Penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz akan melangsungkan pernikahan bersama tunangnya Bella Astilah pada 9 September.
Mendedahkan khabar gembira itu kepada Berita Harian Malaysia, penyanyi lagu Sayang Sayang itu bagaimanapun memberitahu bahawa majlis akad nikah beliau akan diadakan secara tertutup pada sebelah pagi, dengan dihadiri kaum keluarga dan sanak saudaranya.
“Pada sebelah malam hari yang sama, kami akan adakan pula majlis resepsi di Setia Alam,” kata Aliff.
“Saat ini, segala persiapan sudah hampir sempurna. Harapnya, semua perancangan akan berjalan dengan lancar,” kata Aliff yang akan muncul dengan drama Meh Sandarkan Pada Aku tidak lama lagi.
Majlis berinai akan berlangsung pada 8 September, lapor Berita Harian Malaysia.
Aliff dan Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 22 tahun, bertunang pada bulan Disember 2015.
Source: Berita MediaCorp