Ikon bola sepak tempatan, Fandi Ahmad, bakal meninggalkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Ia sekaligus mengosongkan jawatan jurulatih dalam pasukan bola sepak negara sebelum berlangungnya perlawanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) November ini.
Kontrak bekas bintang pasukan Singa itu dengan FAS akan berakhir pada November ini, dan penolong jurulatih pasukan negara itu dipercayai tidak dapat mencapai persetujuan dengan FAS untuk melanjutkan kontrak itu.
FAS AKAN BERTEMU FANDI PADA 8 SEP
Mediacorp difahamkan bahawa FAS akan bertemu dengan Fandi pada Khamis ini (8 Sep) dalam percubaan terakhir untuk mengekalkan legenda bola sepak itu.
Dalam satu kenyataan, jurucakap FAS berkata: “FAS sudah berunding dengan Fandi selama beberapa bulan. Kami melihat Fandi sebagai seseorang yang terus memainkan peranan penting dalam bola sepak Singapura, namun masih terlalu awal untuk memberikan komen kerana rundingan kami masih diteruskan.
“Oleh itu, butiran-butiran kontrak masih harus dirahsiakan. Kami akan membuat pengumuman sebaik sahaja ada sesuatu yang sudah dimuktamadkan dan boleh diumumkan.”
Fandi, 54 tahun, yang kini berada di Indonesia, tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen hari ini.
SUMBER: FAS TIDAK DAPAT CAPAI PERSETUJUAN DENGAN FANDI
Isu utama nampaknya tidak ada kaitan dengan kewangan, sebaliknya sumber-sumber mendedahkan bahawa FAS tidak dapat mencapai persetujuan dengan Fandi tentang peranannya di persatuan itu pada masa depan.
Dalam mesyuarat-mesyuarat sebelum ini sejak awal tahun ini, Fandi menyatakan peranan masa depan yang diingininya dan membentangkan rancangannya kepada FAS.
Dipercayai bahawa Jurulatih Terbaik Liga S Tahun 2000 itu mahu fokus terhadap membangunkan pemain-pemain muda. Terutamanya, beliau melahirkan minat membentuk satu pasukan yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Namun, meskipun setelah berbulan-bulan berunding, tiada persetujuan dicapai.
FANDI DIKATAKAN PERTIMBANG TAWARAN DARI KELAB M’SIA
Kini, Fandi dikatakan sedang mempertimbangkan beberapa tawaran lumayan dari kelab-kelab bola sepak Malaysia. Beliau dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih di kelab Liga Super Malaysia di Pahang, di mana beliau memenangi Piala dan Liga Malaysia sebagai pemain pada 1992.
Beliau juga dikatakan mungkin kembali ke Johor sebagai jurulatih kelab Liga Premier Malaysia, Johor Darul Ta’zim II.
Langkah Fandi meninggalkan FAS mungkin akan menjejas persiapan pasukan negara menjelang Piala Suzuki AFF pada November ini.
Beliau sudah memegang jawatan sebagai penolong jurulatih Singa – pertama bagi warga Jerman, Bernd Stange dan kemudian penggantinya Sundram – sejak Jun tahun lalu.
Fandi amat popular dan dihormati oleh pasukan Singa, di mana beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan pemain-pemain muda negara seperti Gabriel Quak, Madhu Mohana, Izwan Mahbud dan Faris Ramli.
Jika Fandi menyertai kelab Pahang, ia bukan kali pertama beliau akan menjadi jurulatih di kelab Malaysia.
Beliau pernah berkhidmat di Johor Darul Ta’zim pada 2012 dan 2013, sebelum kembali ke Singapura pada 2014 dan menerajui kelab yang kini sudah dibubarkan, LionsXII hingga menjulang Piala FA Malaysia setahun kemudian.
Pahang mencatat prestasi mengecewakan dalam Liga Super Malaysia musim ini, dengan pasukan pimpinan Razip Ismail menduduki tempat paling bawah dalam perlawanan 12 pasukan itu, dan hanya berjaya menang sebanyak tiga kali dalam 19 perlawanan sejauh ini.
Source: Berita MediaCorp