Berdasarkan pengalaman, setiap kali Jamiyah mempunyai acara syarahan, kebanyakan penceramah Singapura yang diundang selalunya bertutur dalam bahasa Melayu.
Secara tidak langsung, menurut Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, para penonton yang hadir juga merupakan mereka yang berusia sekitar 50 tahun ke atas.
“Agak sukar bagi generasi muda yang kebanyakan lebih mesra bertutur bahasa Inggeris memahami apa yang diketengahkan pensyarah.
“Ada kekosongan di situ. Justeru kami amat berharap dapat melahirkan lebih banyak pendakwah yang mahir menyampaikan ceramah dengan yakin dalam bahasa Inggeris,” ujarnya.
Dr Hasbi amat berharap mereka yang mahir bersyarah di depan khalayak ramai dan mempunyai pegangan agama asas menyertai program Generasi Mu’az yang diinspirasikan daripada program mencari pendakwah berjudul Pencetus Ummah yang popular di saluran televisyen Malaysia, Astro Oasis.
Sejauh ini sudah 30 peserta daripada pelbagai latar belakang telah mendaftar.
“Mereka yang daftar bukan sahaja golongan pelajar dari peringkat madrasah sahaja.
“Pelajar sekular yang mengikuti kelas agama hujung minggu tetapi yakin berpidato juga boleh tampil mendaftarkan diri,” tambahnya yang menyasarkan 50 peserta.
Sebagai permulaan, program itu dibuka kepada kaum Muslim berusia antara 17 dengan 40 tahun.
Semua peserta akan dibimbing empat pembimbing dari Singapura dan Malaysia yang akan mengongsi selok-belok menjadi seorang penceramah berkesan.
Empat finalis terbaik juga akan diundang memberi ceramah semasa acara Pelayaran Islamik.
Menurut Dr Hasbi, meskipun program Generasi Mu’az ini akan dijalankan dalam bahasa Melayu, memandangkan bahasa Inggeris merupakan bahasa utama di sini, ia secara tidak langsung memberi kelebihan berbanding pendakwah lain di rantau ini.
“Di Canada, setiap tahun mereka sering mengadakan konvensyen agama yang dihadiri lebih 17,000 penonton.
“Antara penceramah yang diundang selalunya dari negara itu sendiri, Britain dan Amerika Syarikat.
“Jadi saya juga mempunyai impian agar satu hari nanti seorang pendakwah Singapura juga akan diundang dan menyampaikan ceramah selain mengongsi pandangan kepada penceramah dan penonton antarabangsa lain,” ujarnya yang pernah diundang ke konvensyen di Canada itu.
Tarikh tutup pendaftaran ialah hari ini, 7 Mei, dan mereka yang berminat boleh mendaftarkan diri menerusi talian 6743-1211 atau e-mel ke [email protected].
Source: http://beritaharian.sg