Kes Penculikan Di Manila: Rakyat Singapura Lebih Berwaspada Lakukan Lawatan Ke Filipina

Susulan berita seorang wanita Singapura yang diselamatkan dari penculikan di kasino Manila, mereka yang sering ke ibu kota Filipina itu mengatakan akan lebih berjaga-jaga apabila ke sana.

Cik Melissa Chong, 27 tahun, seorang pengurus program bersama badan bukan mencari keuntungan, pergi ke Manila tiga kali tahun ini, demi tugas.

Terkejut dengan khabar tersebut, beliau berkata: “Susah untuk bayangkan ia berlaku di tempat di mana kawalan keselamatannya ketat, dengan pengawal di pintu masuk dan periksaan beg … saya rasa tidak senang hati (apabila dapat tahu insiden itu)”

Walaupun beliau tidak akan menangguhkan lawatannya ke sana pada bulan September ini, Cik Chong kini aku berfikir dua kali apabila hendak keluar pada waktu malam. Beliau juga merancang untuk menggunakan khidmat Uber kerana lebih mudah untuk menjejaki perjalanannya dengan membuat tempahan menggunakan aplikasi telefon bijak.

Beberapa rakyat Singapura yang ditemui juga memberitahu Mediacorp mereka sememangnya berwaspada akan keselamatan diri ketika melancong ke Filipina.

Encik Justin Kor, 25 tahun, siswazah baru Universiti Teknologi Nanyang, berkata semasa di Filipina Disember lalu, beliau lebih risau mengenai penyeluk saku daripada jenayah yang lebih berat. Apabila beliau ke kawasan setinggan Manila, Justin diberitahu untuk meninggalkan tempat tersebut sebelum matahari terbenam.

“Saya yakin bahawa kehadiran polis akan (dipertingkat bagi menangani) kes-kes sedemikian.. tetapi saya akan lebih berjaga-jaga (apabila saya ke sana lagi),” katanya.

Semalam, Polis Negara Filipina mengeluarkan kenyataan mengenai penculikan rakyat Singapura, Wu Yan yang berusia 48 tahun.
Wanita tersebut berada di Solaire Resorts and Casino pada hari Isnin apabila berkawan dengan dua warga Malaysia yang mengajaknya ke sebuah lagi kasino di City of Dreams Manila.

Sekitar 9.45 malam, suspek-suspek berkenaan menculik dan menahannya sebagai tebusan di sebuah bilik di Bayview International Condominium.

Mereka juga menuntut wang tebusan US$180,000 (S$246,200).

Wu berjaya diselamatkan keesokan harinya.

Dua warga Malaysia bersama 41 lagi warga China diberkas, disyaki terbabit dalam sindiket tailong.

Agensi-agensi pelancongan yang dihubungi Mediacorp, seperti Chan Brothers Travel, mengatakan pihaknya tidak menerima pemohonan untuk membatalkan tempahan ke Filipina.

Pengarah Fascinating Holidays,Encik David Teo, 59 tahun, menganggarkan kemerosotan 10 hingga 15 peratus tempahan ke Manila. Namun demikian, beliau berkata para pelanggan selalunya lebih “berhati-hati” pada minggu-minggu pertama insiden sedemikian dan lupakannya selepas beberapa bulan.

Jurucakap SA Tours menasihati para pelancong: “Jangan ikut orang yang tidak dikenali atau mudah percaya mereka yang menawarkan khidmat yang terlalu baik daripada yang biasa ditawarkan .. selalu berwaspada, bertindak bijak dan berhati-hati.”

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *