Dalang ISIS Warga Malaysia Terima RM100,000 Meski Hanya Tukang Beri Arahan

Sebagai dalang yang mengawal anggota-anggota ISIS di Malaysia sejak tahun lalu, Mohamad Wanndy Mohamad Jedi berhasil mengumpulkan RM100,000 (S$33,090) dalam tempoh yang singkat.

Menurut sumber-sumber risikan, anggota militan yang dilahirkan di Melaka itu menerima sekurang-kurangnya RM8,000 (S$2,650) sebulan daripada para penyokong ISIS di Malaysia.

Bagaimanapun, Mohamad Wanndy yang berusia 26 tahun dipercayai menggunakan dana tersebut untuk melangsaikan hutang-piutangnya, antara lain.

“Sebahagian besar wang tunai tersebut digunakan bagi perbelanjaannya di Syria.

“Pihak berkuasa mendapat tahu bahawa Mohamad Wanndy yang juga dikenali sebagai Abu Hamzah Al-Fateh, menggunakan dana tersebut untuk melangsaikan hutang piutangnya dan juga isterinya,” seorang sumber memberitahu The Star.

HANYA BERI ARAHAN, TIDAK PERLU SUSAH PAYAH

Dipercayai bahawa dia yang berasal dari Durian Tunggal, selesa memberi arahan kepada para pengikutnya untuk melancarkan serangan demi serangan, termasuk serangan bom nekad, tanpa perlu bersusah payah.

“Dia menggesa para anggota militan di Malaysia supaya melakukan serangan secara sendirian malah menjadi pengebom nekad namun tiada bukti dia sendiri terlibat dalam sebarang pertempuran di Syria,” menurut seorang lagi sumber.

Dari mengatur dan memberi arahan dari jauh sehinggalah membiayai serangan-serangan di Malaysia secara langsung, Mohamad Wanndy juga menyalurkan sekitar RM6,000 (S$1,990) kepada tiga anggota militan yang merancang untuk melancarkan serangan sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan.

“Pihak berkuasa mendapat tahu bahawa ketiga-tiga anggota militan itu dijanjikan wang sehingga RM10,000 (S$3,310). Sasaran mereka adalah ibu pejabat polis daerah Kajang, sebuah kuil di Batu Caves dan pusat-pusat hiburan di Klang Valley,” menurut sumber.

Turut dimaklumkan bahawa jumlah yang diberikan kepada ketiga-tiga anggota tersebut adalah untuk memperolehi senjata api dan membiayai perbelanjaan perjalanan ke Syria setelah melancarkan serangan tersebut, menurut The Star.

SEORANG PENDENDAM

Mohamad Wanndy disifatkan sebagai seorang yang suka bersendirian dan cepat naik berang, oleh anggota keluarganya.

“Dia juga pendendam. Dia menyimpan dendam. Dia akan pastikan dia dapat membalas dendam terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan terhadap dirinya,” menurut seorang sumber.

Mohamad Wanndy mempunyai dua orang saudara perempuan yang sudah lama berpisah dengannya namun dia masih berhubungan dengan seorang makcik saudara sejak bulan November tahun lalu.

“Dia juga memberitahu makciknya bahawa dia berada di Syria setelah memasuki Iraq,” menurut sumber itu.

Dia dipercayai tidak merancang untuk kembali ke Malaysia meskipun isterinya sedang hamil lima bulan.

“Matlamat utamanya ialah untuk melancarkan serangan besar-besaran di Malaysia sebagai membalas dendam terhadap penangkapan para anggota militan ISIS di negara itu,” menurut seorang lagi sumber.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganasan Cawangan Khas Bukit Aman

Ayob Khan berkata polis berjaya mematahkan 13 pakatan serangan pengganas, dengan kebanyakannya didalangi oleh Mohamad Wanndy.

Encik Ayob juga berkata 239 anggota militan diberkas sejak bulan Februari 2013, lapor laman The Star.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *