Penghapusan Bangsa Rohingya Di Myanmar

Maungdaw 15 Nov. – Operasi penghapusan bangsa etnik Rohingya terus dilancarkan pasukan keselamatan Myanmar apabila jumlah korban ketegangan baharu di negeri Rak­hine dalam keja­dian kelmarin yang masih berte­rusan meningkat kepada lebih 100 orang.

Penderitaan dialami penduduk minoriti Islam di Myanmar itu didedahkan di blog RB News memandangkan media asing tidak dibenarkan memasuki Rakhine sejak keadaan di negeri tersebut tidak menentu bulan lalu.

Menurut penduduk, tentera menggempur beberapa buah kampung di utara Maungdaw pada pukul 6.30 pagi kelmarin, memaksa penghuni keluar atau mereka akan ditembak jika enggan berbuat demikian.

Semua rumah kemudian ditembak dengan meriam sebelum terbakar.

Seorang saksi berkata, semua 700 buah rumah di Kampung Dar Gyi Sar musnah sepenuh­nya.

Selain membakar rumah, anggota tentera turut mencampak kanak-kanak Rohingya yang masih hidup ke dalam api sehingga rentung dengan si ibu hanya mampu memandang tanpa berbuat apa-apa.

Kekejaman tentera Myanmar tidak berakhir di situ apabila mereka dilapor turut melepaskan tembakan ke arah penduduk Rohingya yang mahu melarikan diri termasuk kanak-kanak.

Difahamkan, pasukan tentera itu masih menggempur kedudukan penduduk Rohingya atas alasan ‘memburu’ penyerang yang membunuh anggota mereka.

Bagaimanapun, jumlah kematian sebenar masih tidak dapat dipastikan kerana banyak penduduk terutamanya lelaki ditahan tentera.

Sekurang-kurangnya 5,000 penduduk dilapor hilang tempat tinggal sejak kelmarin tanpa tempat berlindung dan maka­nan.

Kejadian terbaharu itu di­khuatiri mencetuskan semula krisis kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya sama seperti yang berlaku pada 2012.

Source: www.mapim.org

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *