Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ketika melakukan lawatan rasmi ke Singapura Isnin lalu menyifatkan kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan terutama sekali sebagai negara kecil yang dibayangi oleh negara yang lebih besar. Sukar untuk menafikan kenyataan Netanyahu itu merujuk kepada lokasi Israel yang dikelilingi oleh negara Arab manakala Singapura pula mempunyai jiran seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei di mana majoriti penduduknya beragama Islam.
“Saya percaya Israel dan Singapura adalah keluarga sejati di mana kedua-duanya adalah negara kecil tetapi hari ini menjadi begitu berpengaruh sekali”, tambah Netanyahu dan mengungkit kembali bagaimana Israel telah membantu Singapura membentuk angkatan tentera republik itu.
Memang tidak dapat dinafikan Angkatan Tentera Singapura (SAF) pada hari ini adalah antara organisasi tentera yang mempunyai aset ketenteraan tercanggih jika dibandingkan dengan negara jiran. Jika peruntukan pertahanan Israel secara nisbah per kapita adalah tertinggi di dunia, Singapura pula berada pada kedudukan kedua. Tetapi jika jumlah jet pejuang dibandingkan dengan nisbah keluasan kawasan operasi, maka Singapura berada pada kedudukan teratas manakala Israel pula berada pada tangga kedua. Begitulah betapa rapatnya persamaan sistem pertahanan kedua-dua negara itu.
Begitulah akrabnya Israel dan Singapura bagaikan keluarga sejati ini dan seperti yang ditegaskan Netanyahu pada ketika ini terdapat 150 projek usahasama di antara kedua-dua negara kecil ini yang banyak berkisar kepada teknologi kemajuan tertinggi dan inovasi.
Tetapi perlu ditekankan walaupun kedua-dua negara ini menghadapi tekanan yang lebih kurang selari, tingkah laku Singapura adalah jauh berbeza berbanding Israel. Walaupun republik itu terkenal dengan sikap berwaspada dengan setiap niat jiran terdekat atau lebih dikenali sebagai kiasu, sikap sebegini walaupun sekali sekala agak melampau, ia tidak menjejaskan hubungan dengan negara serantau.
Berbeza dengan sikap Israel yang tebal dengan fahaman Zionis, hanya mementingkan diri sendiri dan sanggup merampas hak orang lain dan mengaku pula itu adalah milik mereka. Penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang menempatkan lebih dari 600,000 rakyat Israel di bumi Palestin adalah manifestasi jelas sikap dan amalan pemimpin Israel.
Sebab itu jugalah lebih dari enam dekad kemelut Palestin-Israel yang melibatkan Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur yang keluasannya jauh lebih kecil dari Singapura, tidak pernah menemui kedamaian kerana sikap Israel yang begitu angkuh dan mementingkan diri sendiri.
Ketika Netanyahu melawat Washington pada 15 Februari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump menegaskan beliau menerima apa sahaja strategi proses perdamaian Palestin-Israel sama ada penyelesaian satu negara atau dua negara. Mendengar penjelasan tersebut, Netanyahu yang berada di sebelah Trump, tersenyum lebar kerana itu adalah isyarat dari Washington yang memberi lampu hijau kepada Tel Aviv untuk melakukan apa sahaja apabila berhadapan dengan Palestin.
Sebagai perantara, Washington sering dituduh mengamalkan sikap menguntungkan Israel tetapi hakikatnya adalah strategi penyelesaian dua negara adalah dasar luar AS sejak lima dekad lepas dan nampak gayanya diubah oleh Trump. Agak pasti Trump akur dengan kesan daripada kenyataan tersebut kerana jika dikaitkan dengan janji beliau untuk memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, maka sudah dapat dipastikan hala tuju pentadbiran Trump.
Masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpegang kepada penyelesaian dua negara kerana ia akan memastikan kewujudan dan hak rakyat Palestin terjamin. Penyelesaian satu negara menjadi idaman Tel Aviv kerana melalui strategi ini, Israel akan memperoleh manfaat paling maksimum.
Tetapi agak memeranjatkan kerana ketika sidang akhbar secara bersama dengan Netanyahu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menegaskan penyelesaian kemelut Palestin-Israel hanya dapat diselesaikan melalui strategi dua negara. Tambah Hsien Loong, demi menguatkan hujah beliau dengan memberikan contoh Singapura yang mempunyai sejumlah penduduk beragama Islam, beliau mengamalkan pentadbiran mengambil kira kepentingan penduduk pelbagai kaum dan agama.
Sebab itu juga walaupun lawatan Netanyahu ke Singapura dianggap bersejarah kerana pemimpin Israel pertama melawat negara itu sejak tiga dekad lalu, Hsien Loong mahukan lawatan dilakukan secara berprofil rendah kerana tidak mahu mengguris hati penduduk negara jiran yang majoritinya beragama Islam. Tidak ada agenda lawatan Netanyahu yang menjurus kepada publisiti besar-besaran.
Mungkin juga Singapura telah belajar dari peristiwa 1986 ketika buat pertama kali pemimpin tertinggi Israel iaitu Presiden Chaim Herzog melawat Singapura menimbulkan ketegangan di antara jiran terdekat seperti Malaysia, Brunei dan juga Indonesia. Ketegangan ini bukan sahaja berlaku antara rakyat tetapi juga melalui saluran diplomatik di antara kerajaan.
Israel perlu lebih banyak belajar dari Singapura bagaimana untuk hidup bersama dengan negara jiran secara harmoni. Jikalau Singapura mengambil pendekatan serupa dengan Israel maka sudah pasti Asia Tenggara tidak akan menjadi aman dan stabil seperti hari ini. Walaupun Singapura mengikuti jejak langkah Israel dalam hal memperkuatkan aset pertahanan mereka dan lazimnya melampaui keperluan yang sepatutnya, tetapi persamaan tersebut berhenti setakat itu sahaja.
Azmi Hassan
Source: http://m.utusan.com.my/rencana