Hari Valentine – Perayaan Bukan Islam Yang Punya Implikasi Pada Aqidah

Hari Valentine menurut sejarah Kristian pada asalnya ialah hari memperingati dua orang suci (saint) Kristian yang memiliki nama yang sama. Hari tersebut jatuh pada 14 Februari. Menurut lagenda Kristian, salah seorang dari dua orang suci tersebut adalah seorang paderi Rome yang terkorban dalam zaman penindasan Maharaja Claudius di Rome.

Hari Valentine (St Valentine’s Day) yang disambut orang pada hari ini (khususnya masyarakat Kristian) adalah merupakan hari istimewa bagi remaja-remaja yang bercinta. Walaupun menurut dakwaan bahawa hari ini tidak ada kaitan dengan hari peringatan paderi di atas, tetapi hari ini menurut sejarah telah disambut oleh masyarakat purba Roman di mana pada hari ini para remaja akan menamakan kekasih mereka dan meminang mereka dalam Perayaan Lupercalia yang jatuh pada 15 Februari. Perayaan ini kemudian diperkenalkan oleh masyarakat Kristian Rome kepada England. Sebagai menyesuaikan adat ini dengan amalan agama Kristian, pihak gereja telah menukarkan kepada Perayaan St Valentine yang dikenal sekarang ini dengan Hari Valentine (St Valentine’s Day).

Di Singapura, Hari Valentine disambut oleh kalangan muda-mudi dari berbagai bangsa, termasuk segelintir para remaja Islam yang cetek pengetahuan agama Islam dan hakikat hari tersebut. Kebanyakan remaja Islam kita yang menyambut hari tersebut adalah di kalangan mereka yang masih menuntut atau mereka yang terdedah kepada pergaulan bebas.

Pada hari tersebut, para remaja akan bertukar kad ucap selamat dengan menggunakan kad khas Hari Valentine yang bertemakan cinta. Bagi remaja-remaja yang bercinta pula, mereka akan membeli bunga-bunga untuk diberikan kepada kekasih. Bagi mereka juga seolah-olah hari tersebut adalah hari yang paling baik untuk mendapatkan kekasih. Oleh itu ramailah remaja-remaja yang keluar berdua-duaan pada hari tersebut sebagai meraikan sempenanya.

Dinukil dari artikel “Panduan Menyambut Perayaan Dalam Islam”, Majalah Warita (Issue 114) terbitan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), 1998

 

Source: Islamic Sq

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *