Skim Label Tempat Letak Kereta Bagi Orang Kurang Upaya Diperketat

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyemak semula Skim Label Tempat Meletak Kereta.

Bermula bulan November ini hanya mereka yang menggunakan alat-alat bantuan pergerakan yang besar seperti kerusi roda dan alat bantu jalan atau ‘walking frames’ akan menerima label meletak kereta khas bagi golongan kurang upaya.

Ini bermakna mereka yang menggunakan tongkat yang layak di bawah skim sekarang tidak akan lagi layak menerima label itu apabila ukur tara yang lebih ketat berkuatkuasa.

Demikian menurut MSF dalam sidang media untuk mengumumkan perubahan-perubahan tersebut pada Khamis (27 Jul).

Menurutnya permintaan bagi label-label Kelas 1 dan Kelas 2 meningkat sekitar 30 peratus sepanjang lima tahun ini, dengan permintaan bagi Kelas 2 naik hampir 60 peratus dalam tempoh yang sama.

Label Kelas 1 adalah pemandu kurang upaya yang memerlukan penggunaan alat-alat bantuan pergerakan.

Ia membenarkan pemandu itu meletakkan kereta mereka di lot yang mudah untuk diakses.

Kelas 2 pula adalah untuk mereka yang membawa penumpang kurang upaya.

LABEL TEMPAT MELETAK KERETA DIREKA SEMULA

Sebagai sebahagian daripada perubahan itu, MSF juga mereka semula label tempat meletak kereta termasuk label yang lebih besar, hologram yang tidak boleh dirosakkan dan huruf lebih besar bagi membantu para pegawai penguatkuasa.

Label Kelas 2 juga membolehkan pemandu menunjukkan masa mereka tiba di tempat meletak kereta. Pemandu yang meletak kereta mereka lebih daripada sejam akan didenda sebanyak S$200.

MSF menyatakan pemohon baru dan sedia ada yang layak akan diberi label-label baru itu dari pertengahan bulan Ogos. Mereka yang tidak layak di bawah skim baru ini akan diberikan label baru sehingga tempoh penggunaannya tamat.

Kementerian itu menjangkakan jumlah pemohon akan merosot 10 peratus apabila skim baru ini dikuatkuasakan.

Menurutnya perubahan-perubahan tersebut dibuat selepas berunding dengan orang-orang berkepentingan, termasuk golongan kurang upaya dan penjaga mereka. “Terdapat kata sepakat untuk memperuntukkan lot-lot meletak kereta yang mudah diakses kepada mereka yang memerlukan ruang untuk naik dan turun kenderaan mereka,” menurut kementerian itu.

SUBSISI TEKSI DIPERTINGKAT BAGI GOLONGAN KURANG UPAYA, TERMASUK KERETA SEWA PRIVET

MSF juga mengumumkan lebih ramai warga Singapura dan Penduduk Tetap yang kurang upaya boleh menggunakan khidmat teksi untuk pergi ke kerja dan sekolah bermula bulan depan selepas perubahan terhadap Skim Subsidi Teksi. Mereka juga boleh menggunakan subsidi tersebut untuk membuat tempahan bagi khidmat kereta-kereta sewa privet yang berdaftar dengan Penguasa Pengangkutan Darat seperti Grab dan Uber.

Bermula 1 Ogos, keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita sehingga S$2,600 akan layak menerima subsidi di bawah skim ini. Kini, hanya keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita S$1,800 sahaja yang layak.

Dengan peningkatan ini, MSF mengatakan mereka yang menerima subsidi akan bertambah daripada 80 kepada 300 menjelang tahun 2021.

Pemerintah juga akan menambah subsidi perjalanan, dari 50 peratus kepada 80 peratus. Contohnya, rakyat Singapura yang mempunyai pendapatan per kapita sebanyak S$700 akan mendapat subsidi tambang teksi sebanyak 80 peratus. Di bawah skim sekarang ini, subsidinya berjumlah 50 peratus.

Bagi seseorang dengan pendapatan per kapita S$1,800, jumlah subsidi naik kepada 50 peratus tambang teksi bulanan, berbanding 20 peratus sekarang ini.

“Peningkatan ini menyokong Pelan Induk Pengupayaan Ketiga, untuk memudahkan pergerakan golongan kurang upaya supaya mereka boleh ambil serta dalam kegiatan kemasyarakatan,” menurut MSF dalam kenyataannya.

Dengan peningkatan tersebut pemerintah akan membelanjakan S$2.5 juta sepanjang lima tahun akan datang, peningkatan sebanyak S$700,000 setahun.

Skim ini dilancarkan pada Oktober 2014, yang membolehkan golongan kurang upaya yang layak, menerima semula tambang teksi mereka secara bulanan.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *