Jawatankuasa Fatwa Muis Benarkan Bayi Muslim Terima Susu & Ibu Muslim Derma Susu

Jawatankuasa Fatwa MUIS memutuskan bahawa pendermaan susu ibu dan pengambilan susu dari bank susu ibu dibenarkan dalam Islam.

Demikian menurut Pembantu Pengarah Di Pejabat Mufti dan Pembangunan Asatizah Ustaz Irwan Hadi di pelancaran bank derma susu ibu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) .

Bank yang buat pertama kali ditubuhkan di Singapura itu dilancarkan hari ini (17 Ogos) oleh mantan Speaker Parlimen Halimah Yacob.

Projek perintis selama tiga tahun itu dikendalikan dengan kerjasama Yayasan Temasek Cares dan diwujudkan bagi ibu-ibu yang tidak berupaya mengeluarkan susu badan yang mencukupi untuk bayi-bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan yang sakit.

Atas dasar memberi manfaat besar kepada bayi yang memerlukan, Ustaz Irwan berkata Jawatankuasa Fatwa Muis memutuskan bahawa pendermaan susu ibu dan pengambilan susu dari bank susu ibu dibenarkan dalam Islam.

Dalam soal kaitan persaudaraan atau mahramiyah antara bayi dengan ibu susuan, Jawatankuasa Fatwa menjelaskan bahawa isu tersebut tidak timbul sama sekali dalam hal ini.

Ini kerana wujud masyaqqah atau satu situasi yang menyukarkan dan membawa kepada satu keperluan untuk bayi-bayi pramatang yang sakit mendapatkan susu ibu.

Tambahan lagi, bayi tersebut akan menerima susu ibu dari sehingga 20 ibu yang menderma dan bukan dari seorang ibu sahaja, tanpa mengetahui jumlah susu yang diambil dari setiap ibu.

Dalam hal ini juga, bayi tidak diberikan susu tersebut atas tujuan untuk mengenyangkan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam untuk satu ikatan itu dijalinkan antara bayi dengan ibu susuan, tetapi lebih kepada memenuhi keperluan kesihatan si bayi.

Sebanyak S$1.37 juta diperuntukkan bagi menubuhkan bank derma susu berkenaan yang akan mengumpul, memeriksa, memproses dan menyimpan bekalan susu daripada ibu-ibu yang menderma.

KKH dan Yayasan Temasek Cares berharap dapat menarik lebih 370 ibu untuk mendermakan susu badan yang berlebihan.

Program itu dijangka memanfaatkan sekitar 900 bayi yang menerima jagaan rapi di KKH, Hospital Besar Singapura dan Hospital Universiti Nasional, sepanjang tempoh tiga tahun.

Menurut KKH sehingga 80% bayi sakit di unit jagaan rapi neonatal dan wad jagaan khas kanak-kanak perlu meminum susu tepung bagi bayi pramatang kerana ibu mereka tidak dapat menghasilkan susu badan yang mencukupi.

Dengan pelancaran bank itu, Singapura tergolong dalam senarai 40 buah negara di dunia, yang mempunyai kemudahan sedemikian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan para ibu menyusukan bayi mereka bagi enam bulan pertama kerana ia adalah sumber penting pemakanan dan antibodi yang meningkatkan sistem daya tahan.

Menurut para pakar, susu badan penting bagi bayi pramatang, yang berisiko dijangkiti penyakit dikenali sebagai necrotising enterocolitis.

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *