Berikut adalah ucapan penuh dalam Bahasa Melayu President Singapura yang baru dilantik, Puan Halimah Yacob:
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda sekalian yang berada di sini. Saya tahu ramai daripada anda telah berada di sini berjam-jam di bawah panas terik. Ini tentu sekali menunjukkan betapa banyak sokongan yang anda berikan kepada saya. Selama dua minggu kebelakangan ini, saya telah banyak berjumpa penduduk Singapura daripada pelbagai latar belakang, dari usia muda hingga warga emas, dari semua latar belakang. Banyak juga sokongan yang telah saya terima. Ramai yang memeluk saya, yang memberi saya kata perangsang, yang mengatakan mereka akan menyokong saya tanpa saya meminta sokongan mereka. Saya berasa amat bersyukur.
Terima kasih saya ucapkan kepada semua warga Singapura. Sokongan yang anda berikan membuatkan perjalanan saya ke Pusat Penamaan Calon ini mudah. Jadi terima kasih sekali lagi. Saya merupakan Presiden Melayu kedua dalam 47 tahun sejarah kita di Singapura. Presiden Pertama merupakan Presiden Yusof Ishak. Saya merupakan Presiden kedua. Saya berasa ini menunjukkan bahawa di Singapura, kita memberi peluang kepada semua tidak kira bangsa atau agama. Dan ini adalah satu contoh yang baik bagi Singapura. Ia menunjukkan bahawa jika kita diberi peluang, jika ada sokongan, tidak kira apa sahaja bangsa kita, kita dapat mencapai ke tahap yang kita kehendaki, insyaAllah.
Saya juga merupakan Presiden wanita pertama di Singpura. Dan saya rasa tentu sekali ramai di kalangan wanita kita berasa gembira. Pada masa yang sama, ia menunjukkan wanita boleh meningkat ke mana sahaja taraf, mana sahaja kedudukan selagi mereka mempunyai kemahuan, selagi mereka diberi peluang. Ini adalah sesuatu prinsip yang baik bagi negara kita, negara Singapura yang kita sayangi. Biarlah saya teruskan dalam bahasa Inggeris tetapi saya ingin mengakhiri ucapan bahasa Melayu dengan mengatakan bahawa masa untuk memilih Presiden telah berakhir.
Dan sekarang adalah masa kita memusatkan fokus kita kepada bagaimana untuk membina Singapura supaya ia menjadi sebuah masyarakat yang lebih maju yang dapat memberikan lebih banyak kepada meningkatkan taraf kehidupan rakyat kita. Dan kita harus bekerjasama dalam usaha ini. Tidak ada seorang pun yang boleh katakan kita dapat lakukannya sendiri. Kita perlukan kerjasama semua rakyat dan saya berharap dapat sokongan anda sekelian dalam usaha kita sama-sama meningkatkan, memajukan negara Singapura yang kita sayangi ini. Terima kasih.”