Dulu saya menganggap beberapa ahli ilmu sebagai sombong, kerana kelihatannya mereka berdegil/berkeras dengan pandangan mereka. Tetapi akhirnya saya faham bahawa betapa pentingnya untuk jujur dengan diri sendiri dan orang lain, betapa pentingnya untuk jujur dengan hasil pembelajaran dan kajian yang telah dilakukan secara sungguh-sungguh. Kalau mudah-mudah untuk korbankan pendirian diri sendiri itu bermakna kita akui tiadanya kesungguhan mahupun nilai dalam usaha pembelajaran dan kajian kita.
Saya juga belajar untuk tidak terlalu membesarkan perhatian kepada ‘cara’ penyampaian mereka sebaliknya perhatian yang sungguh-sungguh diberikan kepada isinya. Walaupun cara mereka keras dan seolah-olah sedang marah-marah. Namun ada yang sampaikan dengan lembut tapi sebenarnya ‘kasar’, ada yg nampak ‘kasar’ tapi lembut. Ini terpulang pada perspektif masing-masing. Kalau nak belajar, maka kena sabar.
Selagimana tiada hujah balas yang lebih kuat dan bukti yang mematahkan pendirian kita, selagi itu kita patut berpegang dengannya. Belajar, belajar dan terus belajar. Namun amat penting untuk pastikan adanya ruang dalam minda dan hati kita bahawa dalam hidup ini, walau sedalam mana kajian kita, kita tetap boleh, pernah dan akan melakukan kesalahan.
Kemudian saya dapati bahawa meminta orang lain untuk mengorbankan pendirian mereka atas dasar “jangan sombong” dengan tanpa membawa bukti balas yang cukup, dan meminta supaya dia berpegang pada sangka-sangkaan dan agakan-agakan orang ramai adalah satu bentuk kesombongan yang lebih bahaya. Kerana ia memaparkan sikap memperlekehkan isu kebenaran dan tidak menghormati ilmu, ia seperti mengatakan “Kajian kamu tak penting, yang penting ikut saja arus ramai.”
Hari ini sayangnya kita lebih suka pada yang yang lembut walaupun yang lembut itu semberono atau penipu.
Yang manis jangan terus ditelan.
Yang pahit jangan terus dibuang.
Source: Noor Deros