Fluff Bakery Tebar Sayap Ke Kuala Lumpur

Fluff Bakery, kedai kek cawan atau ‘cupcake’ popular Singapura, sudahpun mula menebarkan sayapnya ke Kuala Lumpur. Ini apabila ia melancarkan kedai sementaranya yang pertama di ibu kota Malaysia itu.

Kesemuanya, Fluff Bakery akan membuka empat kedai sementara itu di sana.

Bagi kedai sementara yang pertama itu, ia dilancarkan lebih seminggu lalu (14 Jan) dalam satu acara privet. Ia dihadiri para penaja, rakan-rakan dan keluarga. Acara itu berjalan dengan lancar dengan hampir kesemua 450 kek cawan yang dibawa dari Singapura, disapu bersih!

“Kami sebenarnya tidak percaya dapat respons yang begitu baik. Tetapi Alhamdullilah semuanya baik hingga kami risau jika bekalan kami bawa ke Kuala Lumpur tidak mencukupi,” ujar pemilik bersama Fluff Bakery Mohammad Ashraf Mohammad Alami, 35 tahun.

RANCANG 4 KEDAI SEMENTARA DI KL

Kedai sementara yang berlangsung hanya sehari itu adalah yang pertama daripada empat siri yang akan diadakan Fluff Bakery di merata Kuala Lumpur.

Meskipun kedai sementara yang pertama itu diadakan secara privet, Fluff Bakery menyatakan tiga lagi kedai seumpamanya akan didedahkan kepada orang ramai pada masa yang terdekat.

“Insyaallah, menjelang bulan Mei nanti kami akan menubuhkan kedai yang tetap di Kuala Lumpur,” kongsi Nursyazanna Syaira Md Suhimi, 29 tahun, pemilik bersama dan ketua pembuat kek Fluff Bakery.

Pasangan suami isteri itu turut berkongsi kepada BERITAMediacorp bahawa impian untuk menembusi pasaran Kuala Lumpur atau Indonesia sudah lama terpendam sejak mereka bermula menapak di dunia perniagaan pada bulan November 2013.

“Memang sudah lama kami impikan menembusi pasaran lain dan pada masa yang sama, menyasarkan menjadi antara yang utama di Asia Tenggara,” tambah Encik Ashraf kepada BERITAMediacorp.

ISTERI JOVIAN MANDAGIE TAWAR BANTUAN

Fluff Bakery menyatakan terdapat ramai pelanggan mereka di Singapura, juga datang dari negara jiran. Pelanggan-pelanggan itu juga memberi maklum balas yang positif terhadap kek cawan mereka.

Namun penantian hendak menebarkan sayap ke Malaysia hanya berlaku apabila seorang lagi pasangan suami isteri yang juga pemilik kafe, Double A dari Malaysia, mempelawa Fluff Bakery untuk meneroka peluang di Malaysia.

Kalau sudah rezeki, takkan ke mana. Mungkin itulah pepatah yang sesuai diberikan Fluff Bakery. Ini kerana sejurus selepas idea Double A itu, seorang lagi usahawan Cik Nina Ismail Sabri yang juga isteri kepada pereka fesyen terkenal Jovian Mandagie melahirkan hasrat yang sama kepada kedua-dua Encik Ashraf dan Cik Syaira.

Menurut kedua-dua pemilik bersama itu, kedai sementara di Malaysia itu dibuat secara privet kerana mahu mendapatkan maklum balas terhadap produk-produk Fluff Bakery.

Antara mereka yang hadir semasa pelancaran itu adalah pelakon Alvin Chong, usahawan fesyen, Vivy Yusof, dan penulis-penulis blog di Malaysia.

KEDAI DI KL AKAN BERBEZA DARIPADA DI S’PURA

Walaupun bimbang andainya langkah itu terhenti separuh jalan, Fluff Bakery berkongsi kepada BERITAMediacorp bahawa masanya sudah tepat bagi mereka berdepan dengan cabaran baru supaya ‘tidak rasa selesa’.

“Di Singapura, kami sudah stabil. Dan kami berterima kasih kepada masyarakat kita yang sering menyokong perjalanan kami sejauh ini. Tetapi masanya sudah tiba untuk kami berdua ingin melihat berapa jauh ‘bayi kesayangan’ kami boleh pergi,” menurut Syaira dan Ashraf.

Dengan bantuan daripada rakan-rakan niaga di Malaysia, Fluff Bakery berharap rancangannya dapat berjalan dengan lancar. Apatah lagi, pesaing-pesaing dalam industri makanan di Malaysia memang hebat.

“Kami seronok dengan perjalanan kami sejauh ini dan tidak sabar untuk fasa seterusnya. Memang banyak cabaran yang akan kami hadapi. Yang utama sekali, kami tidak ada kelebihan dari segi pengikut kedai kami berbanding di Singapura,” ujar Encik Ashraf.

Kedai tetap yang bakal diadakan nanti di Kuala Lumpur juga berbeza daripada kedainya di Singapura. Di Kuala Lumpur, Fluff Bakery akan mengetengahkan kedai di mana para pelanggan dapat membeli dan menjamu selera di kedai itu sendiri.

“Isteri saya dan kakitangan kami akan menjalankan latihan untuk bakal pekerja kami di sana dan kami membuat kajian dan mendapatkan nasihat daripada rakan-rakan di sana mengenai selok-belok menjalankan perniagaan di Malaysia,” tambah Encik Ashraf kepada BERITAMediacorp.

APA RAHSIA SEBENAR FLUFF BAKERY?

Daripada sekadar mengambil tempahan, kepada ‘bersinggah di kedai orang’. Kemudian memiliki kedai sendiri dan akhirnya impian hampir menjadi kenyataan untuk membuka sebuah kedai tetap di Kuala Lumpur. Apakah sebenarnya rahsia Fluff Bakery?

Encik Ashraf tersenyum dan mendedahkan bahawa resepi atau senjata rahsia Fluff Bakery adalah… isterinya, Cik Syaira.

(Gambar-gambar: Instagram/Fluff Bakery/Nursyazanna Syaira)

“Beliau bukan saja berbakat tetapi juga mempunyai minat yang mendalam apabila timbul perihal membuat kek ini. Beliau tidak penat menukar dan mencari resepi dan kepelbagaian bagi produk-produk kami demi para pelanggan,” kata Encik Ashraf.

Cik Syaira pula berkongsi kepada BERITAMediacorp bahawa menjaga dan mempertahankan jenama Fluff Bakery itu juga antara perkara yang membuat Fluff Bakery berjaya.

“Sudah tentu suami saya banyak tolong dalam isu pentadbiran. Kalau harapkan saya, dah pengsan jadinya!” seloroh Cik Syaira.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *