KEMAJUAN yang ditunjukkan masyarakat Melayu/Islam Singapura boleh menjadikan mereka contoh kilauan bagi semua masyarakat Islam di dunia, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam. Namun, beliau menggariskan tiga cabaran yang boleh menghambat kemajuan itu termasuk ideologi radikal dan pengganasan yang perlu dikekang. Secara umum, beliau berkata bahawa kemajuan masyarakat Melayu dalam pelbagai ukur tara dari segi bidang pendidikan dan ekonomi merupakan satu contoh yang baik kepada masyarakat Islam lain di dunia.
“Kita tidak memberikan mereka ikan tetapi mengajar bagaimana memancing. Kita mengambil laluan lebih lama, tetapi kini, kita mempunyai masyarakat yang utuh, lebih berpelajaran, lebih banyak aset dan bersedia menghadapi masa depan,” kata beliau, ketika berucap di Kopi Talk, satu sesi dialog Keharmonian dan Daya Tahan anjuran Persatuan Rakyat (PA), yang dihadiri sekitar 400 pemimpin akar umbi dan kakitangan Melayu/Islam daripada PA di The Grassroots’ Club malam tadi. Dalam bidang pendidikan, peratusan murid Melayu darjah satu yang meneruskan pendidikan ke peringkat posmenengah berganda daripada 45 peratus pada 1995 kepada 93 peratus pada 2015. Mereka yang akhirnya mendapat ijazah dan diploma meningkat daripada 15 peratus pada 2010 kepada 21 peratus pada 2015.
Lebih ramai Melayu bekerja sebagai karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) – daripada 7 peratus pada 1980 kepada 28 peratus pada 2010. Dari segi pemilikan rumah, hampir 90 peratus keluarga Melayu memiliki rumah mereka sendiri dan lebih 70 peratus tinggal di flat empat bilik atau lebih besar termasuk rumah privet. “Definisi kelas pertengahan bagi saya adalah memiliki flat sekurang-kurangnya empat bilik berharga purata $300,000. Selepas subsidi, tujuh dalam setiap 10 anggota masyarakat Melayu memiliki ekuiti bernilai $150,000 hingga $200,000. Ini merupakan satu pencapaian,” katanya. Malah, secara median, pendapatan bulanan keluarga Melayu per kapita telah meningkat berganda sejak 1990.
Menurut Encik Shanmugam, kemajuan itu dicapai hasil usaha berterusan masyarakat Melayu, pertubuhan Melayu/Islam dan pemerintah. Meskipun kemajuan itu menggalakkan, Encik Shanmugam menggariskan tiga cabaran utama yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam Singapura iaitu pengaruh fahaman radikal dan pengganasan yang merupakan satu keprihatinan yang perlu ditangani, membantu PMET Melayu/Islam yang kehilangan pekerjaan mendapatkan semula pekerjaan, dan peratusan tinggi orang Melayu yang menyalah guna dadah dan meringkuk dalam penjara. Usaha membendung ideologi radikalisme amat penting kerana proses menjadi radikal semakin pantas, kata Encik Shanmugam.
“Sebelum ISIS, masa yang diambil untuk menjadi radikal ialah 22 bulan, tetapi kini ia mengambil masa sembilan bulan. Malah, terdapat juga mereka yang menjadi radikal dalam tempoh satu hingga dua bulan. Bahkan, lebih ramai wanita yang menjadi radikal,” kata beliau. Minggu lalu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mendedahkan bahawa Imran Kassim, 34 tahun, dikenakan Perintah Tahanan (OD) kerana cuba menyertai perjuangan bersenjata di luar negara, manakala Shakirah Begam Abdul Wahab, 23 tahun, dikenakan Perintah Sekatan (RO) kerana memulakan dan mengekalkan hubungan dengan pejuang pengganas asing. Bagi membantu PMET yang kehilangan pekerjaan, sebuah jawatankuasa dibentuk yang diketuai Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Encik Shanmugam juga menyuarakan keprihatinan mengenai peratusan Melayu yang tinggi yang menyalah guna dadah dan meringkuk dalam penjara. Lebih separuh atau 53 peratus individu yang ditangkap kerana salah guna dadah merupakan orang Melayu tahun lalu, meningkat daripada 32 peratus pada 2006. Pemerintah, katanya, akan terus menyokong masyarakat Melayu/Islam dan respons mereka terhadap cabaran-cabaran itu akan menentukan kejayaan mereka. “Kita mempunyai masyarakat Melayu yang berkeyakinan, rancak, moden dan dapat berintegrasi dengan masyarakat lain. Usaha itu masih belum selesai dan perlu diteruskan,” tambahnya.
Source: Berita Harian