MUIS Kaji Pemantauan Perkukuh Skim Bantu Keluarga Susah

Buat pertama kalinya, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang menjalankan satu kajian pemantauan lima tahun bagi memperkukuh lagi Skim Pengupayaan Sepadu (EPS).

Ia sebahagian daripada usaha mempertingkat keberkesanan EPS dalam membantu keluarga yang memerlukan.

Ini didedahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim di majlis meraikan kejayaan kohort kelima peserta skim tersebut petang tadi.

Diperkenalkan pada 2004, EPS merupakan wadah membantu keluarga-keluarga memerlukan agar berupaya keluar dari lingkaran kemiskinan.

Sejauh ini MUIS membelanjakan lebih $4.2 juta untuk program-program EPS termasuk latihan peningkatan kemahiran ibu bapa serta geran pendidikan anak-anak.

“Selain dari program EPS, MUIS juga mengagihkan bantuan kewangan bulanan, bonus Ramadan dan bonus akhir tahun untuk para penerima zakat, yang mana ramai memerlukan bantuan jangka panjang seperti warga emas dan pesakit kronik.

“Bagi golongan ini, MUIS juga membantu dengan mengadakan sokongan daripada para Pendamping atau ‘Befrienders’ yang bukan sahaja dapat menziarahi mereka tetapi lebih penting memberi sokongan moral,” ujar Dr Yaacob.

Hari ini, seramai 95 graduan berjaya menamatkan skim EPS yang kelima.

Salah seorang daripada graduan itu ialah Suhana Anvaruhuk, seorang ibu tunggal yang berjaya menamatkan program WSQ Sijil Perkhidmatan Spa, lalu mendapatkan pekerjaan tetap sebagai terapis urut.

“Saya alu-alukan untuk semua di bawah skim bantuan kewangan, golongan ibu tunggal untuk menyertai kursus ini, ia benar-benar membantu kita dalam pelbagai cara. Jangan putus asa dalam kehidupan, salah satunya skim EPS akan membantu,” ujar Cik Suhana.

Sejauh ini, seramai 595 individu daripada 847 keluarga sudahpun berupaya berdikari dan tidak bergantung lagi kepada bantuan bulanan zakat MUIS.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *