Pelawak Alias Kadir Rasa Terpinggir, Tidak Lagi Laku

CREDIT: MEDIACORP

CREDIT: MEDIACORP

KALAU cakap tentang persada komedi Singapura, memang tidak sah kalau tidak menyebut nama Alias Kadir.

Semasa zaman kegemilangannya sekitar 1990-an, beliau begitu popular sehinggakan selama beberapa tahun setiap malam Raya, ramai yang pastinya tidak kering gusi melihat telatahnya di kaca televisyen.

Bukan itu saja, sehingga hari ini pada setiap Raya pasti lagu Ramwong – yang dinyanyikannya bersama Mahani Mohamed – berkumandang di radio.

Namun sejak kebelakangan ini, jarang sekali mendengar apatah lagi melihat gelagat pelawak berusia 51 tahun ini.

“Beginilah nasib orang seni terutama pelawak seperti saya. Kita ini bagaikan sudah hanyut ke laut.

“Yalah, sekarang kalau ada show, banyak orang baru, orang muda, panggil orang seberang Tambak lagi.

“Jadi, orang ramai dah tak endahkan kita lagi. Kadang-kadang kita tak buat salah pun, apabila orang jumpa kita di luar, mereka akan hina kita… kritik kita… cakap kita macam-macam,” ujar ayah lapan anak ini.

Alias mempunyai dua anak kandung dengan isteri pertama, empat anak tiri hasil perkahwinan kedua dan dua anak angkat yang dipeliharanya dari mereka berusia tiga hari.

Anak-anaknya semuanya berusia antara 21 tahun dengan 36 tahun.

Alias, yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Pesta Perdana (musim ketujuh) selama tiga tahun berturut-turut, kelihatan kurus apabila ditemui di Adam Road awal minggu ini.

“Yalah mungkin mereka tidak panggil saya kerana tahu saya sakit,” katanya yang memang kelihatan agak lelah dan sukar berjalan pantas akibat lututnya yang sengal teruk.

Sejak tiga tahun lalu, Alias, atau nama sebenarnya Mohd Osman Ahmad, disahkan menghidap beberapa penyakit kronik, termasuk kencing manis, darah tinggi dan sakit buah pinggang.

“Setiap hari kena makan sampai sembilan biji pil… hah… macam makan kacang!” kongsinya yang namanya ditukar kepada Alias selepas mengalami sakit berpanjangan ketika kanak-kanak.

Bahkan usah berkecil hati jika anda ternampak Alias di luar dan beliau tidak membalas senyuman anda.

Ini kerana pelawak yang mula terkenal kerana bijak meniru suara selebriti terkenal, seperti Ramli Sarip, S.M. Salim dan David Arumugam, ini sebenarnya menderita masalah katarak teruk.

“Mata kiri saya ni dah macam rabun… senang kata macam orang buta… tak nampak muka orang pun… nampak cahaya aje.

“Kalau jalan malam, kena pimpin. Sekarang kena katarak, nanti besok kena kartrij pulak,” seloroh Alias yang juga pernah menganggotai kumpulan Unsangkarable dan Rappers Tua.

Beliau pernah menghasilkan album Nobody Wants 2 C dengan lagu terkenal mereka Mak Andam Jambu ketika bersama Rappers Tua.

Tetapi apabila ditanya mengapa beliau tidak menjalani pembedahan merawat masalah matanya, tiba-tiba nada suaranya berubah.

“Selama ini saya kerja bebas, kurang menokok akaun Medisave dan banyak yang telah digunakan untuk bayar ubat bagi penyakit lain.

“Jadi, untuk pembedahan saya perlu lagi $170 tetapi nantilah belum mampu lagi,” tambahnya yang bekerja secara sambilan sejak tiga tahun lalu sebagai pembakar sate dan meraih gaji hari sekitar $30.

Namun, Alias bersyukur kerana kini beliau mempunyai tiga projek berbeza.

Ini termasuk konsert Unsangkarable yang berlangsung semalam bersama pelawak Hamzah Adon, Rafi Thai dan Mastura Ahmad; acara ‘Malam Kelakar Lokal’ pada 7 Jun ini di Pusat Konvensyen Politeknik Singapura; dan penerbitan DVD berjudul Raya Rumah Siapa? pada Ramadan ini, yang menampilkan pelawak mapan setempat.

Selain itu, peminat Alias juga boleh mengubat rindu padanya kerana beliau akan muncul dalam musim kedua Bubur Masjid Air Katira yang akan ditayangkan bermula 2 Julai.

Beliau berharap orang ramai akan tetap tersenyum apabila melihat lakonannya kerana baginya setiap senyuman itu satu sedekah.

“Kadang-kadang saya terlupa tentang penyakit saya apabila berlakon. Inilah yang membuat saya terus berkecimpung dalam bidang ini.

“Tanpa peminat, siapalah pelawak seperti saya,” katanya.

Ternyata apabila jurugambar menyuruhnya bergaya untuk diambil gambar, bagaikan seorang profesional, Alias menonjolkan pelbagai gaya dengan senyuman demi senyuman diberikan.

Namun di sebalik senyuman itu, siapa sangka pelbagai keperitan dan kesedihan perlu dialami seniman yang telah berkecimpung lebih 30 tahun dalam industri ini.

Bak kata pepatah, kawan ketawa ramai, kawan menangis susah dicari.

“Beginilah nasib orang seni terutama pelawak seperti saya. Kita ini bagaikan sudah hanyut ke laut.

Yalah, sekarang kalau ada show, banyak orang baru, orang muda, panggil orang seberang Tambak lagi.

Jadi, orang ramai dah tak endahkan kita lagi. Kadang-kadang kita tak buat salah pun, apabila orang jumpa kita di luar, mereka akan hina kita… kritik kita… cakap kita macam-macam.”

– Alias Kadir.

http://beritaharian.sg/gah/hiburan/alias-kadir-rasa-terpinggir

Sumber: Berita Harian SG, Alias Kadir

 

EDITOR’S NOTE

Inilah nasib seniman yang kurang sihat dan berumur. Sedih jugak dengar cerita Alias Kadir. Kesian jugak tengok nasib artis-artis lama yang kurang popular sebab ada ramai bakat muda. Kepada mana-mana pihak nak beri bantuan kewangan atau kerja dekat Alias Kadir, inilah masa yang terbaik. Harap-harap, kita semua dapat lihat Alias Kadir dan rakan-rakan seperjuangan di pentas Mediacorp untuk rancangan Hari Raya Aidilfitri nanti. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *