Mufti Fatris Bakaram: Para Ibu-Bapa Digalak Melatih Anak-Anak Untuk Bersyukur

Di antara kebiasaan masyarakat kita ialah mengajar anak-anak untuk membaca “alhamdulillah” apabila mereka bersendawa selepas makan.

Kita boleh memperbaiki kebiasaan ini dengan mendidik mereka untuk tidak menunggu sendawa untuk memuji Allah. Latih anak-anak untuk mengucapkan “alhamdulillah” sejurus selesai makan walaupun tidak sendawa kekenyangan.

Malah ada hadith yang menggambarkan bahawa Rasulullah saw agak kurang menyenangi suara sendawa kedengaran, terutama jika ia berpunca daripada makan yang terlalu banyak.

Ibn Umar ra meriwayatkan:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ: تَجَشَّأَ رَجُلٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ القِيَامَةِ

Bermaksud: Seorang lelaki telah bersendawa ketika berada bersama-sama Nabi saw. Baginda lalu bersabda, “Tahanlah sendawamu itu daripada didengari kami, kerana sesungguhnya orang yang paling banyak kenyangnya di dunia adalah orang yang paling panjang laparnya pada hari kiamat.”
(Riwayat Tirmizi, Ibn Majah, Baihaqi, Tabrani & Ibn Abi al-Dunya)

Hadith ini turut mengandungi isyarat agar umat Nabi ini bersederhana di dalam kadar pemakanannya.

Semoga Allah mengurniakan kita kesedaran dan kemahuan bagi melatih diri kita serta anak-anak kita agar tidak meletakkan sendawa sebagai garis petanda untuk berhenti makan.

Kerana kita tidak mahu kelaparan pada hari kebangkitan.

Alhamdulillah.

 

Source: Fatris Bakaram

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *