Para sasterawan Melayu berperanan memulihkan kerencaman cara fikir masyarakat menerusi karya mereka.
Pandangan itu disuarakan oleh penulis prolifik dari Malaysia Dr Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Dr Faisal Tehrani. Menurut beliau, kebanjiran jalur fikir yang sama akan menjejas kehidupan beragama umat Islam.
Dr Faisal diundang untuk menyampaikan satu ceramah anjuran The Arts House dan Pusat Pengajian Melayu NUS baru-baru ini.
Edisi Cita Seni kali ini menampilkan penulis yang sudah menghasilkan 24 novel sepanjang dua dekad kerjayanya.
INGIN TEROKA KEPELBAGAIAN PEMIKIRAN ISLAM
Namun namanya juga sering dikaitkan dengan kontroversi. Beberapa novel Dr Faisal Tehrani diharamkan di Malaysia kerana dianggap mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah.
Bagaimanapun Dr Faisal menegaskan tujuannya adalah untuk meneroka kepelbagaian pemikiran Islam sebagai cara mengatasi masalah masyarakat.
“Terdapat pemikir-pemikir yang terdahulu seperti Syed Naquib al Attas, Profesor Burhanudin al Helmy – mereka semua cuba melakukan percambahan atau persenyawaan di antara pelbagai cara fikir, mazhab dan sebagainya untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat kerana itu yang sebenarnya perlu dilakukan oleh ahli falsafah juga seniman ataupun pelukis. Tetapi itu dilihat sebagai sesuatu yang mengancam,” kata Dr Faisal.
TEKAD PERJUANG HAK GOLONGAN TERPINGGIR
Dr Faisal berkata langkah untuk mengharamkan novel-novelnya menguatkan tekad beliau untuk memperjuangkan hak golongan terpinggir.
Selain mengetengahkan tema-tema agama dan penentangan, karyanya juga menyentuh isu sosial dan keadilan. Misalnya, novel beliau berjudul “Bagaimana Anyss Naik ke Langit?” menyorot tentang jenayah rogol terhadap wanita kaum Penan di Sarawak.
Dr Faisal kini berada di Singapura sebagai penulis undangan NUS-NAC.
Source: http://berita.mediacorp.sg