Tag: Singapura

  • Kenang Jasa Lee Kuan Yew Pelihara Bahasa Melayu

    Kenang Jasa Lee Kuan Yew Pelihara Bahasa Melayu

    ZAMAN Pendudukan Jepun (1942-1945). Ketika itulah Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad atau Cikgu Ariff mengenali mendiang Encik Lee Kuan Yew sebagai seorang intelek yang bercita-cita besar di sekolah Syonan Nippon Gakuen pada 1943.

    “Guru Jepun bertanya murid-murid tentang cita-cita masing.

    Cikgu Ariff teringat Encik Lee menyatakan cita-citanya menjadi pemimpin dan membebaskan Malaya daripada British.

    Memandangkan diayah Jepun adalah membebaskan Asia daripada penjajah Barat, maka kata-kata Encik Lee itu mendapat sanjungan.

    JURUBAHASA JEPUN

    “Kemudian kami dikerahkan Jepun untuk dilatih menjadi jurubahasa.

    “Encik Lee ditempatkan dalam kelas Sakura. Saya dan Encik Ismail Mohd Said (mantan pegawai tinggi Kementerian Pendidikan dan kemudian Presiden Majlis Agama Islam Singapura) diletakkan dalam kelas ‘Usagi’ (arnab),” kenang Cikgu Ariff, 90 tahun, di rumahnya.

    Tentera Dai Nippon perlu merekrut sebanyak mungkin jurubahasa untuk membaca maklumat dan menghebahkan kepada orang ramai dan membantu pegawai tinggi mereka berkomunikasi dengan rakyat setempat.

    KGMS

    Apabila Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS) ingin mendapatkan penasihat guaman, nama Encik Lee disebut- sebut. Beliau menerima perlantikan itu.

    Mentelah beliau juga menjadi penasihat guaman banyak kesatuan sekerja dan juga surat akhbar Utusan Melayu.

    Pada 1953, terdapat gagasan daripada Le Provost daripada Pejabat Pendidikan Kolonial British untuk menamat sekolah aliran Melayu. Ia dinamakan Re-Orientation of the Malay Schools (Ubah Haluan Sekolah Melayu).

    “KGMS tidak setuju kerana ini bermakna terpupusnya aliran Melayu. British pula tidak beri jaminan masa depan Bahasa Melayu,” kata Cikgu Ariff yang ketika itu Setiausaha Agung KGMS.

    JKMS

    KGMS yang beribu pejabat di 1 Lorong H Telok Kurau mengundang empat pertubuhan Melayu yang besar ketika itu iaitu Kesatuan Melayu Singapura (Kemas), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (UMMS) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

    Beberapa pertubuhan Melayu bersatu menentang rancangan reorientation tadi. Ini membawa kepada tertubuhnya Jawatankuasa Pelajaran Melayu Singapura (JPMS) yang turut menampilkan Encik Sidek Abdul Hamid (kemudian menjadi Menteri Muda Pelajaran) selaku pengerusi jawatankuasa itu.

    Nazir Sekolah-Sekolah bernama Ralph Ellis amat marah dan menyifatkan tindakan guru-guru daripada KGMS sebagai salah dan boleh dibuang kerja.

    Terdahulu Encik Ellis menghantar surat kepada ibu bapa Melayu (Ref 54A in Edun 419/50 bertarikh 9 April 1954) untuk menyatakan suka atau tidak anak mereka yang lahir antara 1946-48 masuk ke sekolah rendah Inggeris.

    “Maka itu, kami menemui Encik Lee di syarikatnya, Lee and Lee,” kata Cikgu Ariff, yang ditemani Yang Dipertua KGMS Abdul Rahman Mohd Said, Ahmad Shaharom, Mohd Yusof Lana, Suradi Parjo dan Salim Sulaiman.

    Dalam urusan setengah jam di pejabatnya, Encik Lee membaca surat KGMS yang akan dihantar kepada Encik Ellis.

    MAAF BERUNDUR

    “Encik Lee tanya siapa terjemahkan surat itu. Saya jawab Abdullah Majid daripada UMMS. Beliau geleng kepala dan berkerut dan bertanya: ‘Kenapa tak minta Abdul Samad Ismail daripada Utusan Melayu?

    “Pertanyaan Encik Lee tidak kami jawab. Kami adukan ugutan Raplh Ellis.

    “Encik Lee kata sebagai kesatuan, KGMS berhak membuat bantahan. Tetapi sebagai kakitangan awam, memang hal ini tidak dibenarkan,” cerita Cikgu Ariff.

    Namun Encik Lee membuat catatan dan berbincang dengan isterinya, yang juga rakan syarikat guamannya dan kemudian beliau mengiringi mereka ke pintu untuk berpisah, tambah Cikgu Ariff.

    Pada 2 Ogos 1954, JPMS telah mengadakan rapat umum dengan 54 pertubuhan Melayu/Islan yang turut dihadiri oleh ibu bapa murid sekolah. JPMS menuntut rancangan Le Provost dimansuhkan.

    Ketika itu juga ditubuhkan Majlis Pelajaran Melayu pimpinan Cikgu Harun Mohd Amin, sasterawan terkenal, yang menggantikan Encik Sidek, yang menang pilihan raya dan menjadi menteri muda pelajaran.

    “Namun saya tak tahu apa jadi pada surat Encik Lee kepada Pejabat Pelajaran dan apa pula jawapannya,” ujar Cikgu Ariff.

    Encik Lee menang pilihan raya Tanjong Pagar pada 1955 tetapi masih menjadi peguam KGMS.

    “Ketika Encik Lee menjadi perdana menteri dan mengetuai pemerintahan sendiri Singapura, antara langkah pertama yang diumumkannya ialah bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan Singapura. Hal ini menyejukkan hati ramai pejuang bahasa Melayu, terutama Majlis Pelajaran Melayu,” tambah Cikgu Ariff.

    Encik kemudian Lee menulis surat kepada KGMS dengan meminta maaf kerana tidak dapat bertindak sebagai penasihat guaman.

    Beliau menyarankan Encik David Marshall, seorang peguam terkenal dan pernah menjadi Ketua Menteri Pertama Singapura. Encik Marshall bersetuju.

    SINDIRAN NOVEL

    Novelet Sarah Pengarang Kecil karangan Cikgu Ariff pernah digunakan sebagai buku teks di sekolah rendah dan Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa, khususnya untuk mengajar bahasa Melayu kepada bukan Melayu.

    Ketika itu, Singapura sedang bersiap menyertai Persekutuan Malaysia. Rakyat diperlukan belajar bahasa Melayu.

    Kakitangan awam bukan Melayu yang lulus bahasa Melayu diberikan bonus atau dinaikkan pangkat.


    “Ketika Encik Lee menjadi perdana menteri dan mengetuai pemerintahan sendiri Singapura, antara langkah pertama yang diumumkannya ialah bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan Singapura. Hal ini menyejukkan hati ramai pejuang bahasa Melayu, terutama Majlis Pelajaran Melayu.”

    – Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Irsyad Beri Penghormatan Kepada Jenazah Bukan Muslim MUIS

    Irsyad Beri Penghormatan Kepada Jenazah Bukan Muslim MUIS

    Adab dan etika dalam perhubungan sesama insan penting dalam Islam. Ini termasuk dalam urusan kita bersama mereka yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

    Garis pandu Agama

    – Memberi penghormatan sewajarnya kepada jenazah termasuk dalam ajaran etika agama. Nabi saw bersabda: “Apabila kamu melihat iringan jenazah, maka berdirilah menghormatinya sampai iringan jenazah itu lalu dan meninggalkan kamu atau sampai dia diletakkan dalam kubur.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

    – Antara ajaran Islam berkaitan memberi penghormatan kepada jenazah bukan Muslim ialah:

    • MENGHADIRI UPACARA PENGHORMATAN JENAZAH

    – Rasulullah saw menganjurkan supaya kita berdiri apabila jenazah lalu di hadapan kita sebagai tanda hormat.

    – Dalam suatu hadis diriwayatkan bahawa

    ‘… Rasulullah saw telah berdiri apabila jenazah lalu di hadapan Baginda, maka telah diberitahu kepada Baginda bahawa jenazah itu ialah jenazah seorang Yahudi, Baginda menjawab: “Bukankah ia juga satu jiwa (yang layak diberi penghormatan)”.’ (Hadis riwayat Imam Bukhari).

    – Oleh itu, kita dibolehkan menghadiri upacara penghormatan jenazah.

    – Sekiranya terdapat ritual berunsur keagamaan dalam upacara itu, seseorang Muslim tidak boleh melakukan ritual itu.

    – Bagi upacara umum yang tidak melibatkan unsur keagamaan dan seseorang hanya menundukkan kepalanya sedikit (tidak sehingga tahap rukuk atau sujud) sebagai tanda penghormatan kepada jenazah, perbuatan itu harus dan dibenarkan.

    • MENYAMPAIKAN TAKZIAH

    – Mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dibolehkan. Kita juga digalak mendoakan kesejahteraan serta ketabahan buat ahli keluarganya.

    • MENGINGATI KEBAIKAN

    – Kita digalak mengingati kebaikan si mati, mengenang jasa dan pengorbanannya. “Apabila seseorang mengungkapkan kata-kata kesat terhadap jenazah, maka dia sebenarnya menyakiti mereka yang masih hidup.” (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi).

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Jangkitan Sakit Tulang Tidak Halang Pelajar Cemerlang Peperiksaan GCE Peringkat ‘A’

    Jangkitan Sakit Tulang Tidak Halang Pelajar Cemerlang Peperiksaan GCE Peringkat ‘A’

    Daniel Nur Hakim Ismail menghidapi sejenis sindrom jangkitan tulang ketika usianya 13 tahun.

    Ia menyebabkan Daniel sukar berjalan dan memerlukannya menggunakan kerusi roda hampir sepanjang masa.

    Empat bulan sebelum menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘A’, pelajar dari Raffles Institution ini dimasukkan ke hospital dan diarahkan berehat selama tiga bulan.

    “Ketika itu, kawan-kawan saya datang dan menziarahi saya di hospital dan juga di rumah dan memberi nota-nota yang telah diberi oleh sekolah untuk saya mengulang kaji. Tapi pada waktu itu, saya tidak dapat mengulang kaji banyak pelajaran kerana saya berasa letih disebabkan ubat-ubatan yang diberikan doktor. Sebab itu, saya lakukan sedaya upaya untuk mengulangkaji apa yang saya dapat.”

    Namun kesukaran yang dihadapinya waktu itu, tidak pernah melunturkan semangatnya.

    Dengan sokongan kedua-dua ibu bapa, Daniel meneruskan niatnya menduduki peperiksaan GCE ‘A’ tahun lepas meskipun dinasihati para guru untuk menangguhkannya.

    Ia akhirnya membuahkan hasil apabila keputusan yang diperolehi cukup untuk melayakannya ke universiti.

    Daniel ingin menceburi bidang kewangan dan berharap ilmunya itu dapat digunakan untuk kebaikan masyarakat pada suatu masa nanti.

    Daniel mengatakan, “Saya percaya, Benjamin Franklin pernah berkata, “Service to humanity is a great aim and end to all learning” dan saya pegang kuat dengan kata-kata itu dan saya percaya perkhidmatan kepada manusia adalah akhir kepada segala pembelajaran.”

    Amirul Adli Rosli dari Maktab Rendah Pioneer, menyimpan hasrat serupa.

    Cita-citanya – untuk membantu golongan yang memerlukan menerusi kerja-kerja kebajikan.

    “Saya mula berminat dalam bidang ini selepas pengalaman saya bersama PPIS di mana saya bekerjasama dengan pekerja-pekerja kebajikan. Daripada situ, saya terdedah dengan kerja itu secara langsung di mana saya mendapat pengalaman-pengalaman dan lebih tahu tentang pekerjaan tersebut,” jelas Amirul

    Selain itu, Amirul juga aktif sebagai timbalan presiden Kelab Kebudayaan Melayu di sekolah dan pernah terlibat dalam pelbagai kegiatan di dalam dan luar negara.

    Sungguhpun begitu, soal pelajaran tidak pernah sesekali diabaikan.

    Amirul memperolehi lima gred A dan merancang untuk melanjutkan pengajiannya dalam jurusan kerja kebajikan.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Ciptaan Lagu Kebangsaan Singapura Oleh Allayarham Zubir Said Dianggap Peristiwa Paling Penting Dalam Sejarah Singapura Oleh Masyarakat Melayu

    Ciptaan Lagu Kebangsaan Singapura Oleh Allayarham Zubir Said Dianggap Peristiwa Paling Penting Dalam Sejarah Singapura Oleh Masyarakat Melayu

    Lagi Kebangsaan Singapura, yang dicipta oleh Allahyarham Zubir Said pada 1958 dan dinyanyikan di sekolah dan upacara rasmi lain di sini, dilihat sebagai peristiwa paling penting dalam sejarah Singapura oleh masyarakat Melayu setempat.

    Masyarakat Melayu Singapura juga melihat peristiwa itu sebagai paling penting dalam membentuk generasi akan datang di negara ini.

    Mereka turut meletakkan penciptaan ikrar kebangsaan sebagai antara peristiwa paling utama dalam sejarah Singapura bagi generasi sekarang dan akan datang.

    Demikian antara dapatan tinjauan terbaru oleh Insititut Pengajian Dasar (IPS), Universiti Nasional Singapura (NUS), mengenai Tanggapan terhadap Sejarah Singapura yang dilakukan antara Ogos dengan Oktober tahun lalu.

    Sejumlah 1,516 rakyat Singapura ditinjau mengenai tanggapan mereka terhadap 50 peristiwa penting dalam sejarah moden Singapura – sejak pendaratan Sir Stamford Raffles di negara ini hingga pilihan raya umum pada 2011.

    Soalan-soalan tinjauan telah diberikan dalam empat bahasa rasmi di Singapura – Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

    “Saya fikir kaum minoriti, secara umumnya, mereka lebih sedar tentang konteks berlakunya insiden-insiden bersejarah. Mereka lebih banyak menumpukan perhatiannya kepada ehwal semasa yang dikaitkan dengan berlakunya peristiwa-peristiwa itu,” kata ketua pengkaji tinjauan tersebut, Dr Leong Chan-Hoong, ketika diminta oleh Berita Harian mengulas dapatan itu.

    Sambil memberi contoh beberapa lagi peristiwa yang tidak mudah dilupakan oleh masyarakat Melayu – termasuk rusuhan Martha Hertogh atau ‘Natrah’ pada 1950-an, komplot pengganasan Jemaah Islamiyah (JI) pada 2002 dan pelolosan Mas Selamat dari tahanan keselamatan – Dr Leong, yang juga Zamil Kajian Kanan IPS, berkata peristiwa yang berkaitan dengan isu perkauman lebih diingati masyarakat yang terjejas.

    “Kedua-dua peristiwa – rusuhan Maria Hertogh pada 1950-an dan isu sekitaran komplot pengganasan JI pada awal 2000 – lebih diingati kaum Melayu berbanding dengan kaum lain,” tegasnya.

    Beberapa peristiwa bersejarah lain, termasuk pembukaan rasmi Lapangan Terbang Changi (1981), pelancaran rasmi khidmat MRT (1988), pembentukan Lembaga Perumahan dan Pembangunan atau HDB (1960) dan peristiwa mantan perdana menteri, Encik Lee Kuan Yew, menangis di televisyen selepas perpisahan antara Singapura dengan Malaysia (1965), juga tidak terhakis daripada ingatan dan dianggap penting oleh masyarakat Melayu.

    Bagi generasi mendatang pula, masyarakat Melayu menanggap peristiwa penciptaan lagu kebangsaan, penularan wabak Sars dan dasar dwibahasa yang diperkenalkan di sekolah pada 1966, sebagai antara peristiwa bersejarah penting yang tidak harus dilupakan mereka.


    “Saya fikir kaum minoriti, secara umumnya, mereka lebih sedar tentang konteks berlakunya insiden-insiden bersejarah. Mereka lebih banyak menumpukan perhatiannya kepada ehwal semasa yang dikaitkan dengan berlakunya peristiwa-peristiwa itu.”

    – Dr Dr Leong Chan-Hoong.


    Tanggapan Melayu Singapura

    10 peristiwa utama dianggap penting oleh masyarakat Melayu

    1. Penciptaan lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’ (1958)

    2. Penciptaan ikrar kebangsaan Singapura (1966)

    3. Pembukaan rasmi Lapangan Terbang Changi (1981)

    4. Pelancaran rasmi khidmat MRT (1988)

    5.Pembentukan Lembaga Perumahan dan Pembangunan atau HDB (1960)

    6. Peristiwa mantan perdana menteri, Encik Lee Kuan Yew, menangis di televisyen selepas perpisahan antara Singapura dengan Malaysia (1965)

    7. Mata wang Singapura diperkenalkan (1967)

    8. Pembentukan Parti Tindakan Rakyat atau PAP (1954)

    9. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan (1994)

    10. Projek NEWater siap (2000)

    10 peristiwa utama masyarakat Melayu anggap penting bagi generasi mendatang

    1. Penciptaan lagu kebangsaan ‘Majulah Singapura’ (1958)

    2. Penularan wabak Sars (2003)

    3. Pengenalan dasar dwibahasa di sekolah-sekolah (1966)

    4. Penciptaan ikrar kebangsaan Singapura (1966)

    5. Pembukaan rasmi Lapangan Terbang Changi (1981)

    6. Kemasukan kumpulan pertama anggota Perkhidmatan Negara (1967)

    7. Rusuhan kaum (1964)

    8. Pelancaran rasmi khidmat MRT (1988)

    9. Mata wang Singapura diperkenalkan (1967)

    10. Pembentukan Lembaga Perumahan dan Pembangunan atau HDB (1960)

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Madrasah Wak Tanjong Mengambil Semula Murid Darjah Satu Tahun Ini

    Madrasah Wak Tanjong Mengambil Semula Murid Darjah Satu Tahun Ini

    MADRASAH Wak Tanjong telah mula mengambil semula murid darjah satu mulai tahun ini setelah ia memenuhi ukur tara Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) di bawah Akta Pendidikan Wajib (CE).

    Madrasah di Sims Avenue itu gagal memenuhi ukur tara tersebut dalam tempoh penilaian 2008 hingga 2010, oleh itu tidak boleh mengambil murid darjah satu dari 2012 hingga 2014.

    Di bawah akta tersebut, madrasah sepenuh masa perlu memenuhi ukur tara PSLE tahunan jika ingin terus mengambil murid darjah satu.

    Dalam jawapan bertulisnya kepada Encik Muhamad Faisal Abdul Manap (GRC Aljunied), Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata terdapat hingga 400 tempat bagi pendaftaran murid darjah satu di madrasah sepenuh masa.

    Madrasah Alsagoff mengambil sekitar 30 murid darjah satu setiap tahun dari 2012 hingga 2014, manakala Madrasah Al-Maarif pula sekitar 67 pelajar.

    Madrasah Irsyad, satu daripada tiga madrasah di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS), mengambil sekitar 204 murid darjah satu setiap tahun sepanjang tempoh itu.

    Dua lagi madrasah JMS, Aljunied dan Al-Arabiah, berhenti mengambil murid darjah satu mulai 2009 sebagai sebahagian daripada sistem itu.

    Kedua-dua madrasah itu hanya menerima pelajar menengah.

    Menurut Dr Yaacob, sistem pendidikan madrasah memerlukan murid rendah mengambil lima mata pelajaran ukhrawi di samping empat mata pelajaran PSLE.

    “Madrasah melaksana ujian kemasukan bagi memastikan pelajar yang mereka ambil dapat menghadapi tuntutan kurikulum dengan baik,” kata beliau.

    Dr Yaacob juga berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bersama madrasah komited dalam menyediakan pendidikan bermutu bagi pelajar madrasah.

    “Selain merekrut dan mengekalkan guru bermutu, Muis melabur dalam pembangunan profesional pemimpin dan guru madrasah,” kata beliau.

     

    Source: http://beritaharian.sg