Blade Runner Singapura Tolak Tawaran USD$60,000 Untuk Jadi Model Bogel

Selang empat hari menyambut Syawal, pelari berkaki prostetik atau Blade Runner Singapura, Mohd Shariff Abdullah ditawarkan ‘duit raya’ yang sangat lumayan, iaitu sebanyak AS$60,000 ($82,280).

Jumlah itu merupakan yang paling besar pernah ditawarkan kepada Shariff. Namun dia menolaknya.

Shariff di Maraton Standard Chartered Singapura 2014. (Gambar: Facebook/MD Shariff Abdullah)

Shariff dilamar sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Amerika Syarikat untuk menjadi Duta Blade Runner yang pertama di Asia.

Pakej tawaran itu termasuk sesi bergambar, video dan liputan majalah di Amerika. Ia bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada para pelari istimewa yang lain.

Malah jika tawaran itu diterima, pertubuhan tersebut akan membayar tiket penerbangan serta kos penginapan Shariff di Amerika Syarikat.

KENAPA TAWARAN DITOLAK? 

Namun syarat tawaran itu memerlukan Shariff untuk menjadi model yang menanggalkan semua pakaiannya, kecuali hanya kaki palsu.

Shariff memberitahu BERITAMediaCorp, dia menolak tawaran yang “amat menarik” itu, tanpa berfikir panjang.

“Sebagai seorang Muslim, saya harus menjaga nama, bangsa, agama dan negara. Saya mencari rezeki yang halal, bukan dengan cara seperti ini. Jika saya terima, ini sudah tentu menjatuhkan maruah saya,” jelas Shariff dengan tegas ketika dihubungi oleh BERITAMediaCorp hari ini.

Menurut Shariff, dia mula berjumpa dan berkenalan dengan wakil dari pertubuhan itu ketika menyertai Maraton Boston pada tahun 2012.

Shariff di Maraton Boston 2015. (Gambar: Facebook/Bradley Rhoton)

Sejak itu, mereka sering menjemput Shariff untuk menyertai acara-acara larian.

Pakej tersebut, yang ditawarkan kepada Shariff melalui emel dan panggilan telefon pada hari Isnin (20 Julai), adalah yang pertama seumpamanya daripada pertubuhan itu.

“Mereka memang orang yang baik, mereka mempunyai niat yang baik, hanya cara mereka yang berlainan. Mungkin di negara mereka, ia sesuatu yang biasa,” kata Shariff, yang turut menerima tawaran daripada syarikat-syarikat tempatan, termasuk menjadi duta jenama kelengkapan sukan.

“Saya sudah bertanya, kenapa tidak dengan cara yang lain seperti ambil gambar saya berlari, tapi mereka katakan tidak,” tambah Shariff.

GIAT BERLATIH UNTUK MARATON EVEREST

Shariff, yang kini berusia 46 tahun, sudah memakai kaki prostetik sejak berusia lima tahun. Dia giat menyertai pelbagai acara larian, sebahagiannya untuk tujuan amal.

Pada 29 Ogos ini, Shariff akan menyertai larian 12 kilometer dalam acara ultra maraton The Most Beautiful Thing (TMBT) di kawasan Gunung Kinabalu.

“Lebih 1,000 peserta dari pelbagai negara termasuk Singapura, Brunei dan Thailand akan berlari antara 12 hingga 100 kilometer. Kami akan mengutip dana untuk para penduduk tempatan yang terjejas oleh bencana gempa baru-baru ini,” kata Shariff.

Pada hujung tahun nanti pula, Shariff akan berlari 28 kilometer di kawasan yang sama dalam acara larian Hasuu Tasuu.

Shariff beraksi dalam Larian Hasuu Tasu 2014 di Sabah. (Gambar: Facebook/MD Shariff Abdullah)

Dua acara itu adalah untuk mempersiapkan Shariff bagi Maraton Tenzing Hillary Everest pada 29 Mei tahun depan.

Shariff sebenarnya merancang untuk menyertai maraton tersebut pada Mei lalu bagi meraikan Jubli Emas Singapura. Namun acara itu terpaksa ditangguhkan menyusuli dua gempa bumi yang melanda Nepal pada Mei dan April tahun ini.

Maraton Tenzing Hillary Everest pada tahun ini akan berlangsung pada 5 Oktober nanti. Namun Shariff tidak akan menyertai maraton itu kerana kesuntukan masa.

“Lagipun saya ada acara sukan besar yang akan berlangsung pada bulan Disember di Singapura. Saya tidak boleh umumkan butirannya buat masa ini,” ujar Blade Runner Singapura yang pertama itu.

Shariff menjalani latihan. (Gambar: Facebook/MD Shariff Abdullah)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *