Kazahstan), rezeki dalam bentuk makanan tidak putus-putus. Kami tidak sempat untuk berasa lapar.

“Setiap kali dijemput makan, makanan penuh terhidang atas meja, kata mereka, ini adalah adat budaya mereka untuk memanjakan tetamu dengan pelbagai jenis hidangan.

“Semoga Allah merahmati hidup mereka yang memberikan bantuan, sokongan dan mendoakan kami sama ada kami tahu atau tidak. Setiap kebaikan itu ada balasan dan rahmat di sisiNya.”

MAHU “SUJUD SYUKUR DEPAN KAABAH”

Setelah sekitar sembilan bulan perjalanan mereka, iaitu sejak April 2016, kini Cik Noradilah dan suaminya semakin hampir ke destinasi utama, yang diidam-idamkan setelah sekian lama.

Ketibaan mereka di Makkah nanti pasti menjadi satu detik bersejarah dalam kehidupan mereka dan tiada tolok bandingnya.

BERITAMediacorp diberitahu sebaik sahaja menjejakkan kaki di Makkah, perkara pertama yang ingin dilakukan adalah “bersujud syukur di hadapan Kaabah”.

RINDU DAKAP IBU BAPA

Encik Ahmad dan Cik Noradilah dijangka berada di Makkah menunaikan umrah selama dua minggu sebelum pulang ke pangkuan keluarga tercinta di Malaysia.

“Kami rindu sekali menjejakkan kaki ke tanah air sendiri selepas ke tanah suci Makkah dan Madinah. Selain itu kami juga rindu ingin mendakap kedua-dua ibu bapa kami yang tidak putus-putus mendoakan perjalanan kami agar sentiasa lancar dan selamat,” luah pasangan kembara ini.

Encik Ahmad Mohd Isa dan isterinya Noradilah Mohd Sapie ketika di Nepal.

Selain melakukan misi kemanusiaan di setiap negara yang dijelajah, pasangan suami isteri itu turut membawa cabaran merekod data berkaitan sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat Islam.

Turut mengiringi misi KMH itu ialah Mohd Nur Aiman Mohd Zaid, 27 tahun, dan Amirul Ariff Abd Wahab, 28, yang bertindak sebagai kru penggambaran video.

Perkembangan semasa ekspedisi itu boleh diikuti melalui facebook Kembara Memburu Hikmah.

Encik Ahmad dan Cik Noradilah yang berasal dari Selangor, dijangka menamatkan misi itu dan tiba di Masjidil Haram pada April 2017.

 

 

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *