Selamat Hari Bapa untuk para bapa di luar sana. Dalam Bahagian Kedua artikel mengenai pengorbanan dan perjuangan seorang bapa, BERITAMediacorp menampilkan kisah seorang lagi Bapa – seorang bapa selebriti yang kelakar.
Namun, penyu menangis siapa yang tahu. Pelawak yang menghadapi kesukaran hidup, siapa yang tahu. Ini kerana bagi kebanyakan kita, beliau seorang yang ‘happy’, lucu dan tidak pernah gagal menghiburkan kita. Seolah-olah, pelawak tiada masalah. Seolah-olah, pelawak tidak pernah susah hati.
Dalam artikel ini, BERITAMediacorp membawa anda mengenali lebih dekat lagi kehidupan Bapa dan Pelawak bernama Alias Kadir, yang mungkin sebahagian daripada anda kurang tahu.
Ini dia kisah pelawak dan pelakon komedi, Alias Kadir, dalam laporan Eksklusif ini:
ORANGNYA memang kelakar habis. Apabila beliau buka sahaja mulutnya, orang pasti ketawa. Bakat memang besar. Selain boleh melawak, beliau juga pandai mengacara, menyanyi, malah boleh meniru dengan baik suara selebriti terkenal yang lain seperti Tan Sri SM Salim, Datuk Ramli Sarip dan Datuk David Arumugam dari kumpulan Alleycats.
Itulah Alias Kadir, nama salah seorang ikon dalam dunia komedi Singapura. Alias sudah berkecimpung dalam dunia seni tanahair sejak lebih 30 lalu dan memenangi beberapa anugerah.
Namun disebalik perawakan beliau yang begitu ‘comel’ dan lucu, beliau tabah mengharungi pelbagai onak dan duri walaupun sedang menahan sakit yang agak teruk. Bagaimanapun, demi cintanya mahu menghiburkan orang ramai, beliau gagahkan juga dirinya.
Tetapi bagaimanakah cerita keluarga beliau? Bagaimana cerita dan pengalaman Alias menjadi ayah kepada 8 orang anak? Bagaimana pula cara beliau mendidik anak-anaknya? Alias sebenarnya mempunyai 2 anak kandung, 4 anak tiri hasil perkahwinan kedua, dan 2 lagi anak angkat yang dipeliharanya sejak mereka berusia 3 hari.
MOHD OSMAN AHMAD – SI AYAH 8 ANAK
Nama sebenar Alias Kadir ialah Mohd Osman Ahmad. Baru semalam beliau menyambut hari lahirnya ke 53 tahun, iaitu Sabtu 18 Jun.
Menurut Alias, kisah peribadinya amat berwarna-warni, dan itulah yang membuatkan kehidupannya lebih bermakna. Alias juga amat menghargai pengorbanan keluarga seperti ibu-bapa, isteri-isterinya, dan kesemua 8 anak-anaknya, kerana mereka semua tetap berada di sampingnya, ketika jatuh bangun kehidupannya.
“Cerita peribadi saya memang panjang, kalau nak cerita, besok pun belum tentu habis. Tapi saya cuba ‘short-cut’ kan,” kata Alias kepada BERITAMediacorp berjenaka.
“Perjalanan sebagai anak seni di sini, bukanlah mudah apatah lagi mewah. Banyak cubaan, pengorbanan yang perlu kita hadapi. Begitu juga dengan saya. Walaupun orang ramai nampak saya ketawa, tapi hakikatnya, Tuhan sahaja yang tahu,” sambung beliau mula membuka cerita yang jelas bukan komedi.
KISAH 2 ISTERI ALIAS KADIR
Alias dengan jujur berkata, antara isteri pertama beliau Suriana Sanusi, 53 tahun dan isteri kedua, Begum Jan Mohd Ayob, 63 tahun, memang pernah terjadi pergeseran selama 10 tahun.
“Namun, Alhamdullilah semuanya kini sudah berbaik-baik. Arwah ibu saya sendiri, Salmah Juraimi menjadi orang tengah membantu dan mendamaikan keadaan kami bertiga. Dulu, suasana memang tegang.”
Demikian kongsi Alias secara berterus terang kepada BERITAMediacorp. Yang jelas, ini bukan cerita lakonan dari pelawak yang pernah memenangi Anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Pesta Perdana (musim ketujuh) tiga tahun berturut-turut, pada tahun 2000, 2001 dan 2002.
Ini cerita kehidupan sebenar seorang insan biasa, yang hanya mahukan kebahagian hidup. Yang penting, segala-galanya kini berakhir dengan kebahagiaan.
ALIAS KADIR BAPA YANG GARANG?
Menurut Alias, kesemua anak-anaknya mempunyai ikatan yang baik bersamanya, dan beliau juga menasihati mereka bak seorang teman, dan berbicara secara santai, dan suka berjenaka .
“Sebagai seorang bapa, saya bukanlah jenis yang garang macam bapak zaman dahulu. Saya seorang yang suka menasihati mereka secara baik-baik dan anggap mereka sebagai kawan. Walaupun hubungan kami anak-beranak nampak relaks, namun kami tetap terapkan sifat hormat menghormati di antara satu dengan yang lain,” ujarnya.
Menurut Alias, cara kepimpinan dan gaya pelibatan seseorang ayah kini kian berubah. Dahulu, seorang ayah semuanya “pakai rotan” bila menjalankan disiplin. Namun demikian tambah beliau, ayah dulu-dulu tetap makan bersama anak-anak di rumah.
“Sekarang, semua dah sibuk berteknologi, telefon bimbit, iPad. Jadi cabaran untuk bersama keluarga, ‘bonding time’ agak terhad.
“Jadi bagi bapa-bapa kurun ke-21 ini, sesibuk mana pun kita, anak-anak perlukan pelibatan kita dalam kehidupan mereka,” nasihat Alias dengan sungguh-sungguh kepada BERITAMediacorp. “Gajet-gajet ini semua tidak boleh mengambil alih peranan kita sebagai ayah dan ketua keluarga di rumah,” kata Alias lagi yang menekankan bahawa untuk beliau, peranan utamanya sebagai bapa adalah untuk melindungi keluarga, dalam apa jua keadaan dan situasi.
TINDAKAN ALIAS SEMASA RUMAH BERGEGAR
“Pengalaman saya sendiri, ketika kejadian gegaran di rumah Boon Lay dulu, naluri pertama dan perkara yang paling logik saya perlu lakukan adalah memeluk anak-anak saya dan selamatkan mereka dahulu,” cerita pelawak ikonik itu lagi.
Kata-kata Alias ini pasti membuat kesemua bapa mengangguk bersetuju dengan prinsip beliau ini.
“Saya yakin ‘fathers will die for the family!’” ungkap datuk kepada 8 orang cucu ini dengan semangat.
BUAT ORANG KETAWA, NAMUN ALIAS BERPENYAKIT KRONIK
Sejak 5 tahun yang lalu, Alias juga telah disahkan menghidap beberapa penyakit kronik termasuk kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi serta sakit buah pinggang.
Malahan, kedua-dua matanya hampir buta dek masalah katarak yang teruk.
Walaupun kini penglihatannya sudah bertambah baik, Alias dinasihatkan oleh doktor agar tidak bekerja berat kerana masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.
Pendapatan yang diraih adalah dari projek dan pertunjukan atau ‘show’, seperti lakonan dan pengacaraan. Beliau pernah bekerja secara sambilan sebagai pembakar sate dan mendapat gaji sekitar $30 sehari.
ALIAS PERNAH SEPERTI ‘BUTA’
Di mata para peminat dan penonton TV, Alias seolah-olah sempurna. Gerak gerinya tajam. Lidahnya tajam. Seolah-olah tiada cacat cela dalam penglihatan Alias Kadir yang tangkas membuat orang ketawa tak kering gusi.
Namun pada suatu ketika, belikau sebenarnya menghadapi masalah mata dan penglihatan.
“Sebelum pembedahan, saya tak boleh nampak muka orang pun, cuma nampak cahaya samar-samar sahaja. Kalau jalan waktu malam, mesti kena pimpin,” kata Alias mengungkap pengalamannya.
Namun syukur, sekarang penglihatan beliau sudah seperti biasa. “Tapi masih kena makan ubat, setiap hari hampir 10 biji pil, kerana penyakit-penyakit ini semua, tapi saya anggap macam makan kacang saja!”
Begitulah Alias Kadir. Kalau kemahiran membuat orang ketawa sudah mendarah daging, perkara serius pun boleh beliau jadikan lucu. Semestinya, suatu kepandaian anugerah Tuhan.
Namun, perkataan-perkataan yang beliau ungkapkan ini, hakikatnya tidak lagi lucu: “Sebelum pembedahan dilakukan, saya mengalami sedikit kekurangan dana, namun saya menerima banyak sumbangan dari rakan-rakan, peminat-peminat dan orang-orang yang mengetahui penderitaan saya ini. Ustaz Haron Hassan, seorang pendakwah tempatan juga turut sama menghulurkan bantuan.”
Pelawak terkenal itu menambah, beliau berasa “amat terharu” dan bersyukur dengan keprihatinan mereka semua terhadap diri saya.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima-kasih kepada mereka semua kerana sudi memberikan pertolongan yang tidak terbalas ini,” ujarnya yang juga popular dengan lagu Raya berjudul ‘Ramwong’ nyanyian berduet bersama penyanyi mapan, Mahani Mohamed.
NASIHAT SERIUS SANG PELAWAK UNTUK KAUM BAPA
Walaupun menekankan dirinya bukanlah insan dan bapa yang sempurna, Alias selalu menerapkan di dalam dirinya untuk menjadi seorang yang pemaaf dan tidak membesar-besarkan perkara yang remeh-temeh. Baginya, usahlah memberikan tekanan yang tidak penting kepada diri dan keluarga.
Jalan yang terbaik adalah berbincang dan bertolak ansur.
“Saya yakin setiap dari kita pasti, mempunyai masalah keluarga yang tersendiri, yang hanya kita rasai dan ketahui. Usah lah terlalu emosi dan membebankan fikiran dengan masalah yang tiada habisnya. Saya sendiri belajar untuk menjadi pemaaf, bukan hanya untuk kebaikan keluarga, anak-anak dan rumahtangga, tapi untuk jiwa dan diri kita sendiri.
Bagi Alias Kadir, jalan yang terbaik adalah berbincang, dan menasihati antara satu dengan yang lain.
“Macam orang cakap, nasihat itu ‘free’, tak payah bayar pun!” selorohnya Alias sebelum mengakhiri wawancara bersama BERITAMediacorp.
Yang pasti, dalam masa beberapa hari lagi, anda akan lebih banyak mendengar lagu Hari Raya ‘Ramwong’ nyanyian Alias itu di corong-corong radio.
Dalam mendengar lagu tersebut, jangan lupa mengenang juga ketabahan dan kekuatan Alias Kadir si pelawak ikonik, sebagai seorang Bapa.
Selamat Hari Bapa Alias Kadir! Dan Selamat Ulang Tahun ke-53!
Source: Berita MediaCorp