Islam Nusantara – Islam Yang Ramah, Bukan Marah-Marah

Rantau Asia Tenggara sejak kebelakangan ini turut menjadi medan perselisihan fahaman agama yang mencetuskan pelbagai tanggapan tidak tepat terhadap Islam di rantau ini. Sekiranya keadaan ini tidak ditangani dengan betul ia boleh menjejas keharmonian dan ketenteraman agama baik sesama umat Islam ataupun dengan bukan Islam. Aktivis silang agama Mohamed Imran Mohamed Taib menerangkan bagaimana konsep Islam Nusantara yang kini semakin mendapat perhatian boleh memulihkan perwajahan Islam di rantau ini sebagai agama yang seimbang, sederhana dan toleran.

Sekitar tiga tahun lalu, saya terkesan dengan kata-kata ini: “Jika ketemu ulama yang tidak toleran, itu bererti ilmunya masih dangkal.” Ia diucapkan oleh Kiyai Haji Mustafa Abdullah Nuh yang memimpin Yayasan Islamic Centre (YIC) Al-Ghazaly di Bogor, Indonesia. Dengan raut wajah yang tenang dan kata-kata yang penuh hikmah, KH Mustafa menceritakan bagaimana ajaran-ajaran Islam menjurus kepada perdamaian dan toleransi antara dan sesama umat. Beliau merupakan anak kepada pengasas pesantren dan majlis ta’lim Imam al-Ghazali di Bogor – seorang tokoh ulama tersohor di rantau ini, KH Abdullah Nuh (1905-1987). Tokoh ini pernah menulis risalah berjudul Ukhuwah Islamiyah (“Persaudaraan Islam”) pada tahun 1925 yang menyeru kepada kesatuan umat kerana “Kita sama-sama bernaung di bawah langit kemanusian yang sempurna.” Walaupun berfahaman Sunni dan bermazhab Syafi’i, KH Abdullah sangat menghormati perbezaan. Malah, beliau pernah dituduh sebagai Syiah kerana menulis syair berjudul “Wahai Sayyidina Husain” sebagai sanjungannya terhadap Ahlul Bait (keluarga Nabi Muhammad). Baginya, perbezaan di kalangan umat Islam hanya bersangkutan isu-isu ranting (furu’iyyah) dan tidak menyentuh persoalan pokok, iaitu keimanan kepada Tuhan yang Esa serta ketaatan kepada Rasulullah dan wahyu al-Qur’an.

Sikap toleransi akan perbezaan seperti yang dihayati oleh KH Abdullah Nuh, merupakan salah satu ciri keberagamaan yang sangat ketara di rantau ini. Semenjak beberapa tahun lalu, beberapa sarjana telah cuba merumuskan wajah keberislaman ini. Makanya, ditemukan istilah “Islam Nusantara” yang semakin kerap dibincangkan. Menurut Zainul Milal Bizawie di dalam bukunya Masterpiece Islam Nusantara (2016), Islam Nusantara adalah corak mempraktikkan Islam yang menggabungkan ajaran-ajaran Islam dengan kearifan tradisi-tradisi setempat secara bertahap (tadriji), sambil memberatkan nilai-nilai Islam seperti tawasuth (moderat), tawazun (seimbang) dan tasamuh (toleran). Pesan utama yang mengalir darinya ialah Islam rahmatan lil alamin (rahmat bagi seluruh alam). Inilah yang dipertahankan oleh para ulama Nusantara semenjak datangnya Islam ke rantau ini.

KEUNIKAN ISLAM NUSANTARA

Berbeza dari kawasan lain di dunia Islam, pengislaman rantau ini tidak melalui ekspansi empayar dinasti Arab melalui penjajahan. Oleh itu, keunikan Islam Nusantara adalah pembenturan budaya-budaya besar, baik dari Barat mahupun Timur, yang kemudiannya diberi nafas Islam yang menurut KH Said Aqil Siraj, ketua umum Pengurus Besar Nahdlatul Ulama, merupakan manifestasi “prinsip jalan tengah” yang digambarkan al-Qur’an sebagai ummatan wasatan (umat yang moderat) dan khaira ummah (umat yang sebaiknya). Seperti mana terlihat di dalam dakwah Islam para wali, khususnya di Tanah Jawa, tiga prinsip diterapkan, yakni tadriji (bertahap), taqlilut taklif (memperingan beban) dan ‘adamul haraj (tidak menyakiti).

Penting dinyatakan bahawa Islam Nusantara bukanlah sebuah mazhab melainkan suatu pendekatan di dalam beragama. Jika boleh dirumuskan, karakter umum Islam Nusantara ialah kontekstualisasi ajaran dan nilai Islam. Kita tidak harus meninggalkan khazanah budaya dan kearifan setempat yang menjadi tali kesinambungan identiti kita dari masa lampau hingga ke zaman moden ini. Sekiranya budaya dan kearifan setempat ini diluputkan, pasti akan terjadi kekosongan yang akan diisi dengan faham dan praktik keagamaan yang mungkin tidak sesuai dan mendatangkan mudarat. Ini yang terjadi pada waktu ideologi seperti ‘khilafah Islamiyah’ cuba dibangkitkan di rantau ini kerana pengaruh dari gerakan-gerakan radikal seperti Hizbut Tahrir dan Katibah Nusantara yang mempolitikkan Islam dan buta sejarah. Walhal, penerimaan terhadap konsep negara-bangsa (nation-state) sudah dituntaskan oleh para ulama semenjak awal abad kedua puluh.

Sebagai contoh, perbincangan hangat antara Tjokroaminoto, KH Hasyim Asy’ari dan KH Wahab Hasbullah berakhir pada Muktamar Nahdlatul Ulama (NU) ke-9 di Banjarmasin pada tahun 1935 yang memutuskan NU tidak akan mendirikan negara Islam. Para ulama NU waktu itu sepakat bahawa status dar Islam (wilayah Islam) tidak tercabut walaupun mereka telah dijajah oleh Belanda. Dar Islam ini dibezakan dari daulah Islamiyah (pemerintahan Islam), seperti yang dikutip dari kitab Bughyatul Mustarsyidin oleh Sayyid Abdurrahman bin Muhammad, atau dikenali sebagai Syeikh Ba’alawi. Dari keputusan ulama NU ini, dibangunkan konsep jumhuriyah Indonisiyah yang merangkumi keragaman budaya, suku dan agama. Oleh itu, penerimaan prinsip nasionalisme dan lebih khususnya, Pancasila bagi negara Indonesia, tidak mendatangkan permasalahan teologi. Seperti yang ditegaskan mantan ketua umum NU (1984-1991) KH Ahmad Siddiq, dar Islam bukanlah sistem politik atau ketatanegaraan; maka ianya bukan konsep Negara Islam. Yang diberatkan di dalam dar Islam ialah kesatuan mendukung kebebasan mempraktikkan agama, ketertiban masyarakat, maslahat umum dan nilai-nilai murni seperti keadilan dan kesaksamaan. Makanya, umat Islam wajib melawan anasir-anasir yang cuba merosakkan kesatuan ini, seperti mana yang dilakukan oleh kelompok radikal, Negara Islam Indonesia (NII) dan Darul Islam/Tentera Islam Indonesia (DI/TII) pada dekad-dekad setelah kemerdekaan.

PERKUAT SEMANGAT DAMAI

Ijtihad politik seperti ini penting dikaji dan diketahui umum, terutama di dalam situasi masa kini. Ianya merupakan landasan substantif di dalam menggali pesan-pesan agama dan meletakkannya di dalam konteks masyarakat secara konkrit. Di dalam situasi kebimbangan global akan terorisme berbasis agama, para ulama dan pemikir masyarakat harus memainkan peranan seperti mana yang dilakukan oleh para ulama dan sarjana Islam masa lalu. Maka tidak hairanlah, istilah Islam Nusantara yang berwajah rahmatan lil alamin ini mula dicanangkan di peringkat global, terutama oleh NU pada tahun lalu. Sebagai organisasi Islam terbesar di dunia, posisi NU sangat penting di dalam menjaga nilai-nilai tawasuth (moderat), tawazun (seimbang) dan tasamuh (toleran) ini. Nilai-nilai ini telah melalui proses yang disebut oleh seorang ulama dan mantan Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid (Gus Dur) sebagai “pribumisasi Islam”. Melalui proses ini, Islam Nusantara – yang sebenarnya merangkumi daerah seluruh Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, daerah Patani, Mindanao dan Champa – menjadi zon kebudayaan Islam yang tidak kalah hebatnya dari Islam yang sering terlihat di Timur Tengah. Mungkin potensi inilah yang harus dikembangkan demi memperkuatkan semangat perdamaian dan merawat toleransi yang mula lusuh dengan merebaknya fahaman-fahaman radikal di rantau ini.

Peranan seperti ini sudah dimulai oleh sebuah pesantren yang pernah saya kunjungi: Pesantren Darul Uloom di Bogor yang dipimpin Kiyai Nasrudin. Pesantren ini berfungsi sebagai pusat deradikalisasi bagi mereka yang mahu menghapuskan pandangan puritan ‘hitam-putih’ yang merupakan sudut ekstrem yang lari dari keragaman yang ada sebagai rahmat di dalam Islam. Saya turut berjumpa dan mewawancarai mantan aktivis Negara Islam Indonesia (NII), Mataharitimoer yang menemukan Islam yang damai di pesantren itu. Mataharitimoer pernah menulis kisahnya di dalam sebuah novel berjudul Jihad Terlarang. Kiyai Nasrudin, yang membimbing Mataharitimoer keluar dari fahaman ekstremnya, sering mengutip istilah yang digunakan oleh Gus Dur: “Kita mahukan Islam yang ramah, bukan Islam yang marah-marah”. Inilah yang menjadi ciri khas Islam Nusantara yang harus dikembangkan semula. Sewaktu berdiskusi, saya sempat bertanyakan kepada Kiyai Nasrudin apakah sikapnya terhadap orang yang suka mengkafirkan yang lain. Dengan tenang, beliau berkata, “Saya lebih dekat pada orang yang dikafirkan daripada mereka yang mengkafirkan. Kerana orang yang mengkafirkan adalah orang yang sombong (mustakbirin) sementara orang yang dikafirkan adalah orang yang ditindas.” Walau sederhana, kalimah ini sudah cukup menjelaskan hikmah seorang ulama yang memegang erat akan nilai-nilai keislaman di dalam menjaga persaudaraan, bersikap tawaduk dan tegas di dalam sikap adil kepada semua, walaupun berbeza pendapat. Inilah wajah Islam Nusantara yang dapat menjadi penawar atau antidot terhadap ekstremisme agama waktu ini.

MENGENAI PENULIS:

Mohamed Imran Mohamed Taib seorang aktivis silang agama dan pengasas Leftwrite Centre, sebuah inisiatif dialog untuk golongan muda profesional. 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *