Intan Azura Mokhtar Saran Agar Yuran Peperiksaan Di Madrasah Juga Dimansuhkan

Langkah untuk menghapuskan yuran peperiksaan-peperiksaan nasional untuk para pelajar rakyat tempatan disentuh dalam perbahasan Belanjawan di Parlimen, hari ini.

Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Dr Intan Azura Mokhtar menyarankan agar langkah itu diluaskan meliputi juga para pelajar madrasah.

Dengan cara itu katanya, ini dapat memastikan tiada warga tempatan yang akan ketinggalan dalam mendapatkan pendidikan.

Dr Intan menyarankan agar pemerintah memberikan pelepasan yuran peperiksaan sepenuhnya, bukan sahaja untuk semua pelajar warga Singapura yang menuntut sepenuh masa di sekolah-sekolah aliran utama, tetapi juga sekolah swasta.

“Contoh tertentu adalah bagi para pelajar kita di madrasah sepenuh masa. Ini adalah antara keprihatinan para Anggota Parlimen Melayu Parti Tindakan Rakyat dan juga masyarakat Melayu/Islam kita.

“Usulan ini sama seperti peruntukan dana Edusave untuk semua pelajar warga Singapura. Saya percaya tiada di antara para pelajar warga Singapura kita harus ketinggalan dalam mengejar impian mereka melalui peluang pendidikan,” ujar beliau.

AP GRC Bishan-Toa Payoh Zainudin Nordin turut menyokong usulan Dr Intan itu. “Ini adalah dasar masyarakat yang inklusif yang digalakkan oleh pemerintah. Saya amat berharap agar idea ini akan diterima pemerintah,” ujarnya.

AP pembangkang Muhd Faisal Abdul Manap pula menyarankan agar ia dilanjutkan juga kepada semua pelajar sambilan di politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *