Diari Seorang Guru: Pengalaman Pahit Dijadikan Tekad Untuk Berjaya

Credit: NOOR Hasnah ADAM

Credit: NOOR Hasnah ADAM

Dahulu aku pelajar miskin. Aku selalu didera oleh cikgu aku bernama Ms Seow semasa darjah dua. Aku dianaktirikan. Walaupun aku pandai, Ms Seow kata aku meniru. Ms Seow tidak percaya semua yang aku buat adalah hasil kerja aku sebab aku sering tidak menjawab soalan-soalannya dalam kelas. Aku diarah duduk dalam bakul sampah setiap hari. Barang-barang dalam beg sekolah aku akan dihumban ke seluruh kelas setiap hari. Sesiapa berani kutipkan barang aku akan ditengking. Aku tak diizin belajar bersama-sama dengan pelajar lain. Ms Seow juga selalu memburuk-burukkan aku kepada guru-guru lain. Cikgu Sal turut benci pada aku dan melarang anaknya bergaul denganku.

            Kenapa cikgu-cikgu benci sangat pada aku? Mungkin sebab aku budak miskin. Baju aku buruk lusuh bekas turun-temurun kakak-kakak aku. Mungkin sebab aku tak sebersih budak-budak lain. Mungkin sebab kepalaku berkutu kerana banyak bermain longkang dan hutan. Mungkin sebab kasut turun-temurunku koyak rabak walau dijahit dan dikapur berkali-kali. Bagaimanalah aku mampu menjadi pelajar yang berpakaian rapi dan bersih, aku terpaksa berjalan kaki jauh dari rumah ke sekolah berulang-alik setiap hari. Pada waktu rehat, aku jarang ada duit untuk makan. Aku hanya mampu menelan air liur melihat pelajar-pelajar lain makan.

            Ms Seow selalu cakap aku bodoh dan jahat. Dia selalu cubit dan tampar aku. Benci betul dia pada aku. Aku dijadikan tempat Ms Seow pukul bantai melepaskan perasaan. Anak cikgu Sal yang bernama liza tetapi tidak pandai, sering dipuji-puji. Anak orang kaya sering dimanja. Aku pula sering disisih, dimaki dan dianiaya. Pernah sekali, aku menyemak kerja rumah aku dengan menggunakan pena merah sebab Ms Seow tidak mahu menyemak kerja rumah aku. Ms Seow mendapat tahu dan begitu marah. Apabila aku katakan aku ingin menjadi guru, Ms Seow telah menghina aku. Dia kata aku hanya layak jadi pengemis.

               “Ada hati nak jadi cikgu konon. Cerminlah muka tu dulu!” Kemudian, buku aku dia koyak-koyakkan dan campak ke belakang kelas. Ms Seow kata aku meniru dan buku aku tak layak disemak. Kemudian aku disuruh duduk di dalam bakul sampah yang sarat dengan sampah. Aku masih terbayang derai tawa kawan-kawanku. Kawan-kawan ikut pandang rendah pada aku. Kawan-kawan sekolah rendah suka bercerita tentang aku kepada kawan-kawan Madrasah. Konon aku jahat dan bodoh serta sering kena marah cikgu. Kawan-kawan sekolah rendah menghasut kawan-kawan madrasah supaya tidak berkawan dengan aku. Aku biarkan sahaja. Namun aku tetap dapat nombor 3 dan sering menduduki 5 tempat terbaik di madrasah. Malangnya, apabila aku mendapat nombor 3 di Madrasah, kawan-kawan menuduh aku meniru. Mereka kata aku sudah biasa meniru di sekolah rendah jadi tidak mustahil aku meniru di madrasah. Aku biarkan juga. Mak aku tidak pernah mengajar aku biadab. Mak aku tidak pernah mengajar aku maki-hamun orang. Mak aku cuma mengajar aku bersabar dan bersabar. Sekarang apabila aku kenangkan semula, rupanya budak-budak, kecil-kecil lagi sudah ada unsur gosip dan fitnah untuk menjatuhkan orang.

                  Waktu kecil itu, aku takut nak mengadu. Kalau beritahu mak abah tentang Ms Seow, pasti kena pukul lagi. Justeru aku sering berdiam diri tanda protes walau disoal bertalu-talu. Walau aku tahu jawapan Matematik, aku sengaja tidak mahu menjawab. Aku sentiasa sengaja mahu membuat Ms Seow berang. Suatu hari Ms Seow panggil mak aku ke sekolah. MS Seow tidak pandai berbahasa Melayu. Dia cakap Inggeris dan ceritakan semua keburukan aku. Konon aku jahat dan bodoh. Mak aku tak pandai berbahasa Inggeris. Jadi ada seorang budak Melayu disuruh menterjemah secara langsung kepada mak aku setiap ayat yang Ms Seow ucapkan. Nama dia Siti Zalinah. Aku ingat sampai bila-bila betapa bangganya Siti Zalinah dipilih menjadi penterjemah untuk menghina aku di hadapan mak aku. Matanya menjeling dan tersenyum sinis pada aku setiap kali dia terjemah butir-butir perkataan yang berbisa. Kemudian, Ms Seow bercakap di hadapan aku dan mak betapa puasnya dia dapat beritahu mak aku bahawa aku jahat dan bodoh.

Credit: NOOR Hasnah ADAM

Credit: NOOR Hasnah ADAM

               Aku rasa sangat terhina tetapi aku diam sahaja. Mak pun diam. Aku rasa mak malu dapat anak macam aku. Aku lebih sedih lukakan hati mak. Tapi aku tahu aku teraniaya. Aku tak jahat. Aku tak pernah meniru. Aku tak suka maki-hamun. Aku tak pernah aniaya orang. Cuma Ms Seow sahaja yang tak suka pada aku. Apa sahaja aku lakukan salah di mata dia. Sebab itulah aku turut dihina dan ditertawakan rakan-rakan sekelas. Walau aku lulus cemerlang, markah aku diubah pada buku rekod. Aku dimasukkan ke kelas 3C untuk pelajar lemah.

                 Waktu aku darjah tiga, mak mengandung lagi. Mak kata Siti Zalinah pandai dan bijak. Jadi dia namakan adik perempuan aku yang baru lahir, Siti Zalinah. Aku rasa sebal. Tapi aku biarkan. Siti Zalinah rakan sekelas aku memang bijak, tiap tahun dapat nombor 1. Tapi dia suka pandang rendah pada aku dan suka gelar aku ‘bodoh’. Aku tak tahu apa jadi pada dia sekarang. Mungkin dia dah berjaya dalam bidangnya

               Sejak usia 8 tahun itulah aku bertekad. Aku akan berjaya suatu hari nanti. Aku nak dikenali di negara aku supaya suatu hari orang-orang yang pernah menghina aku sedar…. “ohhh inikah NOOR Hasnah ADAM yg pernah duduk dalam bakul sampah di kelas setiap hari? Sudah berjaya rupanya!”

                Walau macam manapun, pengalaman pahit ini sentiasa aku gunakan dari sudut positif, sebagai tekad untuk berjaya. Aku berbangga kerana berjaya merealisasikan impianku. Kini aku adalah seorang guru. Terima kasih pada pengalaman semalam.

Sumber: NOOR Hasnah ADAM

letters R1C

YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

WEBSITE: rilek1corner.com

EMAIL: [email protected]

FEEDBACK: CONTACT RILEK1CORNER

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *