# Siapakah Mahram? oleh Ustaz Hamzah Jummat
Saudaraku, semoga Allah menambah-nambahkan ilmu agama kita semua.
Di saat masyarakat Islam semakin berilmu dan semakin memahami agama, kedengaran suara2 sumbang yang mempertahankan adat-istiadat jahil masa lalu di atas nama “adat Melayu”.
Lalu bermula cerita nostalgia sewaktu gadis2 Melayu cukup dengan pakaian kebaya & selendang dan bersalam-salaman dengan saudara-mara lelaki tanpa mengenali batas mahram.
Bukankah sesuatu yang amat buruk menggantikan ilmu & kefahaman dengan kejahilan? Lalu, diatasnamakan adat, adab & tatasusila Melayu? Sehingga dipinggirkan syari’at agama…
Semoga penjelasan ringkas berikut menambahkan fahaman kita mengenai isu mahram.
____________________
Mahram bagi seseorang wanita adalah suaminya dan sesiapa yang haram untuk dinikahinya buat selama-lamanya samada kerana faktor nasab (talian persaudaraan/kekeluargaan) seperti adik beradik lelakinya ataupun faktor yang mubah/harus hukumnya seperti adik-beradik lelaki susuannya ataupun persemendaan seperti suami kepada ibunya (yang telah menggauli ibunya)
Mereka adalah:
A. 7 DARIPADA NASAB
– hubungan kekeluargaan/keturunan
– haram menikahinya
– halal bersentuhan pada bahagian yang bukan aurat
– halal ikhtilat/khulwah yang sesuai batas Syara‘ & pendedahan aurat (yakni pada bahagian betis ke bawah dan leher ke atas)
– dan sah menjadi mahram yang menemaninya ketika bermusafir
1. Bapa,
2. anak-anak lelaki
3. adik-beradik lelaki (seibu sebapa/seibu sahaja/sebapa sahaja) – berbeza dengan adik-beradik anjing (saudara anjing[2])
4. bapa saudara (adik beradik bapa) dan
5. pakcik-pakcik (adik-beradik ibu)
6. anak saudara (anak daripada adik beradik lelaki) dan
7. keponakan (anak daripada adik-beradik perempuan).
B. 6 DARIPADA SUSUAN
– haram nikah & halal ikhtilat/khulwah yang sesuai batas Syara‘, pendedahan aurat (yakni pada bahagian betis ke bawah dan leher ke atas)
– dan sah menjadi mahram yang menemaninya ketika bermusafir. – – namun tiada hak perwarisan & tiada hak nafkah:
1. Suami kepada ibu susuannya – kewujudan susu dengan pergaulannya (berbeza dengan bekas suami kepada ibu susuan),
2. adik beradik susuannya (anak2 ibu susuan & anak2 suami ibu susuan yakni sebapa berbeza dengan anak-anak suami lain)
3. bapa kepada ibu susuannya
4. Bapa mertua ibu susuan (beza dengan mertua, yang merupakan suami kepada ibu susuan)
5. adik-beradik lelaki seibu kepada ibu susuan dan
6. adik beradik lelaki sebapa kepada ibu susuan.
C. SEMENDAAN:
1. Bapa mertua (ke atas) selama-lamanya haram menikahinya,
2. anak menantu (ke bawah) selama-lamanya haram menikahinya.
3. Ipar; mahram sementara yakni haram dinikahi buat sementara kerana halangan Syar‘i (apabila kakak/adik perempuannya meninggal, iparnya yakni suami kepada kakak/adik perempuannya ini halal menikahinya), begitu juga pakcik ipar (suami kepada makcik/ibu saudaranya) dan mereka ini tidak sah menjadi teman musafir dan tidak halal ikhtilat atau khulwah dengannya serta tidak pula diperbolehkan sentuhan dengannya atau pendedahan aurat di hadapannya, yakni sama sahaja seperti bukan mahram.
Demikian yang disimpulkan dan diperjelaskan oleh ‘ulama berpandukan ayat yang menerangkan Mahram (wanita yang haram dinikahi) bagi seseorang lelaki.
FirmanNya Subhaanahu wa Ta‘aala:
Ertinya: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’: 4: 23)
Sumber: “Siapakah Mahram?” oleh Ustaz Hamzah Jummat di www.al-jamaah.sg
✉ Channel Telegram – https://telegram.me/islamIQsg
☢ Channel YouTube – https://www.youtube.com/IslamIQsg
Source: Islamiq Sg