Tak Bahasa Melayu Hilang Di Singapura

Ketika gong dipalu pada acara Bulan Bahasa petang ini di Taman Di Pesisiran (Gardens by The Bay) oleh Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, genap setengah abad gerakan bersejarah bagi bahasa dan persuratan Melayu di Singapura merdeka.

Seyogia pada 1965 pernah diadakan Bulan Bahasa Kebangsaan dan pada 1966 pula diadakan Bulan Bahasa dan Kongres Bahasa Kebangsaan.

Sedang Singapura menyambut jubli emas kemerdekaannya, ternyata cakapcakap yang pernah menyatakan bahasa Melayu akan pudar atau pupus di Singapura ternyata tidak terjadi.

Malah, sebaliknya pula berlaku.

Detik-detik pasang surat kegiatan bahasa dan persuratan Melayu terakam pada buku cetak dan buku elektronik yang diketuai penulisan dan penyuntingannya oleh Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat. Difahamkan buku ini bakal dilancarkan oleh PM Lee.

Keprihatinan akan masa depan bahasa ibunda dalam suasana dominan berbahasa Inggeris bukan sekadar masalah orang Melayu sahaja.

Kalangan masyarakat majoriti Cina juga bimbang akan masa depan bahasa Mandarin dan juga dialek mereka. Begitu kaum rumpun India di Singapura.

Namun keunikan Singapura, bak dikupas ringkas oleh Pengerusi Majlis Bahasa Melayu, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada majlis Persatuan Bawean Singapura baru-baru ini, iaitu prinsip berbilang kaum yang perlu terus menjadi antara teras penakatan Singapura.

Teras ini disuburkan oleh Dasar Dwibahasa, tekad pemerintah serta pelibatan awam dan sokongan masyarakat berbilang kaum yang harmoni.

Benar, perangkaan daripada Banci Penduduk 2000 dan 2010 menunjukkan bahawa umumnya bahasa ibunda kurang digunakan di rumah. Akibatnya, anak Melayu perlu menghadiri kelas tambahan atau tuisyen agar dapat berbahasa ibunda dengan baik.

Di sini terpapar peranan genting ibu bapa atau waris dalam memastikan sekitaran rumah yang mendukung bahasa ibunda. Malah, jika perlu, elakkan berbahasa Inggeris di rumah. Sebabnya, di luar rumah, termasuk sekolah dan tempat kerja, terbuka peluang luas berbahasa Inggeris.

Ada ‘keistimewaan’ pada bahasa Melayu iaitu sebagai ‘Bahasa Kebangsaan’ yang dimaktubkan dalam Perlembagaan. Ia bukan saja terpapar pada lagu Majulah Singapura sebagai Lagu Kebangsaan dan bahasa perintah perbarisan.

Kedudukan watan kita di Nusantara telah memberikan hikmah penakatan kepada Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew dan barisan pemimpin perintis agar Singapura mengekalkan prinsip bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Tercetus semacam tradisi – daripada perdana menteri sehingga kalangan menteri kabinet dan pegawai tinggi pemerintah, terdapat usaha agar dapat bertutur bahasa Melayu.

Adakah suasana 50 tahun selanjutnya akan berubah?

Soalan ini dapat dijawab dengan pasti andai langkah serampang tiga mata dilakukan.

Pertama, usaha yang ada kini dapat disemak dan dipertingkat; kedua, diwujudkan pelan induk bahasa dan persuratan Melayu bagi memupuk golongan pendukung persuratan Melayu; dan ketiga, diperkemas kecekapan dan jalinan Majlis Bahasa Melayu dengan semua pihak yang berkepentingan seperti guru bahasa Melayu sehingga institusi.

Yang utama adalah tekad masyarakat Melayu sendiri menyatakan dan menjunjung ikrar bahawa ‘tak bahasa Melayu hilang di Singapura’.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *