Perikatan tentera pimpinan Arab Saudi untuk menumpaskan pihak pemberontak Houthi di Yaman akan melakukan siasatan berhubung serangan udara ke atas satu upacara pengebumian, semalam (8 Okt).
Serangan berlaku ketika ratusan orang menghadiri upacara pengebumian ayah menteri ehwal dalam negeri dari pihak pemberontak di sebuah dewan di ibu kota Sanaa.
Lebih 140 orang terbunuh manakala 525 lagi cedera.
Kumpulan pemberontak Houthi menuduh pakatan tentera Arab itu melakukan serangan tersebut.
Pada mulanya pakatan tentera itu menafikan terbabit dalam kejadian tersebut.
Namun, ia kemudian menyatakan akan segera bekerjasama dengan pakar-pakar Amerika Syarikat untuk melakukan siasatan.
Ini selepas Washington mengumumkan ia akan segera mengkaji semula sokongannya kepada pakatan tersebut berikutan serangan berdarah itu.
Serangan tersebut antara yang terburuk sejak pasukan pakatan tentera Arab memperhebatkan serangan udara Mac lalu di Yaman.
Kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran, menawan Sanaa pada September 2014, menyebabkan pemerintahan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi terpaksa meninggalkan ibu kota itu.
Lebih 6,500 terbunuh sejak campur tangan pasukan tentera Arab untuk menumpaskan pemberontak Houthi.
Source: Berita MediaCorp