Kisah Menarik Dua Gerai Melayu Rancakkan ‘Bazar Raya’ Tahun Baru Cina

Siapa kata anda tidak boleh membeli makanan halal sambil menikmati suasana perayaan Tahun Baru Cina di Chinatown? Dan siapa kata anda tidak boleh mendapatkan kuih dan kek tradisional Melayu dan sebagainya di ‘bazar raya’ Tahun Baru Cina?

Itulah yang ditawarkan dua kedai anak Melayu, bernama Ovenly Sweet dan Word, di bazar-bazar sedemikian sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang.

BERITAMediacorp meninjau-ninjau keunikan berniaga di pasar malam Tahun Baru Cina yang terletak di Temple Street di kawasan Chinatown dan juga menyelam pengalaman anak Melayu yang menyewa sebuah kedai sementara bagi Tahun Baru Cina di pusat beli-belah Bedok Mall.

WORD – SATU-SATUNYA KEDAI MUSLIM TEMPATAN DI CHINATOWN

Kedai Word memang dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam tempatan. Bukan setakat memiliki sebuah kafe di kawasan Upper Thomson, Word juga pernah menyertai pasar malam-pasar malam tempatan seperti bazar Hari Raya di Geylang Serai.

Namun bagi pasar malam di Chinatown, ia adalah pengalaman pertama Word terjun berniaga dalam pasaran Cina. Cik Toni Lee Anwar Ali, 37 tahun, dari Word berkata tujuan Word membuka kedai di pasar malam berkenaan adalah untuk mencuba nasib di pasaran yang berbeza. Jadi, beliau menganggap pasar malam Chinatown tahun ini sebagai masa dan platform yang terbaik untuk melakukannya.

Antara hidangan menarik Word. (Gambar: Facebook/ Word)

Terkenal dengan hidangan ringan seperti ‘bagel’ pelangi dan minuman yang berwarna-warni, Word menyatakan ia tidak membuat sebarang penukaran kepada hidangan yang ditawarkan di Chinatown. Makanan-makanan dan minuman-minuman yang unik itu adalah bagi menarik golongan belia yang mengunjungi pasar malam tersebut.

YOUTHEATS@TEMPLE STREET

Matlamat yang disasarkan Word sesuai sekali dengan pasar malam di Temple Street. Ini kerana BERITAMediacorp difahamkan buat julung-julung kalinya pasar malam anjuran Jawatankuasa Perundingan Rakyat Kreta Ayer-Kim Seng (KA-KS CCC) itu memperuntukkan satu bahagian khas di pasar malam tersebut buat para usahawan muda.

Diberi nama YouthEats@Temple Street, KA-KS CCC menyatakan, tahun ini pihaknya mengkhususkan tempat bagi para usahawan muda menawarkan pelbagai makanan perayaan dan makanan yang unik. Ia berlangsung dari 6 hingga 27 Januari.

Itulah yang dimanfaatkan Word bagi memperkenalkan makanan jualannya dan menempa nama dalam pasaran yang berbeza daripada yang pernah ia sertai sebelum ini.

PERBEZAAN PELANGGAN MELAYU DENGAN CINA

Cik Toni memberitahu BERITAMediacorp walaupun hidangan yang ditawarkan Word tidak berbeza daripada pasar malam di Geylang dahulu, cabaran utama yang dialami beliau adalah tujuan para pelanggan yang berkunjung ke Chinatown.

“Jika pasar malam di Geylang, para pelanggan, lebih-lebih lagi orang Melayu, mereka memberi tumpuan untuk membeli makanan. Tetapi di sini, para pelanggan lebih tertumpu untuk membeli persiapan Tahun Baru Cina,” jelas Cik Toni kepada BERITAMediacorp.

Jadi, ini juga bermakna, bukan ‘beli sini makan sini’.

BUAT KAJIAN DAHULU SEBELUM INI

Botol kuih Ovenly Sweet yang siap dengan hiasan perayaan Tahun Baru Cina. (Gambar: Facebook/ Ovenly Sweet)

Bagi Pengurus Operasi Ovenly Sweet Fakhrul Arifin, pengalaman bergaul dengan kawan berbangsa Cina membantu beliau membuka kedai sementara di pusat beli-belah Bedok Mall. Beliau yang juga boleh bertutur dalam bahasa Mandarin dan Hokkien memberitahu BERITAMediacorp bahawa pengalaman itu membuat beliau mengenali budaya pelanggan yang disasarkan Ovenly Sweet.

“Saya belajar daripada para pelanggan saya tentang citarasa mereka dan selepas itu, saya memberitahu dan memberikan idea-idea kepada isteri dan ibu mertua saya yang merupakan pembuat kuih muih Ovenly Sweet,” ujar beliau yang berusia 37 tahun.

Encik Fakhrul dan isterinya, serta pemilik Ovenly Sweet, Cik Juliana, 36 tahun, mendapati beberapa perubahan kepada kuih yang dijual juga perlu dilakukan bagi mengikut citarasa para pelanggan mereka yang lebih 90 peratus terdiri daripada kaum Cina.

“Kami tidak tertumpu kepada kuih muih yang terlalu manis seperti Tapak Kuda dan Nutella Tart yang lazimnya menjadi tempahan utama kami semasa perayaan Hari Raya,” tambah beliau.

Encik Arifin sempat berkongsi kepada BERITAMediacorp, bahawa cara operasi beliau juga harus menjalani beberapa perubahan. Ini kerana para pelanggan beliau semasa musim perayaan Tahun Baru Cina mahukan rasa yang segar dan ‘baru dibuat sendiri’.

Jika semasa musim perayaan Hari Raya, para pelanggan tidak kisah membelinya lebih awal sebelum perayaan bermula. Perkara itu berbeza sekali bagi perniagaan untuk bazar Tahun Baru Cina. Menurut Encik Arifin, para pelanggan beliau akan membayar deposit sahaja dan hanya mahu mengambil kuih muih itu beberapa hari sebelum hari perayaan.

PELANGGAN CINA SUKA LIDAH KUCING, LEBIH NENAS PADA KUIH TART KERANA ADA ‘ONG’

Pasti ramai tertanya lakukah penjualan kuih muih Melayu semasa perayaan Tahun Baru Cina. Encik Arifin berkata: “Yang saya dan isteri terkejut, kuih lidah kucing kami yang paling laku dijual sehinggakan sudah habis bekalan kami.

Antara kuih yang dijual Ovenly Sweet semasa perayaan Tahun Baru Cina. (Gambar: Facebook/ Ovenly Sweet)

“Pelanggan saya memberitahu saya ‘Wah sangat warna-warni! Saya suka! Moga-moga ia membawa keceriaan kepada rumah dan keluarga saya semasa perayaan itu nanti.’”

Jika rasa kuih itu penting bagi masyarakat kita apabila mahu membeli kuih muih semasa perayaan Hari Raya, bagi para pelanggan Cina makna-makna kuih itu lebih menjadi perkara utama yang harus dipertimbangkan.

“Walaupun pelik tetapi benar. Mereka lebih suka kuih tart yang kelihatan keemas-emasan dan bukan yang gelap. Inti nenas pula harus berlebihan pada tart. Ini kerana nenas dalam bahasa mereka bermakna ‘mendatangkan kemewahan’ atau ada ‘ong’ (rezeki). Jadi mereka mahukan kuih tart sebegitu. Baru-baru apabila saya jual, saya rasa pelik juga,” seloroh Encik Arifin kepada BERITAMediacorp.

Walau apa-apapun pelibatan Word dan Ovenly Sweet dalam perayaan Tahun Baru Cina membuktikan kepada kita bahawa ada peluang untuk kita sama-sama menikmati suasana meriah sambutan Tahun Baru Cina. Bak kata pepatah, ‘tak kenal maka tak cinta’.

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *