The Batter Room: Membuat Kek Dan Membantu Golongan Kurang Bernasib Baik Dan Berkeperluan Khas

Ini bengkel membuat kek yang sangat lain daripada yang lain. Ia ‘istimewa’. Bukan saja anda belajar membuat kek, biskut atau pastri di sini. Malah anda mungkin didampingi, disertai atau dibantu oleh golongan berkeperluan khas.

Itulah kelainan penuh bermakna yang ditawarkan The Batter Room kendalian Cik Nurhuda Mohd Nor, 36 tahun.

The Batter Room, yang terletak di Blok 825 Tampines St 81, adalah hasil gabungan dua minat mendalam Cik Nurhuda – membuat kek dan membantu golongan kurang bernasib baik dan berkeperluan khas.

“Walaupun ia hanya tiga bulan saja sejak Batter Room ditubuhkan, mengadakan studio yang inklusif untuk membuat kek sudah menjadi impian saya sejak usia saya 17 tahun lagi,” cerita Cik Nurhuda kepada BERITAMediacorp.

Kini, The Batter Room sudah membimbing sekitar 30 anak remaja sekolah rendah dan menengah yang mengalami keadaan seperti autisme, sindrom Down dan ADHD.

BELUM INKLUSIF LAGIKAH MASYARAKAT KITA?

Cik Nurhuda mempunyai pengalaman 19 tahun dalam bidang bekerja dengan golongan sedemikian. Beliau memberitahu BERITAMediacorp bahawa golongan berkeperluan khas itu kurang diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada wadah konvensional.

Beliau yang juga pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai seorang guru di Sekolah MINDS, memberitahu bahawa daripada pengalaman beliau, ramai bekas pelajarnya menghadapi kesusahan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Ini membuat golongan berkeperluan khas terlepas banyak peluang. Hanya mereka yang dapat berdikari saja dapat diambil kerja. Saya tertanya, bagaimana dengan yang lain? Saya tidak mahu keadaan mereka semakin teruk,” luah beliau.

Ada yang menganggap golongan tersebut sebagai sukar untuk diambil kerja dan banyak syarikat tidak mahu meluangkan masa untuk menjalankan latihan.

BERITAMediacorp juga mendapati daripada laporan-laporan sebelum ini bahawa, dalam satu tinjauan dijalankan Yayasan Lien, hanya lima daripada 10 ibu bapa selesa anak mereka berinteraksi dengan golongan berkeperluan khas.

JADI APAKAH PERANAN THE BATTER ROOM?

“Saya tahu saya tidak dapat membantu semua orang tetapi sekurang-kurangnya dapatlah menghulurkan bantuan sedikit,” ujar Cik Nurhuda.

The Batter Room sudah menjalankan beberapa bengkel untuk mereka yang berkeperluan khas dan satu bengkel inklusif di mana ia dihadiri masyarakat umum dan mereka yang berkeperluan khas.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Mereka juga memberi respons yang memberansangkan,” kata beliau penuh semangat kepada BERITAMediacorp.

Cik Nurhuda menyifatkan The Batter Room sebagai tempat memberi peluang untuk semua orang. Beliau memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau percaya golongan kurang bernasib baik dan berkeperluan khas hanya mereka yang disalahfahami.

“Saya ingin Batter Room menjadi ruang di mana tiada masalah untuk anda meluahkan segalanya, tiada masalah untuk anda mengalami ‘breakdown/meltdown’, tiada masalah penerimaan tidak kira kaum, masalah, latar belakang ataupun gangguan yang anda mengalami,” ujar beliau.

“KITA HIDUP SEKALI”, JADI BANTULAH SESAMA INSAN

Apabila ditanyakan soalan mengapa Cik Nurhuda memulakan The Batter Room, beliau memberitahu ia bukan sekadar minat dan impian saja.

Beliau menjelaskan kepada BERITAMediacorp bahawa harapan para ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas yang beliau kenali, menjadi antara faktor itu.

Ini bertambah dengan sokongan padu yang diberi suami Cik Nurhuda. Suaminya bukan saja mendengar dan turut berbincang dengannya tetapi juga memberikan kata-kata semangat untuk beliau memulakan usaha murni ini, kata Cik Nurhuda.

“Beliau memberitahu saya supaya jangan tunggu lagi. Teruskan. Tiada apa yang menghalang. Kami juga tidak ingin keuntungan. Kita hidup sekali. Kami harap dalam hidup ini dapat kami menyumbang dan membantu sesama insan,”ujar beliau.

IMPIAN LEBIH BESAR – BANTU LEBIH RAMAI KUMPULAN ‘TERSEPIT’

Akur dengan kemungkinan perniagaannya tidak memulangkan hasil yang menguntungkan, Cik Nurhuda berkata antara cabaran lain dialami The Batter Room adalah meyakinkan, mengenalkan, dan diterima masyarakat akan misi dan visi The Batter Room.

Beliau juga menambah bahawa beliau berharap The Batter Room dapat diiktiraf sebagai perusahaan sosial bagi mendapat pendanaan dan sokongan.

Ini kerana beliau berharap The Batter Room pada masa akan datang dapat membuka pintu kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti mereka yang mempunyai masalah kewangan, mental dan juga para bekas banduan.

Beliau juga berharap dapat menjadikan The Batter Room dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan yang mesra kerusi roda.

(Gambar-gambar: Nurhuda Mohd Nur, Facebook/ The Batter Room)

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan MINDS untuk menawarkan Batter Room sebagai tempat latihan amali bagi para pelajarnya,” katanya.

WAJAH THE BATTER ROOM YANG DIINGINKAN

Sejujurnya, menurut Cik Nurhuda, pada jangka masa panjang beliau berharap The Batter Room dapat menggajikan golongan kurang bernasib baik dan berkeperluan khas dan menjadi pembantu semasa bengkel diadakan.

“Saya cuma harap orang ramai dapat menerima Batter Room. Lebih daripada itu, saya harap masyarakat dapat menerima satu sama lain tanpa memikirkan kekurangan seseorang,” luah beliau.

Semestinya, Cik Nurhuda boleh disifatkan sebagai antara usahawan yang berani. Berani untuk tidak meninggalkan di belakang, golongan ‘istimewa’ yang memerlukan sokongan masyarakat. Berani untuk tidak mengejar wang dan keuntungan semata-mata, kerana sifat kemanusiannya.

 

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *