Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) memberi biasiswa kepada empat bekas penghuni RKM yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat pos menengah.
Biasiswa tersebut disampaikan AP GRC Pasir Ris-Punggol yang juga Penolong Setiausaha Agung NTUC Zainal Sapari sempena majlis iftar badan tersebut.
Biasiswa Al-Fatih diberikan kepada bekas penghuni RKM bagi menampung pengajian mereka di peringkat pos menengah.
Untuk tahun ini, empat bekas penghuni RKM menerima biasiswa bernilai $2,500 setiap satu.
Ia diharap menyemarakkan semangat para penerima dalam usaha mereka untuk terus menimba ilmu.
“Kami mendapati anak-anak RKM yang keluar dari RKM kalau mereka meneruskan pengajian pos menengah mereka akan lebih bernasib baik dari segi tidak mengulangi kesalahan juvenil mereka,” ujar anggota jawatankuasa RKM Dr Sharifah Mariam Aljunied.
Selain beriftar bersama, Encik Zainal turut memberikan kata-kata nasihat dan perangsang kepada para penghuni yang hadir.
“Saya menasihati mereka supaya bercita-cita besar, jangan hampa kalau menghadapi satu kekalahan atau kekecewaan kerana ini adalah perkara yang biasa dilalui oleh orang-orang ini dan insyaAllah dengan giat usaha dan sifat yang baik mereka boleh mencapai kejayaan yang mereka inginkan,” ujar Encik Zainal Sapari.
Sejak tahun 2013 Persatuan Muhammadiyah memberikan 15 biasiswa Al-Fatih untuk bekas penghuninya.
Source: Berita MediaCorp