KUALA LUMPUR, 11 Mac ― Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan umat Islam agar mentaati pemimpin kerana ia salah satu perintah Allah.
Melalui khutbahnya hari ini, jabatan itu berkata pemimpin bukan sahaja mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat tetapi pemimpin juga berhak mendapat keadilan daripada rakyatnya.
“Sesiapa yang memuliakan dan menghormati pemerintah, maka Allah akan memuliakannya pada hari kiamat.
“Manakala mereka yang tidak memuliakannya (pemimpin), maka Allah akan menghinanya pada hari kiamat kelak.
“Perbuatan merendah-rendahkan pemimpin ibarat melepaskan tali kekang Islam dari lehernya,” teks khutbah bertajuk “Ujian Sebuah Kesetiaan” dipetik.
Mimbar berkata larangan menghina pemimpin terdapat dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad daripada Abu Dzar.
“Sesungguhnya akan muncul selepasku pemerintah, maka janganlah engkau menghinanya, sesiapa yang ingin menghinanya, maka sesungguhnya dia telah melepaskan tali kekang Islam dari lehernya,” mafhum hadis seperti dipetik dalam teks khutbah.
Khutbah hari ini turut mengingatkan bahawa mentaati penguasa atau pemerintah umat Islam menjadi salah satu prinsip dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Teks itu menyebut umat Islam wajib memahami tanggungjawab dan menghormati pemimpin, bahkan menyokong apa yang telah dirancang.
“Rakyat wajib taat kepada pemerintah dan negara. Jika mereka cuai dan tidak bertanggungjawab, maka mereka tidak beradab di sisi Allah.
“Kombinasi antara pemerintah yang adil dan rakyat yang taat akan mencetuskan kebaikan yang merata dalam sesebuah masyarakat dan dinikmati oleh semua pihak.
“Bagaimana mungkin kita mampu mengecapi semua nikmat ini seandainya barisan kepimpinan kita bukan dalam kalangan yang layak iaitu adil, cekap, bijak dan prihatin?” kata khutbah.
Source: www.themalaymailonline.com