Pesakit Di TTSH Diberi Pilihan Beli Cawan, Sudu Garpu Sendiri

Sejak bulan lalu, semua pesakit yang dirawat di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) mempunyai pilihan untuk membeli sudu garpu mereka sendiri, setelah beberapa pesakit menyuarakan keprihatinan tentang kebersihan cawan-cawan yang dikongsi.

Diberi nama “Pek Mudah”, set tersebut, yang dirintis di sebuah wad pada Oktober lalu, menyediakan cawan, piring, sudu teh dan jag air. Pek itu berharga S$6.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, ketua jururawat hospital tersebut, Encik Yong Keng Kwang berkata sesetengah pesakit menyuarakan keprihatinan setelah mereka ternampak beberapa pesakit meludah ke dalam cawan-cawan yang disediakan buat penggunaan pesakit.

Beberapa pesakit lain juga menggunakan cawan-cawan tersebut untuk menyimpan barang, seperti gigi palsu.

Cawan dan jag air yang dikongsi dihantar ke dapur pusat hospital tersebut setiap pagi untuk dicuci dan dibersihkan daripada kuman, begitu juga bagi sudu garpu yang diberikan bersama dulang makanan pesakit, selepas setiap kali digunakan.

Meskipun hospital tersebut sudah memberikan jaminan, beberapa pesakit “masih berasa tidak selesa, dan maklum balas yang serupa diberikan berulang kali,” menurut Encik Yong.

Set Pek Mudah, yang diilhamkan oleh para jururawat dan pegawai kesihatan hospital itu, juga akan menjadi milik pesakit, yang boleh dibawa pulang. Para pesakit tidak perlu membeli pek tersebut jika mereka tidak mempunyai sebarang keprihatinan berhubung penggunaan bersama cawan dan jag.

Hospital-hospital awam lain yang dihubungi Mediacorp menyatakan bahawa ia tidak menyediakan pilihan sedemikian kepada para pesakit.

 

Source: BeritaMediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *