TERJUMPA LELAKI MELAYU JUAL ARAK
Seminggu lepas ketika saya di KLIA untuk bermusafir ke luar negara, saya ada berbual dengan seorang pemuda yang menjadi juru jual arak di situ. Saya melihat beliau bekerja sebagai cashier di salah sebuah kiosk arak. Beliau seorang pemuda melayu yang beragama Islam.
Saya menghampirinya di tempat jualannya itu. Saya memberikan salam. Beliau melemparkan senyuman dan menjawab salam saya. Beliau kenal saya. Beliau tersenyum seakan malu. Mungkin ada yang melintas kehairanan ‘kenapa Mufti Perlis pergi kiosk arak pulak’. Saya tidak kisah itu semua, ingin berbual dengan anak muda itu yang pada wajahnya terlihat seorang yang baik.
DAKWAH DR MAZA
Saya berkata: “Apa khabar? Nama apa? Orang mana?” Dia jawab semua soalan saya. Saya meneruskan lagi: “Bolehkah saya cakap sesuatu?”. “Silakan Dr”, jawab beliau. Saya berkata: “Sebelum itu boleh saya tahu, apakah saudara terlibat secara langsung dengan urusan jual-beli arak di sini?”. Dia menjawab: “Ya Dr”.
Saya berbicara dengan baik kepadanya dengan berkata: “Saya rasa saudara pun tahu, sebagai seorang muslim kita tidak boleh terlibat dengan jual-beli arak. Ia satu dosa yang besar. Kalau boleh, saya ingin mencadangkan saudara berusaha mendapatkan pekerja lain yang sesuai sebagai seorang muslim. Saya doakan Allah berikan pekerjaan yang lebih baik. Jika kurang gaji sedikit pun tidak mengapa asalkan halal. Saya lihat saudara seorang yang baik”.
CABARAN HIDUP LELAKI ITU
Dia menjawab: “Dr, saya tahu kerja ini tidak betul. Saya memang berusaha untuk mendapatkan kerja lain. Hati saya memang tidak senang buat kerja ini. Saya bekerja untuk membantu keluarga. In sha Allah, saya akan cari kerja lain yang lebih baik”.
Saya lihat beliau, perasaan saya simpati dan sayu. Pada wajahnya ada kehendak ingin mematuhi ajaran agama tetapi dia mungkin berada dalam cabaran kehidupan. Allah lebih mengetahui hakikat dirinya dibandingkan saya.
Saya kata kepadanya: “Saya doakan saudara mendapat pekerjaan yang baik nanti. Semoga Allah akan ganti yang lebih baik”. Saya tersenyum dan bersalam dengan beliau.
Suatu hakikat yang wajar kita fahami bahawa setiap hamba Tuhan itu mempunyai cabaran kehidupan yang tersendiri. Kadang-kala kita mungkin menganggap mudah kerana kita tidak berada di tempatnya.
SAMPAIKAN DAKWAH DENGAN HIKMAH
Mungkin hari ini dia demikian, besok keadaan berubah jauh lebih baik dari kita. Tugasan orang yang menyampaikan ilmu dan berdakwah ialah memberitahu dosa dan pahala yang dinyatakan oleh Allah dan RasulNYA.
Bukan tugasan kita menentukan siapa ke neraka dan siapa pula ke syurga. Penentuan siapakah ke neraka dan ke syurga merupakan hak milik mutlak Tuhan yang tidak boleh kita campuri.
Ini kerana, kita hanya mengetahui yang zahir, itu pun terhad. Sementara Allah maha mengetahui yang zahir dan batin. Kita hanya mengetahui apa yang kita lihat dan dengar, Allah mengetahui segala-galanya.
KISAH PELACUR MASUK SYURGA
Sebab itu ada hadis sahih riwayat al-Bukhari dan selainnya yang menceritakan bagaimana Allah mengampuni pelacur yang memberikan minum kepada anjing yang kehausan. Hanya Allah mengetahui hakikat nilai setiap hambaNYA.
Golongan agama itu sendiri kadang-kala terlupa hakikat ini. Dalam lingkungan kelompok tertentu mungkin cabaran berbeza dibandingkan lingkungan orang lain. Allah memberikan pahala amalan dan pahala menghindari dosa itu dengan kadar cabaran yang dihadapi oleh hamba berkenaan.
Amalan dan usaha yang sedikit pada mata manusia mungkin pahala jauh lebih banyak pahala disebabkan keadaan yang seseorang hadapi.
Juga kita wajib insaf bahawa dalam diri insani boleh terkumpul dua unsur yang berlainan pada satu masa yang sama; kebaikan juga kejahatan. Apabila kita berbicara soal kejahatannya, janganlah sampai kita lupa unsur kebaikan yang ada sehingga kita memadamkan baiknya dan menghukumnya melebihi kadar yang patut.
KISAH SAHABAT NABI SAW YANG KANTOI MINUM ARAK
Hal ini pernah Rasulullah s.a.w bantah terhadap perkataan sesetengah sahabat yang melaknat seorang peminum arak dalam kalangan mereka.
Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini:
أَنَّ رَجُلاً عَلَى عَهْدِ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ اسْمُهُ عَبْدَ اللَّهِ ، وَكَانَ يُلَقَّبُ حِمَارًا ، وَكَانَ يُضْحِكُ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – ، وَكَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – قَدْ جَلَدَهُ فِى الشَّرَابِ ، فَأُتِىَ بِهِ يَوْمًا فَأَمَرَ بِهِ فَجُلِدَ ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ اللَّهُمَّ الْعَنْهُ مَا أَكْثَرَ مَا يُؤْتَى بِهِ . فَقَالَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – « لاَ تَلْعَنُوهُ ، فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ أَنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).
Walaupun minum arak itu satu dosa yang besar, namun dalam masa yang sama Rasulullah s.a.w tidak menafikan unsur cintakan Allah dan Rasul yang wujud dalam diri individu berkaitan.
Bahkan Nabi s.a.w mempertahankan kelebihan yang ada padanya. Kita lebih wajar bersikap demikian. Jangan kerana melihat sesuatu dosa, sekalipun besar, kita menafikan unsur kebaikan lain yang ada pada diri seseorang.
JANGAN SAMPAI NAFI KEBAIKAN ORANG LAIN
Kemudian, jika setiap kita merenung kepada dirinya sendiri secara insaf, kita akan tahu kita juga banyak kesalahan dan dosa. Jika tidak dosa zahir, dosa batin; niat dan jiwa yang buruk seperti hasad, buruk sangka, takabur, riyak dan lain-lain.
Jika tidak dosa pada perbuatan, dosa pada perkataan seperti mengumpat, memfitnah, me’neraka’kan orang dan pelbagai lagi. Dosa-dosa batin dan perkataan ini kadang kala jauh lebih besar di sisi Allah daripada dosa-dosa peribadi seperti minum arak dan zina.
Setiap kita wajib berdakwah, nasihat-menasihati, memberitahu tentang dosa dan pahala, membahaskan persoalan ilmiah dan seterusnya. Namun, hakikat kedudukan setiap insan di sisi Allah, hanya DIA Yang Maha Mengetahui. Kita memberitahu dosa dan pahala. Dosa membawa ke neraka, sementara pahala membawa ke syurga.
Perkara yang salah, kita katakan salah. Perkara yang betul kita katakan betul. Namun, siapakah yang lebih banyak pahalanya dibandingkan dosanya sehingga dia ke syurga, ataupun siapakah yang lebih banyak dosanya dibandingkan pahalanya sehingga dia ke neraka, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
PengadilanNYA maha detil lagi maha adil. DIA juga yang berhak menentukan siapakah yang pulang dengan lautan dosa kepadaNYA tetapi mendapat keampunanNYA.
Source: Dr. Maza