Persatuan One Kampong Glam Dibentuk Demi Mempromosi Niaga Dan Mengekalkan Warisan, Budaya Di Kampong Glam

Sebuah persatuan baru, Persatuan One Kampong Glam, telah dibentuk bagi mempromosikan perniagaan dan mengekalkan warisan dan budaya di kawasan penuh bersejarah di Kampong Glam.

Banyak inisiatif telah disarankan persatuan itu hasil rundingan dengan pihak berkuasa seperti Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Ia termasuk penutupan jalan raya di Haji Lane, mengubah tempoh masa tempat meletak kereta dan mempromosikan Kampong Glam bagi para pelancong, menurut Presiden Persatuan One Kampong Glam, Encik Saeid Labbafi.

Sebelum ini, wujud Persatuan Perniagaan Kampong Glam tetapi persatuan itu sudah ditutup, kata presidennya, Dr Ameen Talib, bekas pemilik Restoran Al-Majlis di Arab Street yang telah menutup restorannya.

“Kawasan Kampong Glam ini mempunyai banyak potensi tetapi ia belum diterokai sepenuhnya.

“Kita mempunyai Little India dan Chinatown di negara-negara lain tetapi kita tidak mempunyai Kampong Glam di negara lain.

“Selain Masjid Sultan, pelancong tidak banyak mengetahui tempat lain yang menarik di kawasan Kampong Glam.

“Di kalangan rakyat Singapura sendiri seperti bangsa Cina, mereka juga sudah bertahun tidak menjejakkan kaki ke sini,” kata Encik Saeid yang membentuk persatuan itu pada pertengahan tahun lalu.

Encik Saeid, seorang penduduk tetap (PR) Singapura berasal dari Iran, merupakan usahawan permaidani yang sudah menjalankan perniagaan di Arab Street sejak 12 tahun lalu dan mempunyai sembilan kedai di Arab Street seperti Aria Carpet dan Serapi Carpets.

Dengan matlamat mempromosikan kawasan Kampong Glam, beliau berkata persatuan itu bukan hanya dianggotai peniaga bahkan dibuka kepada semua pihak yang mempunyai minat terhadap kawasan itu termasuk penduduk Kampong Glam.

Sejak dibentuk, banyak isu yang dikemukakannya kepada URA termasuk isu penjualan alkohol di kawasan berdekatan dengan Masjid Sultan menyusuli maklum balas peniaga, kata Encik Saeid.

Persatuan itu juga telah mengusulkan kepada URA yang bersetuju menjalankan ujian perintis bagi penutupan jalan raya di Haji Lane pada hujung minggu – dari 6 petang hingga tengah malam pada hari Jumaat, dan 12 tengah hari hingga tengah malam pada Sabtu dan Ahad.

Inisiatif itu yang telah menjadikan Haji Lane lebih rancak turut mendorong persatuan itu mengusulkan kepada URA supaya meluaskan penutupan itu di Bussorah Street dan Bali Lane pada waktu sama sejak Disember tahun lalu.

Bagi menghuraikan masalah tempat letak kereta yang terhad, Encik Saeid berkata persatuan itu juga telah berunding dengan URA yang bersetuju mengubah tempoh waktu tempat meletak kereta awam percuma di Kampong Glam.

Sebelum perubahan itu, tempoh meletak kereta awam percuma disediakan dari 5 petang pada hari biasa hingga Sabtu, tetapi kini telah diubah bermula 10 malam. Tempat letak kereta percuma pada hari Ahad juga dimansuhkan.

“Rasional ia dibuat kerana ramai pengunjung yang memanfaatkan tempat meletak kereta percuma di situ tetapi membeli-belah di Bugis. Ia tidak memberi manfaat kepada peniaga Kampong Glam.

“Perubahan itu juga membantu meredakan kesukaran mendapat tempat meletak kereta,” katanya.

Untuk mempromosikan Kampong Glam kepada para pelancong, persatuan itu telah berunding dengan STB untuk menyertakan Kampong Glam dalam risalah bagi pelancong serta mempromosikan Kampong Glam dalam iklan promosi yang disiarkan di luar negara.

Bahkan, Encik Saeid berkata pihaknya turut menyarankan supaya STB meletakkan kaunter pelancongan bagi memudahkan pelancong mendapatkan maklumat mengenai kawasan itu.

“Kami ingin menarik lebih ramai pengunjung mengenali lebih mendalam mengenai Kampong Glam.

“Sejak syisya dilarang, ia telah mengurangkan bilangan individu yang datang ke sini untuk syisya tetapi ia juga bermakna kami menarik lebih ramai keluarga dan anak-anak mereka menjamu selera di sini,” tambahnya.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *