Peniaga Melayu Tutup Kedai, Perniagaan Di East Village Kurang Rancak

Perniagaan di pusat beli-belah East Village kurang rancak dua tahun selepas ia dibuka.

Lokasinya di kawasan Simpang Bedok, yang popular di kalangan penduduk di daerah timur, awalnya dianggap berpotensi. Ia mendorong ramai peniaga Melayu untuk mencuba peluang perniagaan di situ.

Namun kini, sebahagian pemilik melaporkan perniagaan yang lembab, bahkan ada yang terpaksa gulung tikar.

Sekitar 80 peratus daripada perniagaan di East Village dimiliki peniaga Melayu. Salah satunya ialah Cloud 9 Studio yang bermula sebagai perniagaan dalam talian menjual pakaian Muslimah.

LOKASI EAST VILLAGE “KURANG MENARIK”

Pemiliknya, Norazman Johari membuka kedainya yang pertama di East Village selepas beberapa rakan niaga turut membuka kedai di situ. Namun setahun kemudian, perniagaannya merosot sebanyak 50 peratus.

Menurut beliau, lokasi pusat beli-belah East Village yang digabungkan dalam sebuah projek kondominium, kurang menarik perhatian pengunjung.

Encik Norazman berkata: “Kalau kita naik teksi dan cakap hendak ke East Village, pemandu teksi akan cakap East Village atau Changi Village? Jadi mereka keliru, tidak tahu perbezaan East Village dengan Changi Village.

“Mungkin lokasinya ada orang yang tidak berapa tahu, mungkin penduduk dari daerah barat atau tengah tidak berapa tahu. Kebanyakan orang yang lalu di sini, mungkin mereka fikir ada apartmen di atas dan tidak tahu yang ada pusat beli-belah di sini.”

Sebenarnya East Village menempatkan sekitar 100 unit komersil termasuk banyak perniagaan F&B.

Watsub, yang menjual beraneka sandwic premium, mencatat penjualan laris sehingga 120 sandwic sehari ketika dibuka Mac tahun lalu. Namun sekarang ia menjual sekitar 80 keping sandwic sehari.

CABARAN HAK MILIK STRATA

Cabaran berniaga di East Village adalah pembangunan jenis hak milik strata, dengan setiap peniaga menyewa daripada pemilik hartanah yang berbeza. Ini bermakna para peniaga tidak boleh bergantung pada pihak pengurusan East Village untuk melakukan kegiatan pemasaran bagi perniagaan mereka.

Pemilik Watsub, Norizam Jafar, berkata: “Kami ada beberapa pilihan untuk teruskan di sini atau pun untuk keluar dari East Village. Kami ada banyak tawaran juga di luar, di tempat-tempat yang lain tetapi satu faktor yang kuat ialah sewanya.”

Para peniaga di East Village yang ditemui BERITAMediacorp membayar sewa kedai antara S$2,000 hingga S$7,000 sebulan. Sebahagian mereka berunding dengan pemilik hartanah untuk menurunkan harga sewa namun tidak semua yang berjaya.

BEBERAPA PERNIAGAAN MELAYU TIDAK LAGI BEROPERASI DI SITU

Antara perniagaan milik Melayu yang tidak lagi beroperasi di situ ialah Sarah’s the Pancake Cafe, Tasconi’s Pizza, Cookwerx, Perghh dan Salty Peanut.

Pengurus Operasi Salty Peanut, Zukiflee Othman, berkata: “Untuk usahawan baru, saya rasa lagi baik mereka fikirkan kolaborasi dengan beberapa jenis bisnes, kalau kita satukan dua atau tiga jenis bisnes dalam satu unit, saya rasa itu lagi bermanfaat.”

Meskipun pada umumnya para peniaga mempunyai persamaan dalam memenuhi keperluan pelanggan Melayu, mereka percaya produk dan barang yang diketengahkan setiap peniaga mempunyai kekuatan tersendiri dan berharap perniagaan mereka akan bertahan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *