Ibu 51 Tahun Jadi Graduan Tertua Ngee Ann Politeknik

Usia bukan penghalang bagi seorang ibu memburu cita-cita dalam bidang sains kesihatan.

Pada usia 51 tahun, Cik Serimaryati Abdullah, seorang jururawat berdaftar, menjadi graduan Politeknik Ngee Ann yang tertua.

Selama tiga tahun, kampus politeknik itu menjadi sekolah bagi pelajar sepanjang hayat itu.

Malah, usaha belajar sepanjang hayat itu turut membakar semangat anaknya yang meraih diploma dalam kejuruteraan komputer.

Berkat kesedaran tentang pentingnya meningkatkan kemahiran dan kelayakan, Cik Serimaryati hari ini (11 Mei) menjadi lulusan tertua daripada kohort lebih 5,000 graduan Politeknik Ngee Ann.

Cik Serimaryati, yang menerima diploma dalam Sains Kesihatan (Kejururawatan) dari politeknik itu, berkata: “Saya ingin mencabar diri saya sejauh mana saya boleh mencapai cita-cita saya.

“Apa-apa pun, kita harus duduk berbincang kerana kita tidak hendak separuh jalan dan cita-cita kita tergendala. Dan Alhamdulillah saya diterima bekerja di dalam unit jagaan rapi, sebuah bidang yang begitu intensif sekali.”

Bahkan, setiap kali menghadapi masalah merungkai esei, Cik Seri merujuk kepada anaknya yang ketiga, Muhd Nur Aniqq Ab Rahim, pelajar di politeknik yang sama, yang merangkul diploma dalam Kejuruteraan Elektrikal & Komputer semalam.

Aniqq berkata: “Saya rasa bangga kerana dapat sama-sama belajar dengan ibu saya. Selepas saya menjalani Perkhidmatan Negara (NS), saya akan meneruskan pembelajaran saya dalam bidang ijazah kejuruteraan komputer.

“Ibu saya banyak memberi saya inspirasi dan mendorong saya, beliau kekalkan langkah pembelajaran sepanjang hayat dan saya ingin jadi macam beliau.

LAGI PASANGAN IBU DAN ANAK TAMAT PENGAJIAN DIPLOMA SERENTAK

Cik Seri serta Aniqq ternyata bukan satu-satunya pasangan ibu dan anak yang berjaya menamatkan pengajian diploma mereka serentak.

Ibu tunggal berusia 44 tahun, Cik Norizan Azin dan anak sulungnya Nurulhayati Saimen, 21 tahun, juga tamat kursus politeknik selang sehari.

Pelajaran Cik Norizan dulu tertangguh kerana tidak mahu membebani ibunya yang juga ibu tunggal.

Maka, bak impian jadi nyata apabila Kastam Singapura menaja 100 peratus pembelajaran Cik Norizan selama 2.5 tahun.

Ketua Pegawai Kastam itu kini pemegang diploma Amalan Perniagaan daripada Politeknik Temasek, sementara anaknya meraih diploma Aplikasi Bisnes daripada Politeknik Republic.

Kisah inspirasi ini diharap akan mendorong lebih ramai ibu bapa mengikut jejak langkah Cik Seri dan Cik Norizan yang terus memburu pengetahuan sepanjang hayat – usaha yang kini dibantu inisiatif Pemerintah, Kredit SkillsFuture.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *